BEKAS Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan laungan hidup Melayu! hidup UMNO! hanya tinggal sejarah susulan perkembangan terkini politik tanah air melibatkan parti itu.
Hari ini buat pertama kali Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang turut disertai DAP menubuhkan kerajaan negeri di Perak dan terdapat spekulasi kuat gabungan itu akan diteruskan di peringkat pusat.
Namun tegas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO itu, keputusan untuk menyertai mana-mana parti telah ditangguhkan.
“Jawatankuasa perunding harus tegas bukan sekadar hanya untuk mendapat jawatan dalam kerajaan,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya hari ini.
Mengulas lanjut Noh berkata, kesilapan dalam membuat keputusan hanya akan menyebabkan orang Melayu akan memulaukan UMNO.
“Dari 30 kerusi BN jangan sampai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti hanya tinggal tiga kerusi saja.
Semalam Noh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor selepas hilang kepercayaan dengan kepimpinan presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Namun Noh masih Ahli MKT dan akan hadir ke mesyuarat yang diadakan, namun tidak akan menghadiri Mesyuarat Biro Politik.
Untuk rekod, Noh menyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang sejak PRU-9 pada 1995 namun digugurkan daripada bertanding pada PRU-15.
GELOMBANG desakan agar Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan semakin meningkat dengan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin anggota parti terbaharu menyuarakan tekanan itu.
Khairy menggunakan analogi perang untuk memberi isyarat kepada Ahmad Zahid agar berundur kerana menyifatkan reformasi UMNO tidak boleh ditangguh lagi.
Menurut beliau, apabila kalah dalam peperangan, panglima besarnya perlu bermaruah untuk mengambil tanggungjawab lebih-lebih lagi strategi diatur panglima besar itu mengakibatkan ramai tentera tersungkur.
“Apabila kalah dalam peperangan, Panglima besar mesti ada maruah untuk mengambil tanggungjawab. Lebih2 lagi bila strategi perang diatur oleh Panglima besar telah sebabkan ramai soldadu di medan tersungkur.
“Presiden mesti undur. Sekarang. Reformasi UMNO tidak boleh ditangguh lagi,” ciapnya di Twitter beliau.
Desakan itu turut dibuat Wanita BN Wilayah Persekutuan meminta Zahid melepaskan jawatan sebagai pengerusi gabungan tersebut dan menyerahkan teraju kepimpinan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ketuanya, Zurainah Musa, berkata pengerusi BN itu wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penolakan rakyat kepada BN dalam PRU semalam.
“Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 rakyat menegur UMNO (dan) BN, dalam PRU ke-15 rakyat menolak UMNO, BN. Oleh itu pengerusi BN wajib bertaggungjawab sepenuhnya terhadap penolakan rakyat.
“Justeru Wanita BN Wilayah Persekutuan menggesa Ahhad Zahid meletak jawatan sebagai pengerusi dan presiden Umno serta-merta. Umno perlu segera melakukan penstrukturan parti,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Zurainah juga menegaskan pendirian pergerakan itu ialah menolak sebarang kerjasama dengan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, dan DAP yang menjadi komponennya.
“Pendirian Wanita BN Wilayah ialah ‘no Anwar, no DAP’ seperti diputuskan perhimpunan agung Umno lalu,” katanya.
Dia juga berkata, tiada siapa boleh melanggar ketetapan tersebut termasuk presiden, biro politik dan majlis kerja tertinggi (MKT) mereka.
Sementara itu dua sayap dalam MIC juga mengeluarkan kenyataan sama.
Ketua Pemuda MIC kebangsaan,K Raven Kumar, berkata Ahmad Zahid adalah liabiliti kepada BN sehingga mengakibatkan nama-nama besar lain dalam parti turut tewas.
“Majoriti anak muda berpandangan bahawa BN masih dalam cengkuman ‘warlords’ serta kluster mahkamah.
