Tag: umrah

  • Umrah tangguh: Bincang bayaran balik bagi bakal jemaah

    Umrah tangguh: Bincang bayaran balik bagi bakal jemaah

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi membantu bakal jemaah yang terkesan susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah bermula 8 Jan ini. 

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuk berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), sama ada jemaah diberi pembayaran balik atau dijadualkan semula perjalanan mereka.

    “Memang kita dah bincang dengan mereka bagaimana mereka yang terkesan ini dapat sama ada menjadualkan semula umrah mereka dan langkah untuk dapat bayaran balik selain kita juga akan terus adakan sesi libat urus dengan agensi pelancongan.

    “Saya minta maaf kepada mereka yang nak pegi umrah tetapi mudarat yang besar adalah kesihatan awam…tidak ada menteri beragama Islam yang ingin tangguhkan ibadah umrah, tetapi ini perkara yang serius, ini bukan tweet di media sosial, ini bukan video di Tiktok, ini adalah kehidupan anda,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

    Kerajaan hari ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan Omicron, susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman.

    Ditanya mengenai kos kuarantin wajib di pusat kuarantin yang akan dikenakan kepada jemaah umrah, Khairy berkata mereka mempunyai pilihan sama ada untuk menanggung sendiri bayaran kos kuarantin di hotel yang akan disenaraikan oleh KKM atau menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

    Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang menguruskan stesen kuarantin yang sesuai dan selesa untuk menempatkan para jemaah dan berkemungkinan melibatkan kemudahan kerajaan yang telah digunakan sebagai pusat kuarantin sebelum ini.

    Dalam pada itu, Khairy berkata KKM sedang mengkaji berkenaan suntikan dua dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech yang didakwa menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron, berbanding varian lain.

    “Kita telah terima berita tersebut, kumpulan teknikal sedang mengkaji maklumat yang diperoleh dan mereka akan buat syor kepada CITF (Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19).

    “Sama ada mereka yang telah terima Sinovac, Sinovac, Pfizer mesti dilengkapi dengan satu dos lagi, tetapi masih terlalu awal untuk buat apa-apa kesimpulan buat masa ini tetapi kita dah tahu berita tersebut dan sedang dikaji,” katanya.

    Media melaporkan kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik dari Universiti Yale, Kementerian Kesihatan Republik Dominican serta beberapa institusi lain mendapati dua suntikan vaksin Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron, berbanding varian lain. – BERNAMA

  • Kerajaan tangguh kebenaran umrah mulai 8 Januari

    Kerajaan tangguh kebenaran umrah mulai 8 Januari

    KERAJAAN memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan ini bagi membendung penularan varian Omicron COVID-19.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman yang menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

    “Kebanyakan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah telah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh hari kuarantin. Namun apabila berlaku tidak patuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kes-kes positif COVID-19 dalam kalangan jemaah umrah telah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

    “Ketidakpatuhan kepada prosedur kuarantin di rumah atau tempat kediaman juga telah mendedahkan ahli keluarga serumah atau jiran tetangga dan sanak saudara yang datang menziarah, kepada jangkitan COVID-19,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata, berikutan situasi berkenaan, satu perbincangan khas telah diadakan semalam bersama beberapa agensi yang terlibat dalam pengurusan jemaah umrah membabitkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji; Kementerian Pengangkutan; Majlis Keselamatan Negara; Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); Jabatan Imigresen Malaysia dan Persatuan Agensi Pelancongan umrah dan Haji.

    Ia disusuli dengan Mesyuarat Khas Kuartet yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan cadangan penangguhan ibadah umrah susulan penularan Omicron.

    Mesyuarat berkenaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Jan ini sehingga suatu tarikh yang dimaklumkan kelak dan tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa hari ini.

    Khairy berkata, selain penangguhan kebenaran perjalanan umrah, turut diputuskan adalah kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak NADMA bagi jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Jan ini.

    “Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci (Mekah) pada 1 hingga 7 Januari 2022, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan. Mereka bagaimanapun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak NADMA apabila tiba di Malaysia.

    “Hasil mesyuarat telah diangkat kepada persetujuan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya.

