Tag: UMNO

  • Ahli Parlimen Putatan digantung keahlian UMNO 6 tahun

    Ahli Parlimen Putatan digantung keahlian UMNO 6 tahun

    UMNO bertindak menggantung keahlian Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmy Yahya dalam parti itu selama enam tahun.

    Memetik laporan Astro AWANI, difahamkan, beliau dikenakan tindakan berkenaan selepas dipercayai membelakangkan keputusan parti dengan tidak menyokong keputusan UMNO Sabah sebelum ini.

    Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesahkan perkara berkenaan dalam satu sidang media di Sandakan, hari ini.

    “Well… dia kena gantung enam tahun,” katanya ringkas.

    Sebelum ini, Shahelmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, bersama empat lagi ADUN yang bertanding menggunakan tiket UMNO ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, bertindak kekal menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

    Shahelmy bersama empat ADUN itu tidak menyokong keputusan UMNO Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji.

    Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmy Yahya, digantung, UMNO,

  • ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    UMNO diminta melepaskan jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membolehkan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kedudukan itu.

    Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) secara berseloroh membuat cadangan itu berkata, UMNO merupakan sebahagian Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan lagi pembangkang di negeri itu.

    “Saya dengar cerita di Selangor, UMNO ada lima kerusi, PN ada tujuh kerusi tetapi Ketua Pembangkang tidak mahu berhenti sebab dia ingat UMNO masih pembangkang, padahal UMNO sekarang (kerjasama) PH.

    “Dia kena berhenti dan bagi PN yang jadi Ketua Pembangkang di Selangor. Orang Selangor walau macam mana pun cari sesuatu yang lebih menarik, sokong PN dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang sebab UMNO nampaknya walaupun dah kalah, tidak mahu berhenti jadi Ketua Pembangkang,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau menyatakannya ketika perbahasan sesi penggulungan Kementerian Belia dan Sukan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

    Media melaporkan, kerajaan negeri Selangor belum menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail sebagai ketua pembangkang negeri itu setakat ini.

    Perkara itu disahkan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim ketika mengulas usul dibangkitkan ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung lantikan Ketua Pembangkang DUN Selangor yang baharu susulan Rizam daripada Barisan Nasional kini menjadi sebahagian kerajaan negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Sementara itu mengenai atlet yang dihantar menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, Shahidan yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk membiayai pasukan kedua atau B tanpa perlu membebankan persatuan.

    “Apabila kita menghantar pasukan untuk bertanding di peringkat antarabangsa, ada pasukan A yang kerajaan bayar dan pasukan B dibayar oleh persatuan.

    “Ini tidak bagus, tidak boleh berterusan. Atlet perlu diberi pendedahan dan ada potensi, mereka dipilih oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik yang pilih.

    “Kita juga kena bayar jurulatih terlibat, jadi saya merayu kepada Yang Berhormat Menteri (Belia dan Sukan), supaya pasukan B kalau tidak dibiayai sepenuhnya tidak apa, sekurang-kurangnya dibayar separuh dan jurulatih dibayar 100 peratus oleh MSN,” ujarnya.

  • PM pertahan Menteri Dalam Negeri guna kuasa untuk UMNO

    PM pertahan Menteri Dalam Negeri guna kuasa untuk UMNO

    DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan seharusnya tidak timbul isu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengatasi kuasa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

    Menurut Perdana Menteri, pertikaian berhubung keputusan RoS dan kenyataan Saifuddin berhubung usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertanding, tidak berbangkit.

    “Ia dalam peruntukan undang-undang. Ada kuasa RoS yang kemukakan kepada menteri. Ada kuasa menteri. Biar menteri jelaskan dan menteri sudah jelaskan.

    “Saya dalam kerja saya di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan, ada kalanya saya ‘override’ (mengatasi) keputusan pegawai.