“Jelas dapat dilihat bahawa Ahmad Zahid adalah liabiliti sebenar kepada BN,” katanya.
Tambah Raven Kumar, antara nama besar yang kalah semalam termasuklah Khairy, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, malah Presiden MIC sendiri, SA Vigneswaran.
Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy, berpendapat Ahmad Zahid perlu berjiwa besar dengan melepaskan jawatan tersebut.
Katanya, ketika ini itulah jalan terbaik untuk BN yang berusaha memulih dan memperbaiki parti berkenaan.
“Anggaplah ini satu pengajaran buat kita semua. Peletakan jawatan ini juga untuk memberi laluan kepada pimpinan lain yang mampu membawa perubahan jika BN tidak mahu berdepan dengan penolakan lebih teruk pada masa hadapan,” katanya, lapor Malaysiakini.
BEKAS Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique menggesa Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semalam.
Menurut beliau, UMNO tidak mampu dan tidak boleh lagi menanggung segala liabiliti individu dalam parti yang hanya meletakkan kepentingan peribadi.
“Dengan rasa penuh hormat, saya memohon supaya Presiden UMNO, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya segera meletakkan jawatan.
“Berjiwa besarlah Presiden. Bertanggungjawablah atas apa yang telah berlaku.
“Letakkan kepentingan Parti sebagai keutamaan seperti yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 2018 bila kita kalah. Beliau buat begitu kerana sayangkan Parti UMNO,” katanya menerusi catatan Facebook miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Halimah turut berpesan kepada Ketua UMNO Bahagian agar berani mempertahankan parti dengan iltizam untuk membersihkan dan menguatkan parti itu dengan meletakkan pemimpin yang lebih bertanggungjawab untuk terus memimpin UMNO.
“Kepada semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian, jadilah seorang ketua yang ikhlas, bertanggungjawab dan kita sama-sama minta Presiden undur diri dan meletak jawatan demi perjuangan dan masa depan parti.
“Pulangkan perjuangan UMNO kepada niat asal. Perjuangan dan keutamaan parti adalah tertumpu kepada suara akar umbi yang mendambakan sebuah institusi yang berupaya membawa suara dan nasib rakyat terbanyak. Kepada Allah kita berserah,” katanya.
Sementara itu, Halimah menyokong sepenuhnya kenyataan dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang terlebih dahulu menggesa Zahid meletak jawatan.
Jelas beliau, untuk itu, perlukan kepada perubahan besar untuk membersihkan nama UMNO yang suci.
“Jangan cemarkan lagi kesucian Parti UMNO dengan pemikiran yang dangkal tidak berasas dan tidak berprinsip hanya untuk kepentingan peribadi,” katanya.
LAUNGAN ‘undur Zahid, No DAP, No Anwar’ bergema di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur petang ini.
Desakan itu disuarakan sendiri akar umbinya dari UMNO Bahagian Bukit Bintang yang kecewa susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Jurucakap akar umbi UMNO itu, Datuk Seri Dzulkarnain Taib berkata, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajar mengambil tanggungjawab atas keputusan buruk BN pada PRU-15 kali ini.
“Mana-mana organisasi sekiranya gagal capai kemenangan, maka ia mesti digalas ke atas kepala partinya. Dalam hal ini ia adalah Presiden UMNO sendiri.
“Bukan kita tak sayangkan Ahmad Zahid dan parti, tetapi beliau perlu ambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan ini. BN sudah kalah dalam dua PRU berturut-turut,” katanya kepada media.
Beliau berkata, keputusan untuk berundur jika diambil Ahmad Zahid adalah lebih wajar dan lebih terhormat sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan serta mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya rasa ramai lagi ketua UMNO bahagian dan ahli UMNO akar umbi akan mengikut langkah kita. Kita tidak kisah dibuang parti. Kita mahu suarakan naluri dan isi hati kami,” katanya, lapor Berita Harian.
