Tag: usahawan

  • Sulaiman letak jawatan, Melaka bakal dapat Ketua Menteri baharu

    Sulaiman letak jawatan, Melaka bakal dapat Ketua Menteri baharu

    SPEKULASI pertukaran Ketua Menteri Melaka terlerai hari ini apabila Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletak jawatan sebagai Ketua Menteri.

    Perkara itu disahkkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sambil menyatakan beliau menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk mempersembah nama calon Ketua Menteri baharu.

    “Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah menerima surat perletakan jawatan Ketua Menteri Melaka.

    “Saya akan menghadap Tun Mohd Ali Rustam untuk mempersembahkan nama calon yang bersesuaian bagi Ketua Menteri Melaka yang baharu.

    “Saya mengharapkan kebijaksanaan TYT menerima watikah yang akan dikemukakan dan majlis angkat sumpah mengikut kesesuaian tarikh TYT,” katanya menurut laporan Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di Masjid Kampung Lebu, Bentong, Pahang, hari ini.

    Sumber sebelum ini mendedahkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu Jumaat ini.

    Beliau yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri bagaimanapun meminta semua pihak untuk menunggu pengumuman rasmi berhubung desas-desus pertukaran Ketua Menteri Melaka, Jumaat ini.

    “Saya tidak boleh memberikan apa juga komen tentang spekulasi ini,” katanya.

  • Usahawan perlu strategi menang lawan ketidaktentuan ekonomi

    Usahawan perlu strategi menang lawan ketidaktentuan ekonomi

    BISNES dan usahawan dinasihatkan untuk terus berhati-hati dengan mencari langkah proaktif di sebalik peningkatan kadar faedah pinjaman bank susulan kawalan terhadap inflasi.

    Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, peningkatan kadar faedah pinjaman tersebut dijangka memberi kesan terhadap kuasa membeli rakyat manakala usahawan berhadapan pelbagai kenaikan kos bahan mentah mahupun kos operasi.

    “Banyak bantuan diberikan kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) susulan pandemik Covid-19 dalam bentuk moratorium, insentif dan pinjaman. Namun inisiatif yang akan berakhir tidak lama lagi ini dijangka akan menaikkan kadar hutang tak berbayar (NPL).

    “Belum ada data rasmi dikeluarkan di negara ini, bagaimanapun kebanyakan negara asing sekarang mengunjurkan NPL di negara itu akan naik secara ketara.

    “Ini memberi kesan besar terhadap ekosistem ekonomi berikutan ketidakmampuan membayar pinjaman. Bisnes tidak lagi dapat membayar cukai dan banyak lagi kesan rantaian lain yang akhirnya merugikan negara,” kata Azizan dalam sidang akhbar di Setia Alam pada Sabtu.

    Turut hadir ialah Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd. Terdahulu, Azizan yang merupakan pengasas RichWorks meraikan kira-kira 300 usahawan jutawan dan tetamu dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri RichWorks 2022.

    Kata Azizan, usahawan perlu cepat mencari langkah strategik untuk menang berbanding pasaran semasa atau pesaing terdekat masing-masing.

    “Kadar pemulihan SME, saya percaya ramai tidak tahu bagaimana untuk mengurus keadaan ini, mereka perlu ada strategi penyelesaian.

    “Kami juga ingin menjemput mana-mana badan, agensi kerajaan atau kementerian untuk bersama-sama menggunakan platform RichWorks dalam membantu usahawan bangkit daripada kesan pandemik Covid-19,” katanya.

    Sementara itu, kata Radz, seramai 9,000 usahawan memohon untuk menyertai program Bangkit Bisnes Dari Krisis yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Jun ini di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini.

    “Kita masih lagi membuka pendaftaran bagi program ini di www.binabisnesberjaya.com. Kita juga sedang mempertimbangkan untuk memasang beberapa khemah besar serta layar skrin gergasi supaya mereka yang tidak dapat masuk ke pusat itu, dapat mengikuti program berkenaan,” kata Radz.