Tag: undi percaya

  • Undi percaya, pelantikan Speaker tumpuan hari pertama

    Undi percaya, pelantikan Speaker tumpuan hari pertama

    PEMBENTANGAN usul undi percaya dan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu antara tumpuan hari pertama persidangan Parlimen bagi Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November sebagai Perdana Menteri ke-10, terkandung pada nombor lapan Aturan Urusan Mesyuarat.

    Ia bertujuan membuktikan beliau mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

    Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung dua hari bermula hari ini, juga bakal menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU-15 mengangkat sumpah selain pemilihan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat terkandung pada urutan nombor dua dan lima.

    Pada 2 Disember, media melaporkan Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

    Menurut laporan media, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul disebut-sebut menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) menggantikan Azhar, manakala Perikatan Nasional (PN) mencalonkan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu.

    Selain itu, Ahli Parlimen Lanang daripada DAP Alice Lau dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Nor daripada Barisan Nasional (BN) dilapor dicalonkan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,

    Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dicalonkan PN untuk jawatan sama.

    Turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini adalah pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

    Anwar pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet pertama 5 Disember lepas berkata, persidangan Parlimen pertama itu juga akan membentang dan meluluskan peruntukan khas atau bajet mini bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam bagi Januari.

  • Agong tolak gaji sejak Covid-19 melanda – PM

    Agong tolak gaji sejak Covid-19 melanda – PM

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah lebih awal tidak mengambil gaji, iaitu sejak COVID-19 melanda negara kerana Seri Paduka cakna dengan keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya nak maklumkan bahawa Tuanku Agong telah menolak gaji sejak COVID-19, lebih awal daripada saya. Baginda tidak menerima sebarang gaji oleh kerajaan sejak COVID-19. Saya ingat eloklah kita beri penjelasan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini  hari ini.

    Anwar sebelum ini menetapkan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan perdana menteri sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat terutama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

    Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 Nov.

    Jemaah Menteri turut bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan atas atas semangat keprihatinan terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini.

    Sementara itu, Anwar menyatakan keyakinan pemimpin parti politik Kerajaan Perpaduan akan menyokong usul undi percaya terhadapnya pada persidangan Parlimen 19 Dis ini.

    “Ketua parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan beberapa parti lain telah beri komitmen.

    “Insya-Allah, kita dapat teruskan dengan baik…minta doakan sebaiknya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin akan memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat ketika usul undi percaya itu dibentangkan pada persidangan Parlimen itu, Isnin depan.

    Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis ini.

    Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

    Anwar semasa sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas berkata satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Dis bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri. – BERNAMA

  • Tak perlu usul undi percaya, dunia akan ketawakan kita kalau tukar PM lagi – Tun M

    Tak perlu usul undi percaya, dunia akan ketawakan kita kalau tukar PM lagi – Tun M

    TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Parlimen tidak lagi perlu dilakukan kerana memberi risiko berulang pergolakan politik dalam negara.

    “Saya tidak fikir perkara itu (elok dilakukan) kerana kita tak nak tukar sekali lagi Perdana Menteri.

    “Kalau ke Parlimen, dia (Ismail Sabri) tak dapat majoriti, (Perdana Menteri) kena tukar lain dan dunia ketawakan kita,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, hari ini.

    Beliau mengulas gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, supaya undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat segera di Parlimen.

    Pada soalan mengenai slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenal Ismail Sabri, Dr Mahathir berkata, slogan itu perlu disusuli cara bekerja oleh pemimpin dan rakyat.

    “Kalau tukar slogan, tapi buat kerja macam itu juga tak guna…mengarut sahaja dan kita khuatir (kemampuan) dia (Ismail Sabri) bawa cara baharu atau tidak.

    “Kalau kita lihat dari segi penyokong kerajaan adalah orang sama… tiada beza langsung, cuma yang tukar Perdana Menteri,” katanya.

    Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Sabtu lalu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat.

    Ahli Parlimen Bera itu diberi perkenan dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri selepas mendapat sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat menerusi surat pencalonan rahsia.