Katanya, mereka juga tidak bersetuju dengan cadangan mahu BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan, susulan tiada gabungan meraih cukup 112 kerusi Parlimen.
BH turut difahamkan, beberapa lagi kumpulan didakwa mewakili akar umbi UMNO akan hadir ke ibu pejabat parti itu bagi menzahirkan hasrat sama, hari ini.
BN mengalami kekalahan paling buruk sejak menyertai PRU selepas hanya menang di 30 kerusi Parlimen pada PRU15, yang menutup tirai semalam.
TEKANAN ke atas Pengerusi Barisan Nasional, yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semakin meningkat, apabila lebih ramai pemimpin kanan parti mendesaknya untuk mengundurkan diri.
Kali ini, desakan itu dibuat ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang menyarankan agar Ahmad Zahid mengundur diri, supaya parti boleh melakukan perubahan yang mutlak.
Menurut beliau, biarpun rakyat menolak pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak menjadikan barisan kepimpinan UMNO sebagai pilihan mereka kali ini.
“Walaupun telah ramai memperkata dan memperingatkan agar parti perlu lebih berhati-hati dan berubah, tetapi tidak diendahkan.
“Akhirnya rakyat sendiri terpaksa menyingkirkan UMNO. Bukan sahaja pemimpin besar UMNO yang lain, bahkan turut mengorbankan sahabat-sahabat saya, pelapis muda, yang berpotensi dalam UMNO dan Barisan Nasional,” katanya lagi.
Perubahan baharu Malaysia pasca PRU-15, kata Khaidhira, memberi signal jelas daripada rakyat untuk UMNO agar lebih serius melakukan perubahan tampuk kepimpinan selari dengan denyut nadi rakyat.
Mengulas lanjut, Khaidhirah berkata, era parti terbesar dan memiliki ahli teramai yang mampu menjanjikan kemenangan telah berlalu, dan hakikatnya, peratusan ahli UMNO sebagai pengundi jauh lebih kecil daripada pengundi bukan parti.
Khaidhira berkata, sebagai pemimpin muda dalam parti, beliau juga menyahut seruan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa agar Zahid mengundurkan diri dengan segera.
“Bahkan dalam situasi genting hari ini, sebarang bentuk rundingan perlu dibawa ke meja perbincangan Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Namun, saya menzahirkan rasa kecewa kerana seolah-olah MKT sebagai pembuat keputusan tertinggi diketepikan dan mesyuarat MKT dibatalkan.
“Parti memerlukan perubahan mutlak mendengar suara hati rakyat. Bukan sahaja kehendak akar umbi UMNO semata, tetapi kehendak hati nurani rakyat sebagai pengundi majoriti,” katanya, lapor Astro Awan.
LAGI desakan meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan kekalahan besar parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Kali ini ia dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Tan Sri Noh Omar yang hilang kepercayaan dengan kepimpinan Ahmad Zahid.
Menurut Noh, beliau meminta Zahid agar berjiwa besar meletakkan jawatannya sebagaimana dilakukan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil tanggungjawab kekalahan PRU-14 lalu.
Katanya, adalah lebih elok UMNO diuruskan oleh kepimpinan baharu.
“Saya pun tadi minta jika Presiden berjiwa besar dia patut letak jawatan seperti mana (yang dilakukan oleh) Datuk Seri Najib bila kalah (dalam PRU14) dia dipaksa meletak jawatan. Biarlah orang baharu yang menguruskan UMNO,” katanya.
Mengulas lanjut, Noh memaklumkan beliau turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor secara rasmi berkuat kuasa hari ini.
Noh bagaimanapun menegaskan, beliau masih Ahli MKT dan akan hadir ke mesyuarat yang diadakan, namun tidak akan menghadiri Mesyuarat Biro Politik.
“Saya secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, bukan sahaja Presiden tak percaya pada saya tetapi saya pun sudah tidak percaya dengan kepimpinannya,” katanya lapor Berita Harian.
TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekarang ini bukan lagi ancaman kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menang dan membentuk kerajaan Prihatin, Bersih dan Stabil, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjelaskan, UMNO dan BN kini telah hancur, tatkala gelombang sokongan rakyat kepada PN dari Utara hingga Selatan tanah air, semakin membesar.
“UMNO kini bukan ancaman lagi… UMNO dan BN telah hancur akibat dirosakkan sendiri oleh Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO dan Pengerusi BN), selain telah membawa masalah kepada negara rakyat.
“Saya pernah berada dalam UMNO dan BN sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Pengerusi. Saya tahu keadaan dulu dan sekarang. UMNO dan BN kini telah dikeronyok oleh Zahid,” katanya.
Calon PN kerusi Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Jelajah PN Best di Sierra Perdana di Pasir Gudang, malam tadi.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata Pakatan Harapan (PH) juga menghadapi isu kepercayaan dalam kalangan rakyat, apabila tidak menepati janji dibuat selepas menang PRU-14 pada 2018 lalu.
‘Tugas saya belum selesai’
Muhyiddin juga berpendapat tindakan menjatuhkannya daripada jawatan Perdana Menteri tahun lalu tidak sepatutnya dilakukan, tatkala kerajaan PN berusaha untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.
Bagaimanapun, Muhyiddin tetap bersyukur kerana hasil usaha keras beliau bersama Jemaah Menteri Kerajaan PN, Malaysia kini hampir bebas daripada pandemik Covid-19 apabila telah memasuki fasa endemik.
“Allah mengangkat saya ke satu harakah yang tinggi sebagai Perdana Menteri tatkala Covid-19 mula merebak di seluruh dunia. Dalam keadaan semua pakar di seluruh dunia masih tidak tahu apakah jenis penyakit yang melanda ketika itu.
“Kerajaan Perikatan Nasional terpaksa bergelut dengan wabak penyakit itu. PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat setelah mengetahui wabak itu boleh membawa maut.
“Malangnya ketika itulah UMNO, terutama Kluster Mahkamah, dan BN dengan kerjasama PH, memusnahkan usaha mengurus negara dengan lebih baik. Tindakan itu menunjukkan mereka langsung tidak memikirkan soal nasib rakyat, sebaliknya mementingkan kuasa dan politik mereka sahaja,” katanya lapor Agendadaily.
Muhyiddin berkata beliau terpaksa meletak jawatan dalam keadaan tugasnya yang belum selesai.
“Tugas saya belum selesai dan saya akan selesaikan selepas Perikatan Nasional diberi mandat dalam PRU-15 Sabtu ini… untuk kembali duduk di kerusi Perdana Menteri.
“Nanti kalau saya cakap begini ada orang kata Muhyiddin berangan-angan… berangan-angan apa? Saya pernah menjadi Perdana Menteri… yang di sebelah sana itu yang berangan-angan… sampai sekarang pun tak jadi Perdana Menteri… PM tepi saja… cermin muka dulu,” katanya merujuk kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata kerajaan yang perlu dibentuk selepas 19 November ini mestilah Kerajaan Perikatan Nasional yang bersih daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Terbaharu, Muhyiddin berpesan kepada anak muda untuk terus memberi sokongan kepada Perikatan Nasional jika mahu melihat beliau memimpin negara selepas PRU-15 ini.
“Tapi ingat, kalau nak tengok Abah kembali ke Putrajaya, pakat ramai-ramai undi Perikatan Nasional. Menangkan calon-calon Perikatan Nasional di kawasan anda.
“Pesan kat mak, ayah, abang, adik, kakak, jiran, kawan-kawan semua, kali ini undi Perikatan Nasional. Keluar dan undi awal-awal lagi. Ingat janji kita, 19 November undi Perikatan Nasional.
“Do what is right. Gemakan suara anak muda! Come on guys, lets go! PN BEST,” katanya.
