Tag: Ustaz Wadi Annuar

  • 2 ceramah Ustaz Wadi Annuar di Selangor dibatalkan

    2 ceramah Ustaz Wadi Annuar di Selangor dibatalkan

    DUA ceramah penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau Ustaz Wadi Annuar di Selangor yang dijadualkan pada 10 dan 11 Mac ini dibatalkan.

    Bagaimanapun Ustaz Wadi Annuar tidak mendedahkan alasan pembatalan ceramah di dua kawasan berkenaan.

    Dua lokasi tersebut ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.

    Namun menurut Ustaz Wadi Annuar, ceramahnya di kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan kekal berjalan seperti biasa.

    “Dimaklumkan bahawa semua ceramah Ustaz Wadi Annuar bertempat di negeri Selangor dibatalkan.

    “Manakala ceramah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dijalankan seperti biasa.

    “Segala kesulitan amat dikesali. Semoga ALLAH SWT memberikan pahala kepada semua yang berniat untuk hadir majlis ilmu,” katanya dalam siaran di Facebook hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, kuliah Maghrib penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dibatalkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.

    Menurut Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad pembatalan itu merupakan ketetapan yang tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

    Meskipun terpalit kontroversi tersebut namun Kuliah Maghrib Perdana Ustaz Azhar Idrus di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan pada 26 Februari lalu dihadiri oleh ribuan jemaah.

  • Ustaz Wadi Annuar mohon maaf terbuka kepada masyarakat India

    Ustaz Wadi Annuar mohon maaf terbuka kepada masyarakat India

    PENCERAMAH bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat India beragama Hindu susulan kenyataannya mengenai ‘sembah syaitan’ membabitkan perayaan Thaipusam baru-baru ini.

    Perkembangan itu berikutan kenyataan ‘sembah syaitan’ yang disebutnya pada satu ceramah di Masjid Al-Azim, Masjid Negeri Melaka pada 10 Februari lalu.

    “Dalam ceramah itu, saya menyebut mengenai perarakan Thaipusam yang di dalamnya ada sekumpulan orang Melayu Islam menyertainya dan saya menyatakan ajaran agama Islam tidak membenarkan penganutnya menyertai perayaan berbentuk agama itu.

    “Namun saya terlepas pandang dengan menyebut perkataan ‘sembah syaitan’ dan ia adalah kesilapan daripada mulut saya.

    “Maka hari ini, saya memohon maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan itu. Saya mohon maaf kepada semua penganut agama Hindu dan masyarakat India di Malaysia khususnya, dengan seikhlas hati atas kekhilafan yang berlaku,” katanya dalam video permohonan maaf berkenaan, hari ini.

    Permohonan maaf itu dibuat selepas selesai menyampaikan kuliah dhuha di sebuah masjid pagi tadi dipercayai di Sendayan, Negeri Sembilan, yang disiarkan secara langsung secara dalam talian di laman Facebooknya.

    Kenyataan rasminya berhubung permohonan maaf itu juga kemudian dimuat naik di laman Facebook sama.

    Mohamad Wadi berkata, beliau tidak berniat menghina agama lain atau menyinggung perasaan penganut bukan Islam.

    “Saya tidak berniat menghina agama lain dan saya tidak berniat menyinggung perasaan penganut agama lain.

    “Mana-mana yang ada muat naik potongan ceramah itu, diminta memadamkannya kerana ia boleh mengundang salah faham daripada penganut agama lain,” katanya, lapor Berita Harian.