    Khairy berkata, perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah dari pelbagai negara semasa di Arab Saudi mendedahkan jemaah Malaysia kepada risiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron di mana situasi ini juga menyukarkan jemaah untuk mematuhi SOP Umrah yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

    “Bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai iaitu kira-kira 800 ke 1,000 sehari (menggunakan empat penerbangan khas) meningkatkan lagi risiko pengimportan kes COVID-19 dan varian Omicron ke dalam negara,” katanya.

    Beliau berkata, penilaian risiko situasi varian Omicron COVID-19 di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala sebelum keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah dibuat, dan penangguhan sementara itu dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19.

    Menurutnya, sehingga 30 Dis lepas, 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus telah dikesan positif COVID-19 dan daripada jumlah itu, 592 dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia manakala 714 kes dikesan positif pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

    Beliau berkata semalam (31 Dis), dua lagi kes COVID-19 disahkan varian Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 64 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 32 kes atau 50 peratus dikesan dalam kalangan jemaah umrah.

    Katanya, 63 daripadanya melibatkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan.

    Khairy berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 1,077 sampel kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara dari tempoh 21 sehingga 29 Dis lepas.

    “Sebanyak 966 daripadanya telah menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS), dan daripada 966 sampel berkenaan, 750 atau 77.6 peratus melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi.

    “Sehingga 30 Dis, terdapat sembilan kluster yang berlaku melibatkan jemaah umrah iaitu lima kluster melibatkan kes-kes indeks yang disahkan varian Omicron, satu kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron – menunggu keputusan Whole Genomic Sequencing (WGS) dan tiga kluster melibatkan kes-kes indeks positif COVID-19 yang bukan varian Omicron,” katanya. – BERNAMA

  • Mesti pakai peranti pengesanan digital selepas balik umrah

    Mesti pakai peranti pengesanan digital selepas balik umrah

    INDIVIDU yang menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari selepas pulang daripada menunaikan umrah akan diwajibkan memakai peranti pengesanan digital mulai minggu depan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Bercakap pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Putrajaya hari ini, Khairy berkata, pelaksanaan pemakaian peranti pengesanan digital itu dibuat berikutan terdapat 30 daripada 49 kes baharu varian Omicron di Malaysia yang dikesan antara 23 dan 24 Dis merupakan kes import dari Arab Saudi.

    “Kesemua mereka tiba dari Arab Saudi bermula 13 hingga 17 Dis lepas. Kami dapati sebahagian besar daripada mereka tidak patuh arahan pengasingan dengan ahli keluarga, mereka berjumpa sesama mereka (ahli keluarga) malah menerima tetamu.

    “Mungkin tetamu atau ahli keluarga datang berziarah untuk bersalam ambil berkat tetapi salam ambil ‘Omicron’,” katanya.

    Khairy berkata kegagalan mematuhi arahan kuarantin berpotensi mengakibatkan peningkatan penularan jangkitan varian Omicron dalam negara ini.

    “Saya harap perkara ini (arahan kuarantin) dipatuhi. Ini adalah serius. Kami bagi kemudahan untuk jalani kuarantin di rumah untuk jimatkan kos, tidak perlu tinggal di hotel. Jadi kena patuh,” katanya.

    Beliau berkata, sehingga kini terdapat 62 kes varian Omicron direkodkan di negara ini yang terdiri daripada 61 kes import dan satu kes dipercayai kes tempatan.

    Susulan situasi tersebut, Khairy berkata, Malaysia akan memasukkan Arab Saudi ke dalam senarai negara berisiko tinggi bersama sembilan negara lain iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.

    Memperincikan mengenai perkara itu, Khairy berkata, kerajaan amat menggalakkan mana-mana individu yang berhasrat untuk melakukan perjalanan ke luar negara untuk mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19. – BERNAMA

  • Kos ibadah umrah dijangka meningkat susulan SOP baharu Arab Saudi

    Kos ibadah umrah dijangka meningkat susulan SOP baharu Arab Saudi

    KOS menunaikan ibadah umrah dijangka meningkat sedikit susulan pelaksanaan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan kerajaan Arab Saudi berikutan pandemik COVID-19.

