Tag: usul tambahan

  • ‘Kalau betul tolak, tunjuk surat RoS’, kata Ismail Sabri

    ‘Kalau betul tolak, tunjuk surat RoS’, kata Ismail Sabri

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta menunjukkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang didakwa menerima resolusi parti supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

    Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengulas perkara itu berkata, ia berikutan polemik status usul tambahan yang diluluskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 membabitkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan.

    “Minta dia (Ahmad Zahid) tunjuk surat RoS itu, elok juga kalau boleh tunjukkan (surat) sebab ada dua laporan media berbeza.

    “Satu kata RoS tolak tapi tak sampai satu hari kata dah luluskan pula. Semua orang keliru.

    “Saya pun baca laporan media juga,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Malam tadi, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO sudah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan RoS menerima resolusi parti itu iaitu tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

    Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, RoS meluluskan usul PAU 2022 supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

    Katanya, perkembangan terbaru itu diterima menerusi surat daripada KDN semalam.

    Bagaimanapun, sebuah portal berita melaporkan RoS yang selesai menjalankan siasatan berhubung aduan diterima daripada dua ahli UMNO, memutuskan usul tambahan terbabit tidak sah.

    Portal berita terbabit bagaimanapun tidak memetik mana-mana individu atau sumber.

    Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.

    Aduan itu dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap ROS dapat menentukan sekiranya wujud pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

    Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

    Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri turut menggesa RoS membuat keputusan segera bagi menentukan sama ada keputusan PAU itu sah atau tidak sebelum pemilihan parti pada 18 Mac ini.

    Ia bagi memberi laluan kepada ramai calon lain bertanding merebut dua jawatan tertinggi UMNO termasuk mereka yang sudah mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden jika tindakan UMNO itu menyalahi perlembagaannya.

  • Tahniah, ada yang masih berani dan waras dalam UMNO, kata KJ

    Tahniah, ada yang masih berani dan waras dalam UMNO, kata KJ

    “WELL done, guys. Ada yang masih berani dan waras dalam UMNO.”

    Itu reaksi bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin susulan tindakan dua ahli parti itu menghantar aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), pagi tadi.

    Ini berhubung usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 minggu lalu mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

    Menerusi Instagram Story hari ini, Khairy menghamburkan pujian terhadap tindakan dua ahli UMNO itu yang disifatkan berani dan masih ‘waras’.

    Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan pada masa sama yakin dengan kredibiliti RoS untuk membuat keputusan berhubung isu berkenaan.

    “Saya yakin dengan kredibiliti RoS untuk buat semakan terhadap usul Rembau di PAU,” jelas beliau, lapor Utusan TV.

    Sebelum itu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

    Ia dikemukakan oleh ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022, Sabtu lalu.

    Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

    Sabtu lalu, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada hari yang sama, berkata mana-mana ahli yang mempunyai kepentingan terhadap parti boleh merujuk kepada RoS sekiranya ingin mengetahui sama ada keputusan yang dibuat perwakilan sah atau tidak.

    UMNO perlu mengadakan pemilihan parti sebelum 19 Mei ini.

  • Usul tambahan bercanggah perlembagaan’: Ahli UMNO desak ROS siasat

    Usul tambahan bercanggah perlembagaan’: Ahli UMNO desak ROS siasat

    DUA ahli UMNO mendesak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meneliti laporan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan akan datang.

    Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir menegaskan, usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

    Menurut beliau, peraturan UMNO, Perenggan 10 menyatakan semua usul perlu disampaikan selewatnya 14 hari sebelum hari persidangan dan tujuh hari jika diusulkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

    “Dalam UMNO ada klausa, boleh masukkan usul pada hari persidangan tapi dengan dua syarat iaitu MKT mesti menerangkan usul terbabit, tapi ini tidak berlaku… MKT tidak langsung menerangkannya, keduanya, usul itu mesti ‘public interest’, tapi usul berkenaan tidak, ia hanya untungkan dua orang sahaja.

    “Sebab itu hari ini kita bawa ke ROS kerana kita rasa memang apa yang diputuskan pada PAU betul tetapi apabila ia bercanggah dengan perlembagaan parti ia tidak boleh diguna pakai,” katanya selepas menghantar surat aduan kepada ROS hari ini.

    Yang turut bersama beliau ialah seorang lagi ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.

    Kata Muhammad Aizat Fikri, mereka mengadakan pertemuan dan menyerahkan aduan terbabit kepada Pengarah Bahagian Siasatan ROS.

    Ahli UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir (tengah) dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom (kiri) berjalan keluar selepas menghantar surat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkenaan pelanggaran perlembagaan UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 lalu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Putrajaya, hari ini. GAMBAR : Warta Rakyat

    “ROS kata mereka akan siasat, kalau ada asas mereka akan panggil pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Tambah beliau, usul tambahan terbabit juga tidak membawa suara hati akar umbi sebaliknya dikemukakan oleh wakil UMNO Negeri Sembilan pada PAU terbabit.

    “Kita minta kelulusan usul itu pada PAU di lihat semula, cara aturan usul itu dibawa tidak betul.