    “Umpamanya dahulu ada pegawai diarah beri kontrak ikut rundingan terus. Saya ‘override’, kerana saya fikir lebih baik kita gunakan proses tender supaya lebih telus,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, Khairy Jamaludin yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO menyifatkan kenyataan dikeluarkan Saifuddin untuk menggunakan kuasanya dalam pengecualian undang-undang terhadap UMNO menunjukkan parti itu ternyata melanggar Akta Pertubuhan.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, Akta Pertubuhan 1966 diluluskan oleh Parlimen dan sekiranya ada pihak mahu akta itu dipinda, perkara itu seharusnya diserahkan kembali kepada Parlimen.

    Menteri Dalam Negeri memberi pengecualian kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 berhubung pemilihan parti itu.

    Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertanding dalam pemilihan bulan ini.

  • Penjara silap hantar mayat, KDN akui terdapat kecuaian

    Penjara silap hantar mayat, KDN akui terdapat kecuaian

    KEMENTERIAN Dalam Negeri mengakui terdapat elemen kecuaian dan kelemahan sistem dalam kejadian kesilapan tertukar identiti banduan yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, pada 3 Mac lepas.

    Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sehubungan itu, pihaknya bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa lembaga siasatan serta merta bagi menyiasat perkara berkenaan.

    “Tidak boleh ada sebarang kompromi terhadap aspek kecuaian, kita akan sentiasa mengambil langkah terbuka dalam penambahbaikan sistem identifikasi ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

    Dalam kejadian berkenaan sebuah keluarga yang sedang melakukan persediaan untuk menyemadikan mayat anak mereka terkejut, apabila dimaklumkan bahawa anak mereka masih hidup oleh Penjara Sungai Buloh.

    Kejadian itu menyebabkan keluarga mangsa tidak berpuas hati dengan pihak penjara sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang pada 4 Mac

    Saifuddin Nasution turut memberitahu, pihaknya bersedia membayar pampasan terhadap perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh keluarga berkenaan bagi urusan menyemadikan mayat, yang dianggarkan berjumlah RM20,000 dalam masa 48 jam.

    Sementara itu menyentuh mengenai isu pengecualian yang diberikan kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, Saifuddin berkata Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Menteri tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1966.

    Beliau berkata akta berkenaan yang mengawal tugas hakiki ROS, iaitu memastikan mana-mana pertubuhan mematuhi perkara dalam undang-undang tubuh dan melindungi kepentingan ahli dalam pertubuhan.

    “Seksyen 70 Akta itu memberi secara khusus kepada menteri untuk membuat beberapa pengecualian, dan keputusan yang saya buat terarah kepada pengecualian pematuhan Seksyen 13 Akta yang sama,” katanya

    Saifuddin Nasution berkata jika terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dan berasakan menteri melampaui batas kuasa, dia boleh membawa isu itu ke mahkamah.

    “Sebelum saya memberikan pengecualian berkenaan, saya telah menerima pandangan-pandangan daripada pihak yang berkenaan,” katanya.

    Terdahulu Saifuddin Nasution dalam kenyataannya berkata KDN telah memberi pengecualian kepada UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.- BERNAMA

  • Pemilihan UMNO: Reezal tanding naib presiden, Shamsul Anuar pertahan MKT

    Pemilihan UMNO: Reezal tanding naib presiden, Shamsul Anuar pertahan MKT

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden UMNO pada pemilihan parti yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Bekas ahli Parlimen Kuala Batas itu mengemukakan borang pencalonan bagi merebut jawatan berkenaan di ibu pejabat UMNO, hari ini.

    “Saya menawarkan khidmat sebagai satu calon yang boleh (bertugas) 24 jam, sebab saya bukan lagi anggota pentadbiran.

    “Barangkali dalam tiga itu kalau perwakilan untuk memberi timbangan menjaga parti 24 jam, pertimbangkanlah Reezal Merican,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat UMNO, menurut laporan Malaysiakini.

    Reezal, 50, berkata dia menjadikan pengalamannya dalam parti sejak berusia 28 tahun sebagai asas untuk bertanding jawatan berkenaan.

