Tag: Ugut

  • Ugut, pukul kepala wanita:Abang sado baju merah direman 3 hari

    Ugut, pukul kepala wanita:Abang sado baju merah direman 3 hari

    LELAKI berbadan tegap yang tular dalam rakaman memukul kepala dan mengugut seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah direman selama tiga hari.

    Perintah reman bermula hari ini sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah di Mahkamah Majistret Tapah, lapor Sinar Harian.

    Lelaki berusia 29 tahun terbabit tiba di mahkamah sekitar pukul 8.35 pagi berpakaian lokap warna ungu dengan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 dan 509 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah dan perbuatan mengaibkan kehormatan.

    Semalam, lelaki terbabit ditahan di sekitar Serdang, Selangor selepas mangsa berusia 24 tahun itu membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.

    Lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang itu kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut.

    Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berlaku sekitar pukul 5.33 petang kelmarin ketika mangsa dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.

    Kejadian dikatakan berlaku akibat salah faham di atas jalan raya sekitar pusat peranginan Lata Iskandar apabila mangsa cuba memotong sebuah kereta Proton Persona yang berada di hadapannya, namun tidak dapat berbuat demikian.

  • Abang pukul adik hanya kerana tersalah tukar siaran TV

    Abang pukul adik hanya kerana tersalah tukar siaran TV

    SEORANG abang tergamak memukul adik lelakinya hingga cedera hanya kerana mangsa tersalah menukar siaran televisyen dalam kejadian di sebuah rumah di Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai di Ampang, semalam.

    Malah, suspek turut menampar muka adiknya sebelum mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan jenayah terhadap adiknya.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika dua beradik itu sedang menonton televisyen bersama.

    Katanya, abang suspek kemudian menyuruh mangsa menukar siaran televisyen tetapi dia tersalah menekan siaran dan perkara itu menyebabkan abangnya berang.

    “Suspek kemudian menumbuk dada, rusuk kanan dan mulut mangsa sehingga cedera. Suspek turut menampar muka mangsa selain membuat ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Berikutan itu, mangsa yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai penjual burger dimasukkan ke hospital untuk rawatan sebelum satu laporan berkaitan kejadian itu dibuat kepada pihak polis.

    “Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan sepasukan anggota polis di kediamannya, di Pangsapuri Intan, kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi untuk siasatan.

    “Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau termasuk satu kes curi kenderaan pada 2014 dan siasatan mendapati suspek kerap bergaduh dengan adiknya kerana sikapnya yang panas baran,” katanya lapor Berita Harian.

    Tambah Mohamad Farouk, suspek kini direman empat hari hingga 30 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (mendatangkan ketakutan) dan Seksyen 323 kanun sama (sengaja mendatangkan kecederaan).

  • Pemandu lori didenda RM6,000 selepas ugut `memotong’ bapa seorang wanita bergelar Datuk

    Pemandu lori didenda RM6,000 selepas ugut `memotong’ bapa seorang wanita bergelar Datuk

    SEORANG pemandu lori didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini selepas mengaku salah mengugut dua wanita termasuk seorang anak Datuk.

    Tertuduh, R. Thiruselvam, 38, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda tersebut, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dan sepupunya, dengan kata-kata mahu `memotong’ bapa wanita tersebut.

    Kesalahan dilakukan di sebuah kedai makan di Taman Kinrara, Puchong di sini pada pukul 2.30 pagi, 10 November 2019.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika mangsa keluar membeli makanan dengan kakak sepupunya, mereka didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali.

    Lelaki berkenaan kemudiannya mengugut mahu `memotong’ bapa mangsa yang juga seorang Datuk.

    Mendengar ugutan tersebut, kedua-dua wanita berkenaan melarikan diri dan memasuki kereta dengan segera.

    Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz memohon agar tertuduh dijatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran.

    Bagaimanapun, peguam, Kailash Sharma merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan insaf atas perbuatan yang dilakukan.

    “Dia perlu menanggung ibu bapanya, malah ibunya baru sahaja menjalani pembedahan mata,” katanya.