    “Kita ahli UMNO yang punya suara dan saya minta juga kepada ahli di luar sana yang mana rasa takut, segan tidak payah segan, ini suara kita,” katanya.

    Pada soalan sama ada beliau tidak takut berdepan tindakan tatatertib parti kerana membuat laporan kepada ROS, beliau berkata perkara itu terserah kepada parti.

    “Kami tidak ada masalah (berdepan tindakan) kerana kami berjuang untuk perkara yang benar,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Fiqri Firdaus berkata, terdapat elemen kemandulan demokrasi UMNO pada usul tambahan terbabit.

    “Apabila ada usaha sebegini, kaji balik. Daripada kuota, terus kepada 160,000 perwakilan, ia bersifat progresif.

    “Jadi sekurang-kurangnya ia perlu di bawa ke 191 bahagian. Itu adalah salah satu rasional kenapa kami bawa ke ROS bagi memeriksa jika ada pertikaian terhadap usul berkenaan,” katanya, lapor Berita Harian.

    PAU 2022 baru-baru ini meluluskan usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu dibuat sebelum 19 Mei depan, walaupun beberapa perwakilan membuat bantahan ketika berbahas Ucapan Dasar Presiden.

    Antaranya, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, yang mewakili UMNO Wilayah Persekutuan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang mewakili Johor.

    Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi, turut mendakwa bahawa usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan di PAU 2022 tidak sah kerana melanggar peraturan parti itu sendiri.

    Bagaimanapun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul tambahan berkenaan bukan usul haram seperti didakwa sebaliknya kaedah usul itu dibawa dibolehkan seperti mana Perkara 20 Peraturan Persidangan UMNO yang berkaitan dengan pindaan usul.

  • ROS boleh tentukan usul tambahan sah atau tidak, kata Ismail Sabri

    ROS boleh tentukan usul tambahan sah atau tidak, kata Ismail Sabri

    KEPUTUSAN Perhimpunan Agung UMNO (PAU) meluluskan usul dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang dilihat sebagai suatu pendirian yang membimbangkan.

    Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia juga dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.

    Katanya, beliau mengakui dalam UMNO sendiri terdapat dua pandangan berbeza mengenai status dan kedudukan usul itu dari segi Perlembagaan parti, dengan ada yang berpandangan ia bertentangan dengan ketetapan Perlembagaan.

    “Kalau lihat fasal 8.1 Perlembagaan UMNO sendiri mengatakan PAU adalah kuasa tertinggi dalam menentukan perjalanan parti, namun ia tertakluk kepada Perlembagaan.

    “Dalam Perlembagaan dari segi memilih jawatan, ia hendaklah dibuat secara pemilihan tiga tahun sekali atau pun penangguhan seterusnya yang dilaksana di peringkat bahagian.

    “Itu dalam Perlembagaan (yang mana) apabila disebut pemilihan hendaklah dipilih. (Maknanya) jawatan seperti pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) hendaklah dipilih (ada pemilihan) tiga tahun sekali atau (dibuat) penangguhan di peringkat bahagian,” katanya pada sidang media di Laman Media PAU 2022 hari ini.

    Mengulas lanjut Ismail Sabri menegaskan, ahli akar umbi dan pemimpin yang tidak jelas dan mahu mendapatkan kepastian dari sudut perundangan mengenai usul tambahan itu boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

    Beliau turut menjelaskan, usul itu masih terikat dengan notis usul seperti ditetapkan dalam fasal 10.1 perlembagaan UMNO.

    “MKT mungkin boleh mencadangkan satu-satu usul. Ada yang berpandangan usul asalnya adalah membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden iaitu ada tujuh perkara yang dicadangkan, tetapi (ada) tambahan satu lagi usul.

    “Jadi ada yang berpandangan tidak boleh ditambah seperti itu, kerana dari segi notis usul dalam fasal 10.1, usul dari bahagian mesti 14 hari notis dan usul dari MKT mesti tujuh hari.

    “Usul tadi cuma semalam dibawa dan masukkan terus. Walaupun ada sebut pindaan (terhadap usul asal), pindaan kalau di bawah fasal 20.3 pun, mengatakan jika ada pindaan ke atas usul sama, kalau nak perbetulkan dari perkataan dan ayat, memang boleh, tapi bukan ditambah, itu pun ada pandangan berbeza.

    “Ada yang kata kalau pengerusi benarkan, pun boleh. Ada kata tak boleh, sebab tertakluk kepada notis apa yang boleh dipinda, bukan ditambah macam itu saja,” katanya, lapor Berita Harian.

    Ismail Sabri berkata, tidak pernah berlaku sehingga perwakilan membawa usul sedemikian dalam PAU kerana ia dilihat seolah-olah mengenepikan pandangan akar umbi.

    “Zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) pun, 22 tahun dia jadi presiden tidak ada arahan yang keluar (dari PAU) tak boleh jawatan presiden dan timbalan presiden tak boleh dipertandingkan.

    “Walaupun tidak ada yang lawan Dr Mahathir waktu itu, tidak bermakna (kena) keluar arahan tidak boleh ditandingi,” katanya.