    Jawatan naib presiden UMNO menjadi tumpuan selepas jawatan utama parti presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti Mac ini.

    Sehingga kini, tujuh pemimpin sah menawarkan diri bagi merebut tiga tempat untuk jawatan itu.

    Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid sah mempertahankan jawatan yang disandang mereka, sementara Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung BN Zambry Kadir, Ahli MKT Johari Ghani dan bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad telah menawarkan diri untuk bertanding.

    Bagaimanapun seorang lagi penyandang jawatan naib presiden Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan ataupun tidak.

    Mengulas lanjut, Reezal berpendapat demokrasi dalam UMNO masih subur apabila ramai yang menawarkan diri untuk merebut jawatan, walaupun dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

    “Saya risau kalau ada pemilihan ramai yang tak bertanding, seolah-olah mahu ditinggalkan, tapi (jangkaan) itu meleset.

    “Ada bahagian yang (pertandingan) tiga empat penjuru, alhamdulillah ramai nak menggalas amanah jawatan penting dalam parti,” katanya.

    Shamsul Anuar tak jadi tanding naib presiden

    Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menamatkan spekulasi turut merebut jawatan itu apabila dia memutuskan untuk mempertahankan kedudukannya dalam MKT.

    “Saya memahami dan menghormati pandangan, permintaan semua pihak. Bagaimanapun setelah membuat pertimbangan mendalam dan sewajarnya saya memutuskan untuk mempertahankan kedudukan saya sebagai ahli MKT UMNO.

    “Maka dengan rendah diri, saya sekali lagi menawarkan diri dan ingin mempertahankan jawatan sebagai ahli MKT UMNO Malaysia bagi sesi 2023-2026,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

    Dia juga berikrar akan melakukan apa saja untuk UMNO selagi “perjuangan parti tidak lari dari prinsip dan ideologinya”.

    Dua lagi yang akan mempertahankan kedudukan dalam MKT adalah Setiausaha Politik kepada Ahmad Zahid Hamidi, Razlan Rafii dan Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil.

    “Saya ingin terus bersama kepimpinan tertinggi Umno untuk membantu memperkasakan parti yang memerlukan sokongan di semua peringkat,” kata Razlan.

    Isham pula berkata dia ingin terus membawa suara akar umbi UMNO ke peringkat kepimpinan tertinggi.

    “Saya ingin serahkan kepada akar umbi Umno untuk menentukan sama ada saya layak diberi mandat untuk terus berada di dalam MKT,” katanya lagi.

  • UMNO usah berharap guna kes mahkamah Bersatu menang PRN – Ahli akademik

    UMNO usah berharap guna kes mahkamah Bersatu menang PRN – Ahli akademik

    UMNO diingatkan agar tidak berharap keuntungan dari segi politik susulan pendakwaan terhadap pemimpin Bersatu berhubung rasuah, kata ahli akademik, Awang Azman Pawi .

    Awang Azman dari Universiti Malaya berkata, beliau tidak rasa dakwaan itu akan membawa banyak perbezaan kepada peluang UMNO pada PRN akan datang.

    Menurutnya, UMNO harus menumpukan kepada usaha untuk pulih daripada persengketaan dalaman dan tidak bergantung kepada masalah pesaingnya.

    “Kes mahkamah Bersatu tidak akan banyak memberi manfaat kepada UMNO.

    “UMNO mesti berusaha memperkukuh kepimpinannya dan memastikan ia bebas daripada proksi, khususnya mereka yang pro-Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal bulan ini membekukan akaun Bersatu berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dana yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan Covid-19.

    Semalam, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan melepaskan jawatannya selepas didakwa menerima rasuah RM6.9 juta dan meminta suapan dengan jumlah yang tidak dinyatakan berhubung projek jalan raya RM232 juta berkaitan dengan program Jana Wibawa.

    Turut didakwa, Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, yang minta dibicarakan kerana meminta dan menerima rasuah RM500,000, juga dikaitkan dengan Jana Wibawa.

    Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, Wan Saiful, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, meletak jawatan kerana mungkin merasakan parti itu perlu mempertahankan pendirian anti-rasuahnya.

    “Bersatu sebelum ini mendakwa ia bersih, tetapi kejadian yang didedahkan berlaku telah mencemarkan imejnya,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya, selagi tuduhan rasuah tidak melibatkan ahli Pas, PN masih boleh mengekalkan sokongan pada PRN disebabkan jentera pilihan raya Pas.

    James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania memberitahu FMT, beliau tidak dapat menyatakan dengan pasti sama ada kes rasuah Bersatu akan menguntungkan UMNO pada PRN.

    Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah.

    “Jika UMNO berkempen menggunakan tuduhan-tuduhan terhadap Bersatu ini, Bersatu boleh dengan mudah melemparkannya kembali kepada UMNO. Jadi tidak jelas sama ada ini akan menguntungkan UMNO,” katanya.

    Chin juga berkata, beliau percaya keputusan Wan Saiful berundur sebagai ketua penerangan Bersatu adalah untuk melindungi parti dan memberikan tumpuan kepada tuduhan rasuahnya.

    Peletakan jawatan itu, katanya, tidak mengejutkan kerana tidak elok apabila ketua penerangan, individu yang menjadi tumpuan umum, menghadapi tuduhan rasuah.

  • Pemecatan batal, Lokman Adam kembali jadi ahli MKT

    Pemecatan batal, Lokman Adam kembali jadi ahli MKT

    UMNO membatalkan pemecatan Datuk Lokman Noor Adam sebagai ahli parti itu, semalam selepas tiga tahun berbuat demikian.

    Lokman menerusi Facebook rasminya berkata, pembatalan pemecatan itu dimaklumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melalui panggilan telefon.

    “Kini saya kembali sebagai ahli MKT Umno. Terima kasih presiden, timbalan presiden, ahli MKT dan semua yang mendoakan saya.

    “Dengan pembatalan ini, hak saya untuk bertanding dalam pemilihan kali ini dikembalikan,” katanya di Facebook, lapor Free Malaysiaa Today.

    Pada 7 Feb 2020, Lokman mendakwa beliau dipecat oleh UMNO dalam mesyuarat MKT yang berlangsung pada hari berkenaan melalui undi angkat tangan yang tidak sepatutnya mengambil kira undian pengerusi negeri memandangkan mereka bukan ahli MKT.

    Lokman berkata, beliau reda dengan keputusan itu dan tetap setia kepada UMNO.

  • UMNO sokong Anwar PM hingga akhir penggal

    UMNO sokong Anwar PM hingga akhir penggal

    SETIAUSAHA Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO kekal komited dalam menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal demi kestabilan politik negara.

    Beliau berkata ia selaras dengan resolusi yang dicapai dalam Pehimpunan Agung UMNO bulan lepas. 

    “Jadi apabila kita sokong kerajaan ini maksudnya Anwar adalah Perdana Menteri yang kita ada (hingga akhir penggal)… supaya wujud kestabilan dalam negara kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Inkubator Sukan Dron di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

    Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata demikian ketika menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan hasrat untuk melihat Anwar kekal sebagai Perdana Menteri terakhir dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka semasa pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 hari ini.

    Beliau menyeru Ahli Parlimen lain untuk bukan sahaja menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah tetapi juga memastikan kestabilan politik negara dicapai.

    Ahli Parlimen Pontian itu berkata arena politik negara kini sudah stabil dengan wujudnya Kerajaan Perpaduan yang memperolehi sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat iaitu lebih dua pertiga majoriti.

    “Sejak Pilihan Raya Umum 2004, kali ini baru kita dapat majoriti sebanyak ini,” katanya.

