Tag: van jenazah

  • Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    SEORANG mekanik maut selepas van jenazah yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi tujuh meter di Kilometer 16, Jalan Jemaluang-Mersing dekat Mersing, pagi tadi. 

    Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata dalam kejadian pada kira-kira 9.15 pagi di hadapan Institut Latihan Perindustrian Mersing itu, mangsa dikenal pasti sebagai Wan Mohd Nasyarudin Wan Ismaon, 38.

    “Van yang dipandu Mohd Nasyarudin dipercayai dari arah Johor Bahru-Mersing, telah terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan di laluan bertentangan sebelum van berkenaan terjatuh dalam gaung,”  katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Cyril Edward berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pakar perubatan dan jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat da kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • PRU-15: OKU guna van jenazah ke pusat pengundian

    PRU-15: OKU guna van jenazah ke pusat pengundian

    FAKTOR Orang Kelainan Upaya (OKU) bukannya penghalang bagi Nor Adnisa Muhammad Nasir, 24 untuk menunaikan tanggungjawab keluar mengundi.

    Berbekalkan semangat satu undi boleh membawa perubahan, beliau diiringi ibunya, Syuhaida Saad membuang undi di Pusat Pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad, Tambun Tulang, Perlis pagi tadi.

    Nor Adnisa merupakan pengundi kali pertama yang menginap penyakit Dystonia Cerebral Palsy pertama di Malaysia.

    Dia dibawa ke pusat mengundi menaiki Van Jenazah Wakaf Perlis (VJWP).

    Adnisa yang terlantar dan tidak berupaya untuk bangun diberi pengecualian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat pengundian dari dalam kenderaan dengan ditemani ibunya.

    “SPR beritahu ini adalah kes terpencil. Walaupun ambil masa sikit untuk siapkan anak istimewa ini, tetapi alhamdulillah sebagai ibu saya merasa puas dapat membawanya melaksanakan tanggungjawab mengundi.

    “Dia faham bila kita beritahu 19 November kita akan mengundi, pilih kerajaan dan dia pun memang teruja bila diberitahu layak mengundi,” kata ibunya semasa ditemui di pusat pengundian, lapor Harakahdaily.

    Kedua-dua beranak itu selesai mengundi pada pukul 11.30 pagi.

    Sementara itu, aktivis masyarakat Hanizan Hadrus berkata, ibu Adnisa menghubunginya untuk menggunakan khidmat VJMP bagi membawa anaknya ke tempat pengundian dari rumah mereka di Taman Cempaka Putih.

    “Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan. Selepas ini saya akan mengambil seorang lagi pesakit kronik di Guar Jentik untuk membawanya ke pusat pengundian,” katanya.