Tag: ubat

  • Pembelian panik bukan punca masalah bekalan ubat-ubatan

    Pembelian panik bukan punca masalah bekalan ubat-ubatan

    ISU kekurangan bekalan ubat-ubatan yang berlaku terutama di farmasi dan fasiliti kesihatan swasta tertentu ketika ini bukan disebabkan pembelian panik oleh orang ramai, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Sebaliknya, beliau menjelaskan, ia ekoran permintaan tinggi ubat-ubatan tertentu susulan penularan COVID-19 varian Omicron sebelum ini dan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada waktu ini.

    Bagaimanapun, Khairy berkata, keadaan itu tidak berlaku di seluruh negara sebaliknya hanya membabitkan beberapa lokasi dan ubat-ubatan tertentu dan beliau memberi jaminan bekalan ubat-ubatan di negara ini secara keseluruhannya mencukupi.

    “Sebab banyak ubat-ubatan yang dikatakan kurang ini, bukan tak ada, tapi dikatakan kurang ini adalah ubat untuk penyakit biasa macam selesema, demam, sakit kepala dan sebagainya.

    “Jadi mungkin itu ada kaitan dengan hari itu ramai yang dijangkiti COVID-19 dan juga selepas ini HFMD, jadi mungkin dari segi pembelian itu… permintaan itu meningkat disebabkan fenomena tersebut,” katanya pada sidang media di Alor Setar hari ini.

    Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan semakan dengan pengeluar dan pengimport ubat-ubatan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai bekalan selain mendapatkan maklum balas daripada Persatuan Perubatan Malaysia serta klinik-klinik swasta.

    “Kita akan bekerjasama dengan pengeluar-pengeluar syarikat-syarikat farmasi sama ada untuk bagi ubat alternatif ataupun kalau sekiranya perlu, kita import ubat dari negara lain.

    “Tapi buat masa ini, kita ada dapat beberapa aduan setiap hari dan kita akan cuba bantu mereka untuk dapat stok ubat-ubatan ini. Di fasiliti kerajaan tidak ada masalah… yang ada kekurangan di fasiliti kesihatan dan klinik swasta,” katanya.

    Terdahulu beliau menghadiri majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan daripada kerajaan Jepun melalui Bantuan Geran Jepun kepada KKM yang turut dihadiri Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

    Mengenai sumbangan itu, Khairy berkata peralatan perubatan keseluruhan bernilai RM19.3 juta tersebut akan diagih kepada semua hospital kerajaan di seluruh negara bagi meningkatkan perkhidmatan fasiliti berkenaan.

    “Jadi banyak hospital bukan hanya hospital di kawasan bandar yang akan terima sumbangan ini tetapi juga luar bandar, sebagai contoh Hospital Kuala Lipis, Hospital Kuala Krai, Hospital Orang Asli Gombak dan Hospital Jempol,” katanya.

    Kerajaan Jepun pada Disember 2020 menawarkan untuk membantu Malaysia dalam memerangi pandemik COVID-19 dalam bentuk Bantuan Geran Jepun bagi membekalkan peralatan perubatan kritikal yang diperlukan untuk melengkapkan perkhidmatan bagi merawat pesakit COVID-19.

    Sehingga kini, 174 daripada 248 unit peralatan itu telah diagihkan kepada hospital KKM seluruh negara dan peralatan itu yang antaranya pam picagari, penganalisis gas darah (respiratori), pengimbas ultrabunyi mudah alih dan defibrilator akan terus digunakan untuk merawat pesakit bukan COVID-19 apabila wabak itu diisytiharkan berakhir nanti. – BERNAMA

  • KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit Covid-19

    KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit Covid-19

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan selain Baricitinib untuk merawat pesakit COVID-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Hishamshah Mohd Ibrahim.

    Bercakap pada sesi dialog Sidang Kemuncak Pemulihan Negara hari ini, Dr Hishamshah berkata ubat-ubatan itu akan menjadi sebahagian daripada kumpulan ubat yang kini digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 dalam kategori kritikal.

