PEGUAM kanan, Haniff Khatri Abdulla berkata, hanya mahkamah yang boleh menakrifkan undang-undang lompat parti, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang sedang hangat dibincangkan ketika ini.
Beliau menyifatkan, tiada siapa yang 100 peratus betul atau salah dalam isu empat Ahli Parlimen mengumumkan keluar parti di Sabah, namun mengisytiharkan kekal dalam gabungan disertai parti sama.
“Masalah ini terjadi seperti yang saya selalu katakan sebelum ini, tidak ada keseragaman atau penelitian dibuat sebelum undang-undang itu diluluskan.
“Perkara ini sudah disebut pada 19 dan 20 November selepas Parlimen tergantung, bolehkah Ahli Parlimen memilih atau menyokong calon Perdana Menteri tanpa terikat dengan parti, adakah itu dianggap lompat parti?” katanya, lapor Berita Harian.
Haniff Khatri selain itu berkata, isu kedua yang berbangkit dalam urusan Akta Lompat Parti adalah ketidakseragaman undang-undang berkaitan.
“Dalam undang-undang yang sama telah ditulis definisi apa itu parti politik dan gabungan parti politik, jadi dalam kes yang berlaku baru ini, hanya mahkamah yang layak mentafsirkan undang-undang tersebut untuk situasi itu,” katanya.
Pada masa sama Haniff menempelak ahli politik negara ini yang dianggapnya terlalu gopoh mewujudkan undang-undang ibarat menampal lubang di dinding.
“Sepatutnya, mereka buat jawatankuasa kajian kerana undang-undang ini berkait dengan akta pertubuhan dan berkait pula dengan masalah gabungan parti atau individu,” katanya.
Haniff menambah, definisi ‘parti politik’ mengikut Perkara 160 yang termasuk ‘gabungan parti’ akan menjadi sia-sia, seandainya menjadi ahli GRS adalah tertakluk kepada keahlian sah dalam Bersatu.
“Bagaimana pula, jika mana-mana parti lain dalam GRS, sanggup ambil empat orang Ahli Parlimen itu menjadi ahli parti mereka. Bukankah parti itu (atau parti baru yang mahu ditubuhkan mereka dan diterima GRS) adalah anggota GRS?,” tegasnya.
Selain itu Haniff menyifatkan, masalah berbangkit ketika ini berlaku kerana undang-undang tertinggi, yakni Perlembagaan dipinda tanpa pembabitan pakar bidang berkenaan, apatah lagi dilakukan dalam tergopoh-gapah oleh mereka dalam Parlimen yang mempunyai ‘konflik kepentingan’.