Tag: undi pos

  • Undi pos tentera sudah bermula 7 Nov – Affendi

    Undi pos tentera sudah bermula 7 Nov – Affendi

    PROSES membuang undi bagi anggota tentera (ATM) yang didaftarkan sebagai pengundi pos telah bermula 7 November lalu.

    Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Affendi Buang selain itu berkata, bagi pengundian awal Selasa ini pula, seramai 146,737 anggota dan pasangan akan mengundi di 153 pusat mengundi yang telah diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurutnya, adalah menjadi harapan ATM agar proses pengundian berkenaan berjalan dengan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi yang sah sepertimana rakyat Malaysia yang lain.

    “ATM juga sentiasa menyokong proses dan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

    “Atas kesetiaan kepada Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kenyataan itu menyusul selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk SeriAnwar Ibrahim mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mempertikai dakwaan Anwar dan menyifatkan dawaan itu sebagai fitnah dan berniat jahat terhadap anggota pasukan keselamatan.

    Mengulas lanjut Affendi berkata, apa yang penting pihaknya akan terus memfokuskan keutamaan dalam memperkasakan kesiapsiagaan angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.

    “Apatah lagi, ketika negara kini telah mula memasuki musim tengkujuh yang bermula sejak 7 Nov dan akan berlarutan sehingga Mac 2023. ATM kini telahpun bersiap siaga dan bersedia untuk mengatur gerakan aset sekiranya berlakunya banjir terutama di negeri-negeri yang berisiko terjejas dengan bencana tersebut.

    “Dalam pelaksanaan PRU-15 terutama pada 19 November nanti, ATM juga bersedia menghulurkan bantuan kepada SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan perjalanan proses pengundian di seluruh negara berjalan dengan lancar,” katanya.

    Tambahnya, ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini sepanjang proses pengundian serta ketika keputusan pilihan raya diumumkan nanti.

  • Polis tahan dua lelaki sebar kertas undi pos PRU-15

    Polis tahan dua lelaki sebar kertas undi pos PRU-15

    POLIS menahan dua lelaki lewat malam tadi dan awal pagi ini di Gua Musang bagi membantu siasatan berhubung penyebaran paparan kertas undi pos Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi aplikasi WhatsApp.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata lelaki berumur 20an dan 50an itu ditahan pada pukul 11.30 malam dan 2 pagi tadi kerana menerima dan menyebarkan paparan kertas undi pos berkenaan, dan polis sedang menyiasat motif mereka.

    “Apa apa sahaja dokumen mengenai pilihan raya ini jangan disebarkan, kerana ini akan menimbulkan persepsi negatif kepada masyarakat, biarlah ia menjadi rahsia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua individu itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan, dan pihak sedang berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan selanjutnya.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) (j) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya. – BERNAMA