BENDAHARI Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan beliau ada berjumpa pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk membincangkan kemungkinan membentuk pakatan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
“Saya tak pernah jumpa pemimpin PAS ataupun Bersatu untuk membincangkan kerjasama selepas PRU15. Lagi satu fitnah tanpa bukti dari Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya di Facebook.
Beliau merujuk laporan Anwar mendakwa pemimpin PN menemui Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan beliau untuk berunding kemungkinan menjalin kerjasama selepas PRU-15.
Mohamad sudah menafikan dakwaan itu dengan berkata, beliau tidak tahu mengenai sebarang rundingan antara pemimpin BN, PAS dan Bersatu seperti yang didakwa Anwar.
Sementara itu, Hishammuddin turut membidas Anwar terus mendiamkan diri apabila diminta membuktikan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaannya anggota tentera di Bera, Pahang, yang mengundi awal untuk PRU15 dibayar RM300.
“Hari itu fitnah tentera terima RM300 untuk undi pos. Suruh bagi bukti dekat pihak berkuasa untuk siasat, terus diam. Ni lagi satu. Waspadalah.”
Menteri pertahanan sementara itu berkata, tindakan Anwar itu bermula selepas ketinggalan dalam saingan PRU15 menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.
TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menolak dakwaan beliau menemui pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk membincangkan kemungkinan menjalin pakatan selepas pilihan raya umum ke-15.
Katanya, beliau tidak tahu mengenai sebarang rundingan antara pemimpin partinya dengan PAS dan Bersatu seperti yang didakwa Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim.
“Jika ia seperti apa yang didakwa, saya pasti terlibat (dalam rundingan begitu),” katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat kepada FMT sambil menambah dakwaan itu hanya taktik berkempen.
Terdahulu, Anwar hari ini dilaporkan mendakwa pemimpin Pas dan Bersatu menemui beberapa pemimpin UMNO. Pas dan Bersatu sebahagian daripada PN.
Selain Mohamad, pemimpin PN didakwa turut menemui Bendahari Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
FMT sudah menghubungi Hishammuddin untuk mengulas.
Dakwaan Anwar itu menyusul kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kemungkinan BN dan PN membentuk kerajaan persekutuan baharu.
Takiyuddin dipetik Berita Harian sebagai berkata: “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.”
Tetapi, selepas Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, gabungan itu tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15, pemimpin PAS itu menjelaskan kenyataan diambil di luar konteks.
FENOMENA ‘Selamat tinggal UMNO’ di Kelantan bukan sahaja berlaku di Bachok dan Kubang Kerian, malah ia turut merebak ke Parlimen Rantau Panjang.
Ketua Muslimat Pas Kelantan, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, beberapa Unit Daerah Mengundi (UDM) UMNO di beberapa DUN terutamanya Apam Putra, di mana ramai mengisytihar keluar daripada UMNO.
Katanya, mereka berpendapat tiada gunanya lagi bersama dengan UMNO ekoran perkembangan politik yang berlaku sekarang.
“Mereka menganggap politik UMNO tidak lagi bersih apabila ramai pemimpin UMNO dihadap ke mahkamah atas dakwaan rasuah dan penyelewengan dana kerajaan.
“Kita tidak paksa mereka, namun mereka sukarela hadir pada program anjuran Pas. Mereka mahu pilih sebuah kerajaan yang benar-benar bersih.
“Apa yang jelas mereka tidak suka pemimpin yang terbabit dengan amalan rasuah,” kepada Harakah Daily di sini semalam.
Siti Zailah yang juga calon Perikatan Nasional Parlimen Rantau Panjang berkata, pengisytiharan keluar UMNO sebelum ini berlaku di UDM Nibong, UDM Ipoh, Pengkalan Machang dan beberapa lagi.
Menurutnya juga sebelum ini mereka merupakan penyokong kuat UMNO di UDM terbabit.