Tag: Ukraine

  • Konflik Rusia-Ukraine melarat cetus Perang Dunia Ketiga – Soros

    Konflik Rusia-Ukraine melarat cetus Perang Dunia Ketiga – Soros

    KONFLIK Rusia-Ukraine yang sedang meletus ketika ini dijangka melarat sehingga mencetuskan Perang Dunia Ketiga, ramal penyangak mata wang antarabangsa, George Soros.

    Memetik laporan Mirror, Soros, 91, meramalkan situasi itu akan menyebabkan tamadun dunia moden berakhir.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 di Davos, Switzerland baru-baru ini.

    Katanya, satu-satu harapan yang tinggal bagi dunia Barat adalah menumpaskan Presiden Rusia, Vladimir Putin secepat mungkin bagi menamatkan perang yang menggegarkan Eropah itu.

    “Penaklukan itu mungkin permulaan bagi Perang Dunia Ketiga dan tamadun kita mungkin berakhir.

    “Kita mesti menggerakkan segala sumber-sumber kita untuk menamatkan perang lebih awal.

    “Satu-satunya cara yang ada untuk memastikan kesinambungan tamadun kita adalah dengan menewaskan Putin secepat mungkin.

    “Walaupun pertempuran akan berhenti, situasi tidak akan kembali seperti sedia kala.

    “Konflik tersebut menyebabkan isu-isu kemanusian yang lain seperti melawan pandemik dan perubahan iklim, mengelakkan perang nuklear, mengekalkan institusi global tidak diberi keutamaan dan sebab itu saya kata tamadun kita mungkin akan tamat,” katanya.

    Soros memuji Ukraine yang mempertahankan nilai-nilai Barat dan berpandangan, negara itu sedang berperang untuk dunia Barat dan Eropah.

    “Mereka ada peluang untuk menang dan kita mesti memberikan segala bantuan yang mereka minta,” jelasnya.

    Pada masa yang sama, beliau mengkritik Jerman terutamanya bekas Canselor, Angela Merkel kerana menjalinkan ‘rundingan khas’ dengan Moscow bagi menjamin bekalan minyak.

  • [VIDEO] Sudah diberi tumpang, pelarian Ukraine rampas suami orang pula

    [VIDEO] Sudah diberi tumpang, pelarian Ukraine rampas suami orang pula

    PEREMPUAN yang sudah berumah tangga seharusnya berhati-hati sebelum menerima pelarian wanita dari Ukraine terutamanya mereka yang masih muda serta mempunyai wajah cantik dan menarik.

    Terdapat kemungkinan suami mereka lari mengikut wanita Ukraine yang menumpang di rumah mereka sekali gus menyebabkan rumah tangga yang dibina musnah.

    Pengalaman yang perit lagi pedih itu dialami Lorna Garrett, 28, dari Bradford, West Yorks, United Kingdom (UK) baru-baru ini.

    Mirror yang memetik The Sun melaporkan, teman lelakinya, Tony, 29, meninggalkannya dan anak-anak dalam masa 10 hari selepas pelarian Ukraine, Sofiia Karkadym, 22, tiba di rumah mereka.

    Tony yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menawarkan diri untuk menumpangkan Sofiia di rumahnya seminggu selepas wanita itu melarikan diri dari Lviv yang diserang tentera Rusia.

    “Segala-galanya bermula apabila saya berhasrat untuk melakukan perkara yang betul dengan memberi perlindungan kepada mereka yang memerlukan, lelaki atau perempuan.

    “Sabtu lalu, dia memaki hamun Sofiia dengan kata-kata kesat sehingga menyebabkannya menangis.

    “Sofiia kata dia tidak dapat tinggal di rumah kami lagi dan sesuatu berdetik dalam diri saya.

    “Kami meminta maaf atas kesukaran yang ditimbulkan tetapi saya merasai sesuatu dengan Sofiia dan saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini,” kata Tony.

    Sofiia pula menambah, “Perkara sebegini memang berlaku.”

    Lorna pula mula berasa bosan dengan hubungan antara Tony dan Sofiia yang dilihatnya semakin intim.

    Mereka dikatakan sering ke gimnasium bersama-sama dan dilihat duduk berbual-bual selama berjam-jam di tempat letak kereta.

    https://youtu.be/zGMRs–0PNU

    Akhirnya, Lorna mengusir Sofiia dari rumahnya namun dia terkejut besar apabila Tony juga ingin keluar dari situ.

    Kini, Tony membawa Sofiia menumpang di rumah orang tuanya dan mereka sedang mencari rumah baharu.