    Terdahulu, ketika bertitah di Parlimen hari ini, Al-Sultan Abdullah menyambut baik permuafakatan dicapai Kerajaan Perpaduan yang selari dengan hasrat baginda untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

    Seri Paduka turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar kerana dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

    Baginda juga meminta semua pihak berlapang dada dan menerima serta menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan hati yang terbuka. – BERNAMA

  • Tun Faisal dipecat UMNO berkuat kuasa serta-merta

    Tun Faisal dipecat UMNO berkuat kuasa serta-merta

    BEKAS Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

    Lapor Berita Harian, Tun Faisal memaklumkan ibu pejabat UMNO menghubungi pihaknya pada pukul 4.28 petang tadi dan menghantar surat pemecatan itu melalui aplikasi WhatsApp.

    Tun Faisal yang juga bekas Setiausaha Akhbar Tan Sri Annuar Musa turut berkongsi surat pemecatan itu yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bertarikh 27 Januari lalu menerusi akaun Facebooknya.

    Mengikut surat itu, dimaklumkan bahawa pemecatan Tun Faisal dibuat berkuat kuasa serta-merta selepas ia diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 5 Januari dan Jumaat lalu.

    Tindakan itu dibuat berikutan Tun Faisal dikesan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti.

    Tun Faisal yang sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepemimpinan UMNO berkata, pihaknya tidak bercadang untuk membuat rayuan kerana mendakwa MKT dan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak terbuka menerima kritikan.

    Beliau bagaimanapun menegaskan, ‘penentangan’ yang dilakukannya selama ini bukanlah terhadap UMNO itu sendiri namun lebih kepada kepemimpinan dan individu.

    “Bagi saya UMNO dan BN itu tiada masalah dan jelas prinsip perjuangannya tetapi yang bermasalah itu adalah pemimpinnya, seperti Ahmad Zahid yang menjadi punca perpecahan di dalam UMNO sebaik beliau mengkhianati dasar parti dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 dengan menandatangani akuan bersumpah (SD) dan surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

    “Itu adalah punca perpecahan di dalam UMNO sejak 2020. Saya tidak dapat menyokong Ahmad Zahid disebabkan pengkhianatan ini dan penentangan saya terhadap beliau bermulanya daripada terbongkarnya pengkhianatan terbabit,” katanya.

    Pada masa sama, Tun Faisal turut melahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan UMNO selama ini dalam memajukan rakyat dan negara.

    Malah katanya, beliau akan meneruskan perjuangan Islam dan ummah namun dalam kapasiti dan wadah yang lain di luar UMNO.

    UMNO dalam ‘pembersihan’ parti itu sebelum ini bertindak memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Selain itu, mesyuarat MKT Jumaat lalu turut menggantung keahlian beberapa pemimpin antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

  • Terima surat tapi tak diberi sebab gantung, kata Hishammuddin

    Terima surat tapi tak diberi sebab gantung, kata Hishammuddin

    AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan beliau tidak diberi sebab dan alasan mengapa UMNO mengggantung keahliannya selama enam tahun.

    Bekas naib presiden UMNO menyatakannya selepas menerima surat penggantungan daripada Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini.

    “Baru sahaja menerima surat rasmi bertarikh semalam berhubung penggantungan keahlian UMNO saya. Tiada sebab penggantungan dinyatakan,” katanya di Facebook lapor FMT.

    Surat itu turut dimuat naik di Facebooknya.

    Surat bertarikh 30 Jan dihantar Ahmad itu hanya menyatakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan penggantungan keahlian UMNO Hishammuddin selama enam tahun bermula 27 Jan lalu.

    “Adalah dimaklumkan bahawa mesyuarat MKT pada 27 Jan 2023 telah memutuskan bahawa YB (Hishammuddin) digantung hak-hak keahlian dalam parti bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan UMNO kerana tindakan YB melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO,” kata Ahmad menerusi surat rasmi kepada Hishammuddin.

    Sebelum ini UMNO memaklumkan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas ketua UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dipecat atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan parti kerana kesalahan ketika PRU-15.

    Sementara itu, Ahmad berkata keahlian Hishammuddin, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif dan pemimpin UMNO Tebrau Maulizan Bujang digantung selama enam tahun.