Tag: Vaksinasi

  • Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Oleh:Bernama

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda mengenai kadar vaksinasi di negeri Johor yang masih rendah.

    Mengikut statistik media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian vaksin bagi Johor hingga 4 Ogos menunjukkan 33.3 peratus (1,260,049 orang) menerima vaksin dos pertama manakala 13.1 peratus (495,730 orang) telah menerima dos kedua.

    “Saya sebagai Sultan Johor bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat saya. Nyawa tidak boleh dijual beli. Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya, terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan COVID-19 dan telah meninggal dunia.

    “Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes-kes varian Delta. Strateginya amat jelas iaitu kita mesti memvaksinasi seramai mungkin populasi negeri kita dengan kadar secepat mungkin,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, malam tadi.

    Sultan Ibrahim bertitah baginda bersama anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.

    Sehubungan itu, baginda amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di Johor malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.

    “Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat kita sendiri,” titah baginda. – BERNAMA

  • Vaksinasi warga emas secara datang terus diperluas ke seluruh negara

    Vaksinasi warga emas secara datang terus diperluas ke seluruh negara

    VAKSINASI secara datang terus bagi warga emas yang belum mendapat tarikh temujanji akan diperluaskan ke seluruh negara bermula minggu depan.

    Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin berkata, ini selepas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memutuskan untuk memperluaskan pelaksanaan kaedah datang terus bagi warga emas yang dilaksanakan di Lembah Klang ke semua negeri.

    Namun beliau menjelaskan, pengumuman dan butiran lanjut mengenai perkara itu akan dibuat oleh badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat negeri.

    “Inisiatif itu membabitkan warga emas di luar Lembah Klang yang belum menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan PICK secara maya, hari ini.

    Mengulas lanjut Khairy berkata, ada negeri sudah memulakan inisiatif itu dan ada juga negeri yang sudah bersedia.

    “Pengumuman akan dibuat oleh CITF peringkat negeri. Di peringkat Persekutuan, negeri (luar Lembah Klang) sudah boleh mulakan pemberian vaksin untuk warga emas belum terima dos pertama.

    “Kita sudah serahkan dan turunkan kuasa kepada CITF negeri untuk buat pengumuman,”katanya.

    Sementara itu, Khairy berkata, setakat ini program vaksinasi yang dijalankan di peringkat nasional secara keseluruhannya telah mencapai tahap 95 peratus bagi warga emas yang telah berdaftar di mana kesemua mereka telah mendapatkan suntikan vaksin.

  • Semua guru terima vaksin sebelum sekolah dibuka bulan depan

    Semua guru terima vaksin sebelum sekolah dibuka bulan depan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KIRA-KIRA 85,000 guru di seluruh negara yang masih belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 dijangka menerima sekurang-kurangnya dos pertama sebelum sesi persekolahan dibuka September ini.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ketika ini senarai penuh nama guru sudah diberikan Kementerian Pendidikan kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan merek semua divaksinasi sebelum sekolah dibuka.

    “Selain guru, anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan termasuk pengendali kantin sekolah, pemandu bas dan van sekolah serta pengawal keselamatan sekolah juga akan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha mencapai imuniti di kawasan sekolah.

    “Saya sendiri telah meneliti dan membuat permintaan kepada CITF untuk memberi suntikan vaksin kepada golongan ini sebelum September,” katanya selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi bersama Institut Jantung Negara (IJN) di Dewan Serbaguna Semanggar, Kota Tinggi hari ini.

    Setakat ini, 326,998 orang guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala seramai 215,999 orang guru telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

    Sementara itu, beliau berkata, pemberian vaksin kepada pelajar berusia 12 hingga 17 tahun sedang diteliti data klinikal yang lebih tepat dan terkini daripada Pfizer sebelum membuat keputusan untuk menjalankan vaksinasi terhadap kumpulan itu.