  • Kapal Moskva Rusia karam dibedil pengawal sempadan Ukraine

    Kapal Moskva Rusia karam dibedil pengawal sempadan Ukraine

    RUSIA pada Khamis berkata, kapal utama armadanya di Laut Hitam, kapal penjelajah peluru berpandu Moskva, tenggelam dalam laut bergelora ketika ia ditunda ke pelabuhan selepas rosak akibat letupan.

    Moskva hilang kestabilan berikutan kerosakan serius pada badan kapal selepas peluru di atas kapal itu meletup, kata Kementerian Pertahanan Rusia, sambil menambah anak-anak kapal dipindahkan ke kapal lain, lapor Xinhua.

    Moskva “rosak teruk” disebabkan letupan peluru di atas kapal akibat kebakaran, tetapi ia kekal terapung selepas api dipadamkan, kata kementerian itu.

    Gabenor Wilayah Odessa Ukraine, Maksim Marchenko pada Rabu berkata di Telegram bahawa pengawal sempadan Ukraine di Snake Island menggunakan peluru berpandu jelajah anti-kapal Neptune untuk membedil kapal penjelajah peluru berpandu itu sehingga mengalami kerosakan yang “sangat serius.” – BERNAMA

  • Tentera Rusia diusir lebih 70 km dari Kyiv

    Tentera Rusia diusir lebih 70 km dari Kyiv

    TENTERA Rusia berjaya diusir sejauh lebih 70 kilometer dari ibu negara, Kyiv di beberapa lokasi tertentu hasil “kejayaan operasi” ketenteraan Ukraine, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Ukraine pada Sabtu.

    “Di beberapa kawasan lain, unit Angkatan Tentera Rusia berada 35 kilometer (sekitar 22 batu) dari Kyiv,” kata Oleksandr Motuzyanyk pada sidang media, lapor Agensi Anadolu.

    Bagaimanapun,”tiada sebarang tanda pengunduran tentera Rusia dari kawasan tertentu di Kyiv buat masa ini,” katanya.

    Motuzyanyk mendakwa negaranya berjaya “melaksanakan mobilisasi,” dan kini “di peringkat kedua mobilisasi.”

    “Kami telah mengerah lebih 100,000 orang. Pada masa ini, seluruh negara menyertai usaha menentang penceroboh,” katanya.

    Krisis Rusia-Ukraine mendapat tentangan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.

    Sekurang-kurangnya 1,081 orang awam telah terbunuh dan 1,707 yang lain cedera manakala lebih 3.7 juta melarikan diri ke negara jiran, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – BERNAMA

  • Bloomberg silap lapor Rusia serang Ukraine

    Bloomberg silap lapor Rusia serang Ukraine

    AGENSI berita Bloomberg membuat kesilapan dengan menyiarkan tajuk berita “Rusia Menceroboh Ukraine” (Russia Invades Ukraine) dan tidak lama kemudian menarik balik tajuk itu, lapor Sputnik.

    “Kami telah menyediakan tajuk utama untuk banyak senario dan tajuk ‘Russia Invades Ukraine’ secara tidak sengaja diterbitkan sekitar jam 4 petang ET (21:00 GMT) hari ini di laman web kami,” tulis Bloomberg di laman web rasminya.

    “Kami amat kesal atas kesilapan itu. Tajuk berita telah dikeluarkan dan kami sedang menyiasat punca kejadian,” katanya.

    Dalam beberapa bulan lalu, Rusia didakwa menempatkan anggota tenteranya berhampiran sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk serangan.

    Bagaimanapun, Rusia berulang kali menyatakan bahawa ia tidak berniat menyerang Ukraine. – BERNAMA

  • Rumah penjagaan terbakar, lima wanita warga emas maut

    Rumah penjagaan terbakar, lima wanita warga emas maut

    LIMA maut dalam kebakaran di sebuah rumah jagaan swasta di bandar Dnipro di tengah Ukraine, kata Polis Negara dalam satu kenyataan pada Selasa, lapor Xinhua.

    Menurut kenyataan itu, selepas kebakaran, lima wanita berusia antara 75 hingga 89 tahun ditemui mati di dalam bilik mereka.

    Siasatan awal menunjukkan kebakaran berpunca daripada litar pintas, dan mangsa meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida.

    Polis memulakan prosiding jenayah terhadap kejadian itu dan menahan pengurus rumah jagaan berkenaan.

    Pada Januari tahun ini, 15 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah rumah penjagaan swasta di bandar Kharkiv, timur Ukraine. – BERNAMA