Tag: UMNO Kelantan

  • Tarik kenyataan atau putus kerjasama dengan Amanah, UMNO Kelantan beritahu Khalid

    Tarik kenyataan atau putus kerjasama dengan Amanah, UMNO Kelantan beritahu Khalid

    UMNO Kelantan sedia mempertimbang untuk memutuskan hubungan dengan Amanah sekiranya Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Samad tidak memohon maaf secara terbuka.

    Ini susulan kenyataan dibuat bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu mengenai permohonan pengampunan diraja dibuat bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Menurut Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, Khalid perlu memohon maaf kepada UMNO susulan kenyataannya merayu Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permohonan pengampunan itu.

    “UMNO Kelantan mendesak Khalid selaku pengarah Komunikasi Amanah yang merangkap pengerusi Amanah Kelantan untuk memohon maaf secara terbuka kepada UMNO lanjutan daripada kenyataan beliau bahawa Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap bekas perdana menteri.

    “Untuk rekod, rayuan pengampunan diraja yang dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,” katanya dalam kenyataan, lapor Malaysiakini.

    Pada 27 April lalu, Khalid yang mewakili Amanah dilaporkan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib daripada diberi pengampunan sekali gus dibebaskan dari penjara.

    Khalid berkata, Amanah berpendirian, hanya dengan cara itu saja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.

    “Dengan penuh hormat dan takzim, kami dari Parti Amanah Negara (Amanah) ingin merayu kepada YDPA (Yang di-Pertuan Agong) dan Lembaga Pengampunan supaya permohonan pengampunan ini ditolak dan Najib terus dipenjarakan atas sebab kesalahan yang jelas telah beliau lakukan,” katanya dalam kenyataan.

    Mengulas lanjut, Zawawi berkata kenyataan Khalid jelas menyinggung perasaan ahli UMNO secara keseluruhannya.

    Katanya, UMNO Kelantan sedia memutuskan hubungan dengan Amanah sekiranya Khalid tidak menarik balik kenyataan berkenaan.

    “Sehubungan dengan itu, UMNO Kelantan akan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan parti Amanah di Kelantan.

    “Sekiranya Khalid tidak menarik balik pernyataan tersebut yang ternyata amat menyinggung perasaan ahli Umno keseluruhannya,” katanya lagi.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak termasuk parti politik yang ‘bersahabat’ dengan BN untuk tidak membuat kenyataan tidak wajar mengenai pengampunan Najib.

  • Tiga bahagian UMNO Kelantan adakan pemilihan semula

    Tiga bahagian UMNO Kelantan adakan pemilihan semula

    SUSULAN terdapat bantahan diterima pusat, tiga bahagian UMNO Kelantan akan mengadakan pemilihan semula kepimpinan bulan ini.

    Setiausaha UMNO Kelantan, Akhbar Salim berkata, ia akan melibatkan UMNO Bahagian Jeli, Kuala Krai, dan Tumpat.

    “Pemilihan UMNO Bahagian Jeli dan Kuala Krai akan berlangsung pada 8 April ini, manakala Tumpat berkemungkinan besar 15 April nanti.

    “Untuk makluman, kedudukan nombor dan senarai calon masih sama sebagaimana pemilihan sebelum ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Menurut Akbar, UMNO negeri berharap pemilihan semula di tiga bahagian itu akan berjalan lancar dalam suasana penuh kekeluargaan.

    “Saya harap berilah mandat kepada perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan peringkat bahagian dengan sebaik mungkin.

    “Pemimpin mana yang menang, teruskan bekerja bagi memastikan UMNO kembali bangkit di bumi Kelantan ini,” katanya.

  • UMNO Kelantan pernah suara hasrat putus hubungan dengan PAS

    UMNO Kelantan pernah suara hasrat putus hubungan dengan PAS

    UMNO Kelantan pernah menyuarakan hasrat mahu memutuskan hubungan dengan PAS negeri itu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ketika itu, kepimpinan parti menyerahkan kepada kebijaksanaan UMNO Kelantan untuk menentukan masa depan parti di negeri itu.

    “Selagi keputusan tidak merugikan UMNO dan itu yang dirasakan terbaik untuk kekuatan UMNO di Kelantan, kita kata ‘go ahead’ (teruskan).

    “Setiap negeri mempunyai pandangan berbeza berdasarkan negeri masing-masing. Pandangan di Pahang mungkin berbeza di Kelantan atau di Terengganu yang berlainan daripada Selangor.

    “Ada yang mahu bekerjasama dan ada yang tidak, dan ada juga yang masih hendak berbincang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup dengan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pejabat Kemas Bera di Bera hari ini.

    Ismail Sabri berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub semalam, bahawa mereka mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama PAS negeri menerusi Muafakat Nasional (MN) berkuat kuasa serta-merta.

    Ditanya jika keputusan itu berkaitan dengan pertemuannya bersama UMNO Kelantan semalam, Ismail Sabri menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan dirinya kerana ia adalah pertemuan dengan kepimpinan parti daripada semua bahagian di negeri itu. – BERNAMA

  • Kabinet Ismail Sabri diharap pacu negara ke arah lebih baik

    Kabinet Ismail Sabri diharap pacu negara ke arah lebih baik

    MOHD LAZIM ENDUT

    UMNO Kelantan berharap barisan Kabinet baharu yang bakal dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu memacu Malaysia ke arah yang lebih baik.

    Selain perhatian kepada aspek ekonomi dan kesihatan, tumpuan juga perlu diberikan kepada kebajikan rakyat.

    Sambil menyambut baik pelantikan tersebut, pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, UMNO Kelantan bersatu hati dalam memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Bera itu.

    “Kita sentiasa konsisten dengan prinsip dan pendirian kepatuhan kepada parti dan juga pucuk pimpinan.

    “Malah, kita mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepimpinan UMNO serta seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di atas keputusan sebulat suara bagi menyokong pencalonan Ismail sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Ahmad Jazlan, pada masa sama UMNO Kelantan juga berharap agar Ismail Sabri akan dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, penuh bertanggungjawab, amanah dan berintergriti.

    “Apa yang penting ialah agar beliau dapat memacu negara ke arah lebih baik termasuk dari segi ekonomi, kesihatan dan kebajikan rakyat,” jelas beliau.