Tag: ujian

  • Semakin banyak negara laksana sekatan COVID-19 terhadap pelancong China

    Semakin banyak negara laksana sekatan COVID-19 terhadap pelancong China

    SEMAKIN banyak negara melaksanakan sekatan COVID-19 ke atas pelancong dari China dengan United Kingdom menjadi negara terbaharu pada Jumaat yang mewajibkan ujian COVID-19 sebelum berlepas.

    “Mulai 5 Jan, pelancong dari China ke England diminta mengambil ujian pra-pelepasan,” lapor Agensi Anadolu, memetik Jabatan Kesihatan.

    Di samping itu, Agensi Keselamatan Kesihatan UK melancarkan pengawasan dengan mengambil sampel dari penumpang yang tiba dari China mulai 8 Jan.

    Perancis juga mewajibkan pelancong dari China mempamerkan ujian negatif COVID-19 dan ujian secara rawak akan dijalankan ke atas penumpang semasa ketibaan, menurut laporan media.

    China baru-baru ini mengumumkan akan melonggarkan langkah-langkah pandemik, dan “hidup bersama COVID” selepas tiga tahun sekatan.

    Langkah itu dibuat di tengah-tengah pengumuman baharu oleh Amerika Syarikat, Jepun, Itali dan Sepanyol yang menguatkuasakan langkah pencegahan COVID-19 membabitkan pelancong dari China, termasuk mempamerkan keputusan ujian negatif COVID-19. – BERNAMA

  • Penambahbaikan SOP Parlimen kekang wabak, pastikan sidang selamat

    Penambahbaikan SOP Parlimen kekang wabak, pastikan sidang selamat

    PROSEDUR operasi standard (SOP) di bangunan Parlimen ditambah baik bagi mengekang penularan wabak COVID-19 serta memastikan persidangan Dewan Rakyat kali ini berjalan dengan selamat, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

    Beliau berkata beberapa perkara dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dewan semalam, antaranya mengenai SOP pergerakan warga Parlimen termasuk mewajibkan ujian RTK Antigen Saliva (sampel air liur) dijalankan secara berkala pada setiap Isnin dan Rabu.

    “Ujian pertama akan dilakukan esok (Rabu). Turut dipersetujui, carta alir mengenai tatacara pengurusan individu yang memasuki kompleks Parlimen. Selain itu, Ahli-ahli Yang Berhormat berstatus HSO (Perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah) disebabkan menjadi kontak rapat, akan diberi pilihan untuk sesi undian dengan memakai PPE. Ini pernah dilakukan pada 14 dan 15 Dis lepas.

    “Sistem penggiliran (Ahli Parlimen) dalam Dewan Rakyat dilakukan setiap satu jam sebagai langkah mengekang penularan,” katanya dalam pemasyhuran hari pertama persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari ini. 

    Azhar berkata mesyuarat dewan itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau); Alice Lau Kiong Yien (PH-Lanang); Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai); dan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut).

    Selain itu, beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen untuk tidak menanggalkan pelitup muka ketika bercakap atau berbahas serta menggalakkan pemakaian pelitup muka berganda.

    “Pengurusan Parlimen Malaysia juga membuat penambahbaikan kualiti udara. Saya berharap melalui penambahbaikan kualiti udara di dalam bangunan Parlimen dan pematuhan ketat SOP oleh semua warga Parlimen, ia dapat melindungi kita daripada wabak penyakit ini,” katanya.- BERNAMA