Tag: undi awal

  • Pusat mengundi awal dibuka esok bagi Parlimen Padang Serai, DUN Tioman

    Pusat mengundi awal dibuka esok bagi Parlimen Padang Serai, DUN Tioman

    SEJUMLAH 76 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi awal esok bagi Parlimen Padang Serai, manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pula melibatkan 243 anggota polis.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan memaklumkan, proses mengundi bagi Parlimen Padang Serai bertempat di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, mulai 8 pagi hingga 2 petang.

    Beliau berkata bagi DUN Tioman pula, akan mengundi awal di Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin (8 pagi hingga 5 petang) dan di Bilik Maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman (8 pagi hingga 12 tengah hari).

    “SPR turut menyarankan kepada pengundi yang positif COVID-19, untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal nanti.

    “Proses pengundian awal ini turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding. SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR di beberapa Pusat Mengundi Awal yang terpilih,” katanya.

    Beliau berkata kertas undi awal akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat, selain pengiraan dibuat pada 7 Dis bermula jam 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan.

    Dalam pada itu, SPR turut menasihati agar pengundi yang dikategorikan mengundi awal, membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

    Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu), Datuk C. Sivaraj  (BN-MIC), Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Sreanandha Rao (Bebas) dan Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan).

    Warisan kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo Warisan masih tersenarai dalam kertas undi, kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.

    DUN Tioman pula melibatkan saingan lima penjuru antara calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas) walaupun calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengumumkan untuk menarik diri kerana logo PH masih tersenarai dalam kertas undi.

    SPR telah menetapkan proses penamaan calon bagi Parlimen dan DUN tersebut berlangsung pada 24 Nov lepas diikuti pengundian awal esok dan 7 Dis ditetapkan sebagai hari pengundian. – BERNAMA

  • Undi awal: Pengundi dirayu keluar beramai-ramai, pertimbang tawaran PN

    Undi awal: Pengundi dirayu keluar beramai-ramai, pertimbang tawaran PN

    PENGUNDI awal dirayu agar keluar beramai-ramai melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 esok.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka juga diharapkan memberikan sokongan kepada gabungan politik itu atas faktor pemimpinnya yang berkeupayaan, amanah, berintegriti dan bertanggungjawab.

    Menurutnya, manifesto PN akan membantu semua rakyat termasuk kumpulan yang mengundi awal yang sebahagian besarnya adalah penjawat awam.

    “Harapan saya ialah supaya mereka menyokong PN kerana saya fikir mereka boleh buat perbandingan siapa berupaya, siapa yang beramanah, siapa yang berintegriti, siapa yang bertanggungjawab.

    “Penjawat awam ini kita janjikan mereka kenaikan elaun sara hidup (COLA) sebanyak RM100 dan menyediakan lebih banyak kemudahan berkaitan perkhidmatan awam.

    “Jadi itu ada kita sebut ketika parti lain tidak.Jadi harapan saya mereka akan keluar beramai-ramai menyokong PN,”katanya.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau difahamkan undi awal melibatkan sebahagian besar pengundi yang layak khasnya penjawat awam.

    “Mereka dirayu agar keluar awal mengundi kerana peratusan tinggi pengundi akan dapat membantu semua parti bertanding terutamanya PN.

    Sementara itu, kira-kira 265,531 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera akan menjadi kumpulan terawal menentukan mandat kerajaan, esok.

    Jumlah itu terdiri daripada 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

  • Undi pos tentera sudah bermula 7 Nov – Affendi

    Undi pos tentera sudah bermula 7 Nov – Affendi

    PROSES membuang undi bagi anggota tentera (ATM) yang didaftarkan sebagai pengundi pos telah bermula 7 November lalu.

    Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Affendi Buang selain itu berkata, bagi pengundian awal Selasa ini pula, seramai 146,737 anggota dan pasangan akan mengundi di 153 pusat mengundi yang telah diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurutnya, adalah menjadi harapan ATM agar proses pengundian berkenaan berjalan dengan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi yang sah sepertimana rakyat Malaysia yang lain.

    “ATM juga sentiasa menyokong proses dan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

    “Atas kesetiaan kepada Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kenyataan itu menyusul selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk SeriAnwar Ibrahim mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mempertikai dakwaan Anwar dan menyifatkan dawaan itu sebagai fitnah dan berniat jahat terhadap anggota pasukan keselamatan.

    Mengulas lanjut Affendi berkata, apa yang penting pihaknya akan terus memfokuskan keutamaan dalam memperkasakan kesiapsiagaan angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.

    “Apatah lagi, ketika negara kini telah mula memasuki musim tengkujuh yang bermula sejak 7 Nov dan akan berlarutan sehingga Mac 2023. ATM kini telahpun bersiap siaga dan bersedia untuk mengatur gerakan aset sekiranya berlakunya banjir terutama di negeri-negeri yang berisiko terjejas dengan bencana tersebut.

    “Dalam pelaksanaan PRU-15 terutama pada 19 November nanti, ATM juga bersedia menghulurkan bantuan kepada SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan perjalanan proses pengundian di seluruh negara berjalan dengan lancar,” katanya.

    Tambahnya, ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini sepanjang proses pengundian serta ketika keputusan pilihan raya diumumkan nanti.