Tag: Vaksinasi penuh

  • Vaksinasi penuh bagi pengembara luar masuk Malaysia – KKM

    Vaksinasi penuh bagi pengembara luar masuk Malaysia – KKM

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mempertimbangkan keperluan vaksinasi penuh bagi pengembara dari luar, termasuk China sebagai syarat untuk mereka dibenarkan memasuki negara ini.

    Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM tidak hanya bergantung kepada satu cara bagi menyaring kedatangan pengembara dari luar, termasuk China ke negara ini dalam membendung penularan COVID-19.

    “Bukan satu cara sahaja kerana banyak negara masih memantau sebelum sebarang tindakan bersesuaian dijalankan. Kaedah bersesuaian antaranya keperluan vaksinasi penuh dan sebagainya,” katanya kepada BH.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan pakar kesihatan supaya KKM menambah proses tapisan pengembara dari luar negara, termasuk China ke negara ini, termasuk mewajibkan keputusan negatif ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (PCR) COVID-19.

    Mereka berpendapat dua langkah yang diumumkan KKM iaitu melakukan saringan demam dan pengambilan sampel air kumbahan pesawat dari China tidak memadai bagi mengekang jangkitan wabak COVID-19, dari republik itu ke Malaysia.

    Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA) manakala sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.

    Noor Hisham berkata, dua kaedah itu adalah sebagai melengkapkan sistem pengawasan buat masa ini.

    Terdahulu, China mengumumkan kelonggaran pengurusan COVID-19 mulai 8 Januari ini, termasuk pembukaan sempadan republik itu, selain tidak mengenakan kuarantin ke atas pengembara yang memasuki negara itu.

    Keputusan berkenaan dibuat ketika China berdepan peningkatan jangkitan dan jumlah kematian yang membimbangkan.

  • Vaksinasi penuh: Pertimbangkan pembukaan semula pawagam

    Vaksinasi penuh: Pertimbangkan pembukaan semula pawagam

    PEMILIK pawagam dan pengedar filem Malaysia memohon kepada kerajaan untuk mempertimbangkan pembukaan semula pawagam di seluruh negara, khusus untuk mereka yang telah menerima vaksinasi COVID-19 lengkap.

    Pengurus Besar Lotus Fivestar Cinemas Sdn Bhd Dr Sai Suthan berkata pihaknya percaya, pembukaan semula pawagam akan dapat membantu rakyat Malaysia dari segi kesihatan emosi selain membantu mereka yang berada di dalam industri itu beroperasi semula.

    “Pawagam seharusnya boleh dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

    Beliau juga menegaskan bahawa, tiada kluster COVID-19 atau kes yang melibatkan mana-mana pawagam di Malaysia sewaktu ia dibenarkan untuk beroperasi semula pada Mac.

    Sai berkata, Lotus Fivestar Cinemas dan syarikat pengedaran filemnya menganggarkan kerugian kira-kira RM15 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

    Pada Ahad, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memberikan kelonggaran kepada sekatan pada sektor sosial khusus untuk mereka yang telah menerima dos vaksin penuh dan tinggal di negeri-negeri Fasa Dua dan ke atas Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula 10 Ogos.

    Antara sekatan yang ditarik balik termasuklah makan di dalam restoran, rentas daerah, aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak melibatkan kontak fizikal, serta aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan hotel dan inap desa.

    Sementara itu Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) juga meminta kerajaan untuk mempertimbangkan kebenaran pembukaan semula pawagam berikutan hasil daripada kajian ‘Big Picture’ yang dijalankan mendapati, rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur telah menyatakan bahawa pergi ke pawagam telah membantu memperbaiki tahap emosi mereka.

    MAFE menyatakan, kajian meliputi lebih 10,000 responden itu juga mendapati, 80 peratus bersetuju bahawa pergi ke pawagam membantu mengurangkan kadar stress dan keresahan, 75 peratus menyatakan ia membantu mengurangkan perasaan terkurung, manakala 75 peratus bersetuju bahawa pergi ke pawagam membantu membaikit perhubungan bersama keluarga dan rakan-rakan.

    Menurut kajian itu, 82 peratus rakyat Malaysia juga menyatakan yang mereka rasa selamat untuk pergi semula ke pawagam, dengan adanya SOP yang membenarkan hanya kakitangan dan penonton yang telah lengkap divaksinasi sahaja dibenarkan di presmis.

    MAFE dalam kenyataan itu meminta untuk kerajaan membenarkan pembukaan semula pawagam yang mematuhi peraturan, seperti yang dinyatakan Muhyiddin dalam membenarkan aktiviti sukan, sosial dan makan di restoran sebagai kelebihan kepada mereka yang telah menerima dos vaksin COVID-19 penuh.- BERNAMA