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sebahagian besar peningkatan kos itu berkait dengan penjarakan sosial seperti had muatan bilik hotel dan bas.

    “Sebagai contoh – jumlah jemaah dalam bilik penginapan dihadkan kepada dua orang sahaja yang mana sebelum wabak COVID-19, satu bilik boleh memuatkan 4-6 orang. Begitu juga semasa jemaah menaiki kenderaan (bas), yang mana jumlah penumpang dihadkan kepada 50 peratus muatan bas.

    “Selain itu, jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram turut dihadkan. Pergerakan semasa melaksanakan tawaf dan saei perlu mengikuti SOP ketat seperti mana yang kita lihat semasa musim haji baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan 60 ribu jemaah haji sahaja menunaikan haji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zulkifli berkata peraturan-peraturan berkenaan turut memberi bayangan bahawa ada kemungkinan kesan kepada kos mengerjakan umrah.

    “Oleh yang demikian, kita berharap semua yang berhasrat menunaikan umrah perlu akur dan menerima sebarang perubahan baharu tersebut dengan hati terbuka.

    “Jemaah umrah harus sentiasa mematuhi SOP terutamanya penjarakan sosial sepanjang mereka melaksanakan umrah, demi keselamatan semua pihak,” katanya.

    Pada 1 Ogos lepas, Arab Saudi telah membuka kembali pintunya kepada pelancong dari 49 negara termasuk Malaysia, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara itu. 

    Zulkifli berkata kebenaran itu adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia.

    Namun, beliau berkata pihaknya masih menunggu makluman rasmi dan terperinci dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi membenarkan rakyat negara ini menunaikan ibadah umrah.

    “Jemaah umrah dari Malaysia yang ingin melaksanakan ibadat umrah perlu bersedia dengan perubahan-perubahan baharu yang bakal ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

    “Pihak kami difahamkan kerajaan Arab Saudi sedang meneliti peraturan-peraturan terperinci ke atas sesebuah negara dengan mengambil kira permasalahan penjagaan kesihatan dan keselamatan semua pihak dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih belum reda di serata dunia,” katanya.-BERNAMA

  • Arab Saudi rancang benarkan 120,000 orang jemaah tunai umrah sehari

    Arab Saudi rancang benarkan 120,000 orang jemaah tunai umrah sehari

    ARAB Saudi merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah sehingga 120,000 orang sehari berbanding 60,000 orang ketika ini.

    Saudi Gazette melaporkan, Setiausaha Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Abdulaziz Wazan berkata, terdapat usaha segera meningkatkan kapasiti umrah harian kepada 90,000 orang jemaah sehingga jumlahnya mencapai 120,000 orang jemaah.

    “Ia akan dilakukan menerusi kerjasama dengan pihak yang berkeupayaan,” katanya dalam satu wawancara televisyen, kelmarin.

    Abdulaziz berkata, beliau menjangkakan lebih ramai umat Islam menunaikan umrah tahun ini.

    Ujarnya, permit umrah yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi meliputi solat di Masjidilharam di Mekah, ziarah Masjid Nabawi di Madinah selain menunaikan solat di Al Rawda Al Sharifa di dalam masjid berkenaan.

    “Syarikat Arab Saudi yang menawarkan perkhidmatan kepada jemaah umrah telah bersiap sedia memberikan kualiti perkhidmatan terbaik mereka,” tambahnya.

    Arab Saudi mula menerima permohonan umat Islam dari luar negara yang lengkap divaksin untuk menunaikan umrah bermula 9 Ogos lalu.

    Malaysia antara negara yang termasuk dalam senarai diberikan kebenaran untuk menunaikan umrah oleh Arab Saudi.

  • Arab Saudi benarkan visa setahun hingga 90 hari untuk pelancong dari 49 negara

    Arab Saudi benarkan visa setahun hingga 90 hari untuk pelancong dari 49 negara

    ARAB Saudi membuka kembali pintunya untuk pelancong dari 49 negara sejak 1 Ogos, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa masuk bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara tersebut.

    Saudi Gazette melaporkan, syarat dan peraturan untuk mendapatkan visa pelancong dan memasuki Arab Saudi termasuk imunisasi legkap dengan vaksin yang diluluskan oleh kerajaan itu.

