Tag: ugut bunuh

  • Ugut bunuh dan cederakan ibu, buruh kontrak dipenjara 8 bulan

    Ugut bunuh dan cederakan ibu, buruh kontrak dipenjara 8 bulan

    AKIBAT membuat ugutan bunuh menggunakan sebilah gunting dan mencederakan ibu kandung, seorang buruh kontrak dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

    Majistret S. Punitha menjatuhkan hukuman itu terhadap V. Kumaran, 48, selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama dan lapan bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh ditangkap pada Isnin lepas.

    Bagi pertuduhan pertama, Kumaran didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah secara lisan terhadap ibu kandungnya V. Yallama, 73, dengan mengacukan gunting ke leher dengan niat hendak mendatangkan rasa cemas.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, Chemor di sini pada kira-kira pukul 4 petang, 27 Ogos lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Bagi pertuduhan kedua iaitu mendatangkan kecederaan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh hukuman yang ditetapkan di bawah Seksyen 323.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili Siti Hajar Hamzah, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.- BERNAMA

  • Ugut bunuh bekas teman wanita, mekanik 19 tahun ditahan

    Ugut bunuh bekas teman wanita, mekanik 19 tahun ditahan

    POLIS menahan seorang mekanik semalam selepas lelaki itu disyaki mengugut bekas teman wanitanya dengan pisau dan cota kerana enggan meneruskan hubungan mereka.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari Sabtu lalu, remaja perempuan berusia 17 tahun pergi ke rumah suspek berusia 19 tahun di Taman Ukay Bistari.

    Katanya, mangsa mahu menuntut ganti rugi perbelanjaan RM700 ketika mereka menjadi pasangan kekasih.

    Namun katanya, semasa di dalam rumah, suspek bertindak kasar dengan menolak mangsa lalu mengacu dua bilah pisau berlainan sebanyak dua kali.

    “Suspek juga mengeluarkan kata ugutan bunuh kerana pengadu tidak mahu meneruskan hubungan dengan suspek

    “Suspek juga merampas telefon bimbit dan menghempaskan ke lantai menyebabkan telefon remaja terbabit rosak,” katanya.

    Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, berikutan laporan dibuat mangsa, sepasukan polis kira-kira pukul 8.30 malam tadi menahan suspek berusia 19 tahun di Taman Ukay Bistari.

    Katanya, polis turut merampas sebatang cota, dua pisau dan sebuah telefon bimbit yang digunakan ketika kejadian.

    “Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

    “Reman terhadap suspek akan dipohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” tambahnya.