Tag: undi18

  • Remaja tak matang, wakil Wanita UMNO gesa umur pengundi dinaikkan ke 23 tahun

    Remaja tak matang, wakil Wanita UMNO gesa umur pengundi dinaikkan ke 23 tahun

    SEORANG pemimpin Wanita UMNO Kedah menggesa kerajaan menaikkan semula had umur mengundi kepada 23 tahun kerana remaja berusia 18 tahun masih belum matang.

    Menurut Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerai Norma Awang, pengundi 18 tahun mempunyai tahap kematangan dan pemahaman yang mentah mengenai pilihan raya, pengundian, sistem demokrasi dan implikasi pengundian terhadap pembentukan dan dasar kerajaan.

    “Sebab itu kita sarankan kepada penggubal undang-undang dan wakil Umno dalam kerajaan ubah semula had umur mengundi ini,” katanya ketika perbahasan sayap Wanita UMNO di WTC di ibu negara hari ini.

    Norma berkata, Barisan Nasional tidak cukup “ranggi” dan “loklaq” bagi menawan hati serta aspirasi anak muda, yang menjadi punca prestasi buruk UMNO dalam pilihan raya umum ke-15.

    Katanya, jangan dibanding remaja 18 tahun di Malaysia dengan rakan sebaya mereka di luar negara terutama di Barat.

    Menurutnya, di kebanyakan negara Barat, ramai remaja 18 tahun sudah mengikuti pengajian Masters dan PHD tetapi di Malaysia kebanyakan remaja masih “terkial-kial menagih ketum, asyik dengan TikTok dan bermadu asmara cinta monyet”.

    “Remaja 18 tahun di negara ini, seluar dalam pun emak bapak yang masih beli dan mereka baru selesai peperiksaan SPM,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Atas faktor itu, kata Norma, had umur mengundi di Malaysia perlu dinaikkan kepada 23 tahun, tambahnya, pengundi setidaknya habis pengajian ijazah pertama.

    Inisiatif Undi18 dilaksanakan oleh kerajaan sejak Dis 2021, menurunkan had umur pengundi daripada 21 ke 18 tahun.

    PRU15 adalah kali pertama pelaksanaan inisiatif itu dan pendaftaran pengundi automatik. Ini menyebabkan penambahan 5.8 juta pengundi baharu, peningkatan sebanyak 40 peratus.

  • SPR diarah laksana undi 18 menjelang Disember patuhi keputusan mahkamah

    SPR diarah laksana undi 18 menjelang Disember patuhi keputusan mahkamah

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) diarahkan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis ini bagi mematuhi keputusan mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    “SPR diminta untuk melaksanakan apa sahaja yang perlu berlandaskan kuasa di bawah SPR yang disebut hakim di Sarawak untuk melaksanakannya,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SPR di sini hari ini.

    Mahkamah Tinggi Kuching Jumaat lepas memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis tahun ini.

    Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

    Wan Junaidi berkata kerajaan belum membuat keputusan untuk membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah tersebut dan arahan daripada Mahkamah Tinggi Kuching itu masih kekal sebagai undang-undang yang perlu dipatuhi.

    “Belum lagi diputuskan, kena dapat perbincangan mendalam dengan Jabatan Peguam Negara dan mendapat keputusan dasar daripada Jemaah Menteri,” katanya.

    Wan Junaidi berkata antara perkara berbangkit selepas Parlimen meminda Perlembagaan untuk menurunkan umur pengundi dan calon adalah apabila terdapat negeri yang belum membuat pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri bagi melaksanakan pencalonan 18 tahun sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri terbabit.

    Beliau berkata perbincangan menyeluruh perlu diadakan antara SPR dan Jabatan Peguam Negara mengenai tindakan yang perlu diambil jika negeri-negeri berkenaan masih tidak bersetuju dengan penurunan umur menjadi calon ADUN.- BERNAMA