Tag: ustaz

  • PRU-15: Ustaz jadi taruhan PH di Marang

    PRU-15: Ustaz jadi taruhan PH di Marang

    PAKATAN Harapan (PH) Terengganu akan menampilkan seorang individu bergelar ustaz sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Marang iaitu kawasan dikenali sebagai kubu kuat Pas.

    Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, calon tersebut bakal memberi pilihan baharu kepada pengundi di kerusi tradisi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Tanpa mendedahkan identiti individu berkenaan, beliau turut memberi keyakinan bahawa calon PH berusia dalam lingkungan 40-an itu boleh memberi impak terhadap undi parti lawan sama ada BN mahupun Pas.

    “Calon ini boleh membuka mata rakyat bahawa pendekatan seorang ustaz tidak semestinya melalui ceramah berapi-api dengan membakar sentimen negatif, Insya-ALLAH pengundi akan ada pilihan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menurut Raja Kamarul Bahrin, PH juga mempertaruhkan seorang tokoh korporat sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Kuala Nerus yang sebelum ini dimenangi Pas sebagai tawaran kepada pengundi kawasan tersebut.

    Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu itu turut mengesahkan bakal bertanding pada PRU15 namun tidak menyebut kerusi Parlimen mana beliau akan ditempatkan, bergantung kepada keputusan pimpinan parti.

    “Apa yang pasti, kita (PH Terengganu) akan bertanding di semua lapan Parlimen di negeri Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kuala Nerus.

    “Namun siapa calonnya dan kerusi mana mereka ditempatkan akan diumumkan selepas Konvensyen PH di Perak selesai nanti.

    “Latar belakang calon-calon kita pula adalah seimbang, ada tokoh agama, korporat dan juga profesional dan semua mereka melalui proses tapisan serta saringan yang ketat oleh parti,” katanya.

    Pada PRU-14, kerusi Parlimen Marang dimenangi Abdul Hadi selepas mendapat 53,749 undi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot yang memperoleh 31,795 undi dengan majoriti undi sebanyak 21,954.

    Calon PH dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zawawi Sulong pula hilang deposit.

    Abdul Hadi telah memenangi kerusi Parlimen Marang selama enam penggal sekali gus menjadikan kawasan tersebut sebagai kubu kuat Pas yang sukar untuk ditembusi.

  • Empat termasuk ustaz didakwa membunuh penghuni pusat pemulihan dadah

    Empat termasuk ustaz didakwa membunuh penghuni pusat pemulihan dadah

    SEORANG ustaz dan tiga warden sebuah pusat pemulihan dadah di Padang Rengas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan membunuh seorang penghuni pusat berkenaan, minggu lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Keempat-empat tertuduh iaitu Noor Ashraf Ikhmal Jaafar, 22; Nasri Wafi Jamaludin, 25; Ahmad Anat Fairuz Anak, 27; dan Muhammad Luqmanulhakim Abdul Aziz, 20, sekadar mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara bersama.

    Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat lelaki itu secara bersama dalam mencapai niat bersama melakukan bunuh yang menyebabkan kematian Muhamad Shahrul Samion, 25,.

    Perbuatan itu dilakukan di Pusat Pemulihan Darul Islah, di Lot 3318, Batu 17, Padang Asam, Padang Rengas di daerah ini antara jm 12.30 tengah hari hingga 7.45 malam, 17 Ogos lalu.

    Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari, dengan Peguam Tan Chak Seng.

    Tiada jaminan ditawarkan kepada empat tertuduh berkenaan, sebelum mahkamah kemudian menetapkan 12 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

    Media sebelum ini melaporkan polis mengklasifikasikan kes kematian berkenaan yang pada mulanya dikatakan kes mengamuk kepada kes bunuh.

    Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, dilaporkan berkata maklumat awal kejadian diterima daripada doktor bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Kangsar memaklumkan mangsa yang sudah tidak bernyawa dibawa ke hospital itu oleh tiga suspek terbabit.