    Katanya, ini sebagai tambahan kepada ujian PCR negatif yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas dan pendaftaran di portal Muqeem negara itu.

    Selepas hampir setahun setengah sejak pandemik bermula awal tahun lalu, Arab Saudi telah membangunkan laman web untuk memudahkan mereka yang ingin mendapatkan visa pelancong melalui portal dalam talian.

    Pelancong dan pelawat dari 49 negara termasuk Malaysia, layak untuk memohon e-visa, yang membolehkan mereka menunaikan Umrah dan mengikuti pelbagai aktiviti melancong di seluruh negara itu.

    Selain Malaysia, warga dari negara berikut layak mendapatkan visa pelancongan: Amerika Syarikat, Kanada, Andorra, Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Belanda, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania dan Luxembourg.

    Turut layak ialah Malta, Monaco, Montenegro, Norway, Poland, Portugal, Romania, Rusia, San Marino, Slovakia, Slovenia, Ukraine, United Kingdom, Switzerland, San Marino , Sepanyol, Brunei, China (termasuk Hong Kong dan Macau), serta Jepun, Kazakhstan, Singapura, Korea Selatan, Oceania, Australia dan New Zealand.

    Sebelum ini Kementerian Pelancongan Arab Saudi mengumumkan bermula 1 Ogos, negara ini membuka kembali pintu negara kepada pelancong dan menarik balik sekatan kemasukan bagi pemegang visa pelancong.

    Namun kata kementerian itu, pelancong yang tiba perlu mendaftarkan maklumat berkaitan dengan dos vaksinasi di https://muqeem.sa/#/vaccine-registration/home, data itu direkodkan dalam aplikasi Tawakkalna dan mesti ditunjukkan semasa memasuki tempat awam.

    Sementara itu, Haramain Sharifain, sebuah blog sosial berbahasa Inggeris melaporkan semua pengunjung yang tiba di negara itu mesti memberikan bukti lengkap mengenai satu daripada empat vaksin yang dibenarkan Arab Saudi: dua dos vaksin Oxford/Astra Zeneca, Pfizer/BioNTech atau Moderna atau satu dos vaksin dihasilkan Johnson and Johnson.

    Mereka yang lengkap dua dos vaksin Sinopharm atau Sinovac akan dibenarkan masuk dengan syarat dos tambahan perlu menggunakan satu daripada empat vaksin lain yang diluluskan Arab Saudi.

  • 20,000 umat Islam dijangka tunai umrah minggu hadapan

    20,000 umat Islam dijangka tunai umrah minggu hadapan

    ARAB SAUDI dijangka menerima lebih 20,000 jemaah umrah dari dalam dan luar negara dalam tempoh beberapa hari lagi, lapor agensi berita Okaz semalam yang memetik Kementerian Haji dan Umrah.

    Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah, Hisham Saeed berkata, jemaah dari luar negara yang dibenarkan masuk untuk ibadah itu hanya dari negara yang tidak dikenakan sekatan perjalanan berdasarkan arahan Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awan (GACA) Arab Saudi.

    Buat masa ini, negara berdepan sekatan perjalanan adalah India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Habsyah, Vietnam, Afghanistan dan Lebanon

    Lapor Saudi Gazette, larangan itu berikutan peningkatan jangkitan koronavirus (Covid-19) dan penularan variannya di negara terlibat.

    Sementara itu, kira-kira 500 syarikat perkhidmatan umrah dan lebih 6,000 ejen umrah luar negara sudah bersiap sedia untuk menerima jemaah yang lengkap divaksin.

    Menurut ahli Jawatankuasa Kebangsaan untuk Haji dan Umrah, Hani Ali Al-Amiri, umat Islam yang mahu menunaikan umrah boleh menempah pakej umrah dan membuat pembayaran menerusi kira-kira 30 platform elektronik dan laman web yang menyediakan tempahan peringkat global.

    “Hanya mereka yang sudah lengkap divaksin boleh memohon visa umrah.

    “Individu berkenaan juga perlu mempunyai tahap kesihatan yang cemerlang dan mematuhi protokol untuk memastikan tahap keselamatan jemaah luar negara,” kata ahli jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.