Tag: Usul ditolak

  • Lawatan Anwar ke Arab Saudi: Usul pembangkang ditolak

    Lawatan Anwar ke Arab Saudi: Usul pembangkang ditolak

    USUL berhubung dakwaan kegagalan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi di Dewan Rakyat telah ditolak, kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata, walaupun soalan yang sepatutnya ditanya ketika sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQT) ditolak, pembangkang telah menyediakan usul tergempar.

    “Seperti yang telah dicabar Pengarah JKOM (Jabatan Komunikasi Komuniti, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff), saya hadir ke sesi PMQT pagi ini.

    “Malangnya soalan saya berkenaan lawatan rasmi Tambun ke Arab Saudi telah ditolak. Sayang peluang yang patut diterangkan dilepaskan begitu saja.

    “Tetapi saya sudah sediakan ‘backup plan’ semalam iaitu Usul Tergempar dalam Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2). Maka tiada alasan tidak munasabah untuk Menteri Luar Negeri jelaskan kepada Dewan Rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan, pembangkang akan mengemukakan usul berkenaan bagi meminta penjelasan tujuan lawatan Anwar yang didakwa satu tamparan hebat ke atas Malaysia.

    Dalam pada itu Wan Ahmad Fayhsal berkata, rakyat perlu tahu perkara hasil lawatan itu.

    “Pembayar cukai berhak tahu apa berlaku di Arab Saudi, siapakah yang wajar bertanggungjawab dan berapa kos perbelanjaan lawatan tersebut,” katanya.

  • Usul ditolak, PDRM guna peruntukan lain bagi kes SOSMA

    Usul ditolak, PDRM guna peruntukan lain bagi kes SOSMA

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan peruntukan lain bagi kes melibatkan kesalahan di bawah Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas 31 Julai ini.

    Ini selepas usul melanjutkan penguatkuasaan subseksyen tersebut bagi tempoh lima tahun lagi tidak diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM akan menggunakan peruntukan di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa seperti Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah.

    Menurut beliau, PDRM kekal komited menjalankan siasatan sebaik mungkin dengan menggunakan akta-akta sedia ada yang masih berkuatkuasa.

    “PDRM mengambil maklum dan menerima keputusan Dewan Rakyat yang menolak usul Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melanjutkan tempoh kuatkuasa Subseksyen 4(5) SOSMA selepas 31 Julai 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, keputusan tersebut bermakna SOSMA tidak lagi memperuntukkan kuasa penahanan selama 28 hari ke atas individu yang ditahan bagi siasatan melibatkan kes-kes keselamatan bersifat kompleks.

    Tambah beliau, ia termasuk kesalahan di bawah Bab VI Kanun Keseksaan (Kesalahan Terhadap Negara).

    “Selain itu, ia juga melibatkan kesalahan di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan (Kesalahan Berkaitan Keganasan) dan Bab VIB Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang).

    “Pada masa sama, ia turut membabitkan kesalahan di bawah Bab IIIA Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 serta Akta Langkah-Langkah Khas menentang Keganasan Luar Negara 2015,” jelas beliau.

    Semalam, usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi tidak diluluskan Dewan Rakyat.

    Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

    Mengumumkan keputusan undi itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

    Terdahulu ketika menggulung usul itu, Hamzah berkata peruntukan Subseksyen 4(5) Akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan, bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan, yang bersifat rumit dan kompleks.