    “Ia menjadi satu cabaran pada kita. Bagaimanapun Malaysia telah secara aktif terlibat dalam banyak ujian klinikal untuk rawatan COVID-19 dan telah mengambil bahagian dalam Ujian Solidariti untuk Rawatan COVID-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    “Kita juga sedang menggunakan Baricitinib, sejenis ubat baharu dan kita sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan lain yang mungkin akan mendapat kebenaran penggunaan di bawah Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) dalam masa terdekat, serta kita sedang berbincang mengenai perkara itu dengan pihak pengeluar,” katanya pada sidang yang diadakan secara maya itu, anjuran Institut Strategik Bagi Asia Pasifik KSI.

    Sementara itu, Dr Hishamshah berkata KKM sedang meneliti kaedah untuk memudahkan golongan B40 mendapatkan kit ujian pantas antigen COVID-19.

    Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan terus  menyemak semula harga kit ujian kendiri itu bagi menjadikan kit tersebut mampu dimiliki semua pihak.

    Minggu lepas kerajaan menetapkan harga siling kit ujian pantas antigen COVID-19 pada RM19.90 setiap set dan harga borong RM16 setiap set, berkuat kuasa 5 Sept lepas.- BERNAMA

  • Bekalan ubat Covid-19 tidak terputus – Dr Noor Hisham

    Bekalan ubat Covid-19 tidak terputus – Dr Noor Hisham

    BEKALAN ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19 di hospital awam seluruh negara tidak terputus sepenuhnya tetapi diterima secara berperingkat daripada pembekal susulan permintaan meningkat secara drastik dalam waktu singkat.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah itu melalui beberapa pendekatan.

    Katanya sejak Mei lalu, permintaan ke atas ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan COVID-19 telah meningkat secara drastik berikutan kenaikan kes secara mendadak bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

    Menurutnya, permintaan dalam negara telah meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik COVID-19 sehingga mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan COVID-19 di hospital awam.

    “KKM dimaklumkan terdapat gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selain itu, katanya, pengeluar tempatan juga mempunyai keupayaan terhad untuk menghasilkan stok dalam jumlah yang besar dalam jangka waktu yang singkat.

    “Ini disebabkan kekurangan bahan mentah di pihak pengeluar dan kemasukan bahan mentah tambahan dari luar negara yang tidak stabil,” katanya ketika mengulas laporan media berhubung kekurangan bekalan ubatan-ubatan itu.

    Bagaimanapun, katanya, KKM telah mengambil beberapa langkah antaranya bekerjasama dengan pembekal melalui komunikasi berterusan untuk mendapatkan keutamaan penerimaan bekalan oleh Malaysia serta mencari sumber alternatif ubat di bawah kontrak pusat.

    KKM juga, katanya telah melaksanakan perolehan darurat di peringkat nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri, selain memudahcara pembelian ubat di luar kontrak untuk 21 jenis ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19.

    “KKM turut mengadakan perbincangan secara berterusan dengan pakar perubatan tentang ubat alternatif yang sesuai untuk digunakan bagi memastikan kesinambungan rawatan.

    “Ia tidak terhad kepada ubat-ubatan dalam Formulari Ubat-ubatan KKM (FUKKM) tetapi merangkumi semua ubat berdaftar dan tidak berdaftar yang boleh didapati bagi memenuhi permintaan,” katanya.

    Dr Noor Hisham menjelaskan KKM juga sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan ketersediaan bekalan ubat-ubatan terutamanya yang berkaitan dengan rawatan COVID-19, di samping tetap memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan yang diperolehi terjamin untuk kemaslahatan rakyat negara ini. 

    Semalam, sebuah portal berita melaporkan banyak hospital kerajaan berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan termasuk yang diperlukan untuk merawat kes COVID-19 seperti Clexane, sejenis ubat antigumpal yang penting dalam rawatan virus itu.- BERNAMA