Tag: umat Islam

  • Tak salah umat Islam kunjungi tempat ibadat agama lain – Sultan Selangor

    Tak salah umat Islam kunjungi tempat ibadat agama lain – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tiada apa yang menghalang umat Islam daripada mengunjungi tempat ibadat agama lain.

    Bagaimanapun, baginda bertitah, kunjungan itu mestilah tanpa mengambil bahagian dalam sebarang upacara atau amalan agama berkenaan.

    “Tidak salah untuk menghadiri majlis perkahwinan atau berada di gereja misalnya, tetapi umat Islam hanya perlu memerhati.

    “Orang Islam tidak boleh mengambil bahagian dalam upacara atau amalan sama ada di kuil atau gereja,” titah baginda menurut The Star.

    Sultan Sharafuddin percaya penganut Kristian juga tidak akan menyertai sembahyang atau ritual di kuil Tao.

    Baginda turut mengimbau kisah silamnya ketika almarhum datuknya, Sultan Alam Shah, menghadiri pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1953 di gereja Westminster Abbey di London.

    “Baginda baru pulang dari Mekah, kemudian berunding dengan mufti negeri jika berkenan untuk menghadiri pertabalan.

    “Mufti berkata tidak ada salahnya asalkan beliau tidak mengambil bahagian dalam mana-mana ibadat,” titah baginda.

    ‘Baca dan buat rujukan’

    Sultan Sharafuddin juga dilaporkan menggesa ahli politik untuk “membaca dan membuat rujukan” sebelum mengulas kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) baru-baru ini bahawa haram bagi orang Islam mengunjungi rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, gereja dan gurdwara untuk mengenali agama lain.

    Sambil menyifatkan pandangan Mais sebagai betul dan jelas, baginda bertitah adalah baik untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham kerana terdapat undang-undang yang menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam.

    Sultan Sharafuddin turut memberi peringatan kepada semua pemimpin politik tanpa mengira kaum supaya tidak menjadikan agama untuk mempopularkan diri mereka.

    Baginda bertitah, larangan itu dibuat atas kapasitinya sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Selangor bersama Mais.

    “Hanya saya sebagai ketua agama Islam di Selangor dan Mais pihak berkuasa agama di negeri ini,” titah baginda.

    Khamis lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa umat Islam di negeri itu boleh melawat rumah ibadat agama lain selagi mereka tidak terbabit dalam sebarang upacara dan sembahyang.

    “Ini adalah jelas dan saya percaya pada orang Islam kerana kepercayaan mereka kukuh dan tidak goyah. Saya tidak mahu terus memanjangkan isu ini. Tidak perlu lagi sebarang polemik isu ini,” titah baginda.

  • Umat Islam tidak boleh ke rumah ibadat agama lain tanpa tujuan

    Umat Islam tidak boleh ke rumah ibadat agama lain tanpa tujuan

    Oleh BADLISHAH MAT

    MUFTI Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang menegaskan umat Islam dilarang berkunjung atau menziarahi rumah ibadat agama lain tanpa sebarang tujuan atau kepentingan berbuat demikian kerana dikhuatiri memesong akidah terutama melibatkan golongan muda.

    Beliau berkata, hanya golongan dan individu tertentu sahaja yang dibolehkan berbuat demikian namun dengan syarat tidak menyertai apa-apa ritual agama terbabit serta perkara lain berkaitan akidah.

    “Menziarahi rumah ibadat bukan Islam bukanlah suatu yang statik yang dikatakan tidak boleh dan begitu juga nak dikatakan boleh iaitu melihat kepada siapa yang akan membuat kunjungan itu.

    “Kunjungan-kunjungan yang ada keperluan dan kepentingan daripada kalangan pemimpin dan tokoh-tokoh agamawan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi yang tidak memberi kesan terhadap akidah misalnya, maka kunjungan itu dibolehkan.

    “Jika secara umum melibatkan remaja memang dilarang kerana persiapan dalaman golongan itu belum cukup untuk mereka berhadapan perkara-perkara seperti ini yang dibimbangi akan menyebabkan akidah mereka terjejas,” katanya selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online dan Program Jom Sedekah Food Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Menara Zakat.

    Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Impact Malaysia menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ yang mempelawa belia bukan Kristian untuk menyertai program itu. Namun, program dijadual berlangsung di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes di Klang, Selangor telah dibatalkan.

    Jelas Syeikh Fadzil, golongan tertentu yang dibolehkan berkunjung ke rumah ibadat itu juga harus memiliki ketahanan dan kekuatan iman yang diyakini tidak akan memberi apa-apa kesan kepada akidah mereka.

    “Itu pun ziarah untuk satu tujuan yang kita katakan ada keperluan dari segi hubungan dalam masyarakat. Jika ada keperluan pun ada batasannya supaya kita tidak melakukan ritual yang betul-betul berbentuk keagamaan mereka,” katanya.

    Dalam pada itu, Pengerusi LZNK, Datuk Norizan Khazali berkata, pihaknya melalui perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menetapkan empat kadar zakat fitrah di negeri itu tahun ini bermula daripada RM6.50 hingga RM21.

    Katanya, penetapan harga zakat fitrah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kilogram (kg).

    “Penentuan kadar zakat fitrah ini dibuat berdasarkan pelbagai jenis tanaman padi di Kedah serta bentuk geografi, ada daerah yang usahakan tanaman padi setahun sekali dan dua kali setahun, beras di Sik contohnya berbeza dengan beras di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

    “Tahun ini ada kadar baharu RM6.50 iaitu untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis super spesial tempatan (10 peratus hancur) dan setaraf dengannya. Kadar RM7 pula bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super spesial tempatan (5 peratus hancur) dan setaraf dengannya.

    “Zakat fitrah RM14 ditetapkan bagi penduduk yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya dan RM21 untuk yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis basmathi, beras jepun, beras merah dan setaraf dengannya,” jelasnya.

  • Isu ziarah gereja: Jangan cabar umat Islam, kata Ridhuan Tee

    Isu ziarah gereja: Jangan cabar umat Islam, kata Ridhuan Tee

    PENDAKWAH terkenal Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengingatkan beberapa pihak supaya menghentikan perancangan halus memujuk anak muda Islam untuk berpindah kepada agama lain.

    Memetik laporan Agenda Daily, beliau yang juga penganalisis politik turut mengingatkan bahawa kesabaran umat Islam ada hadnya kerana Islam dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

    “Saya nak bagi tahu kepada pihak berkenaan ni. Kesabaran umat Islam ni dia ada had dia. Jangan terlalu dicabar.

    “Saya bimbang apabila sengaja mencabar agama Islam yang dilindungi dalam Perlembagaan secara sengaja, bukan tak sengaja, secara sengaja dan dirancang secara halus dan secara strategik untuk memurtadkan orang Islam ini, saya fikir ini merupakan satu perkara yang sangat durjana, licik dan jahat dan perlu di dihentikan sebelum umat Islam ni hilang sabarnya,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengerusi Penaja Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard, di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara.

    Terdahulu beliau mengiringi Badrul Hisham yang membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan daripada DAP, Hannah Yeoh, berhubung program ‘Jom Ziarah Gereja’ anjuran sebuah badan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Berhubung program ziarah gereja itu, Ridhuan Tee berkata dalam konteks Semenanjung Malaysia, jarang dijumpai iklan gereja ini dalam bahasa Melayu.

    “Tapi sejak kebelakangan ni kita nampak dia bertambah rancak. Saya melihat bahawa ini merupakan satu perancangan halus untuk merosakkan anak-anak muda ini walaupun mereka tahu ianya bercanggah dengan undang-undang dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

    “Perbuatan ini mesti dihentikan dan pihak berkuasa mesti mengambil tindakan terhadap mereka yang menjalankan kegiatan sebegini. Dalam konteks negara kita, saya tidak bercakap soal negara lain… perkara ini sangat serius.

    “Kita tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal orang bukan Islam di negara kita ini orang Islam sangat jarang campur tangan dalam hal ehwal orang bukan Islam.

    “Tetapi mereka ini begitu berani hari ini untuk campur tangan menghasut dan dan juga memujuk anak-anak muda kita untuk untuk pergi kepadaagama mereka. Saya fikir perkara ini perlu dihentikan. Mereka kata kita rasis tapi saya rasa rasis dalam agama ni lebih bahaya daripada rasis bangsa,” katanya.