Tag: Twitter

  • Warganet kecam Ahli Parlimen ‘sombong’ dalam wawancara CodeBlue

    Warganet kecam Ahli Parlimen ‘sombong’ dalam wawancara CodeBlue

    AHLI Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee dilapor dikecam pengguna Twitter sebagai “sombong” dalam wawancara dengan portal berita kesihatan, CodeBlue, dengan ada yang menyifatkannya “PR (perhubungan awam) gagal sepenuhnya”.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Lee yang pertama kali menjadi Ahli Parlimen DAP diwawancara ketua pengarang CodeBlue, Boo Su-Lyn di Parlimen Selasa lalu, dan ditanya mengenai isu kesihatan seperti sama ada beliau menyokong mogok dan berapa lama petugas kesihatan patut menunggu sebelum mengambil tindakan itu.

    Bagaimanapun, Lee dengan sinis bertanya Boo adakah beliau “kelihatan seperti menteri”. Lee juga enggan menjawab soalan lain atas alasan ia bersifat “emotif”

    “Kurang ajar, sombong. Secara keseluruhan, tidak profesional,” kata @rahmahghazali mengulas video temubual itu yang disiarkan di Twitter CodeBlue.

    “Keangkuhan dalam nada suara, bahasa badan dan tiada empati adalah jelas,” kata @Shammy_TC.

    Seorang lagi pengguna Twitter @Idiot19861 mendakwa postur badan Lee ketika wawancara itu menunjukkan sikapnya.

    “Ia bertambah buruk bila beliau mula bercakap. Jika nak gambarkan diri kamu sombong dan menjengkelkan, kamu berjaya,” katanya.

    Sementara itu, @rainbows_wheee berkata, bahasa badan Lee menunjukkan “keangkuhan dan tidak ikhlas”.

    “(Boo) bertanyakan soalan relevan, berapa lama petugas kesihatan patut menunggu dan jawapan kamu hanyalah – tunggu sehingga kita selesaikan semuanya. Saya anggap kamu lebih baik daripada ini,” kata @rainbows_wheee.

    Seorang lagi pengguna @hxrryxo_ incase berkata, Lee patut menolak diwawancara sekiranya tidak boleh menjawab soalan, manakala @FedVee menasihatkan Lee mendapatkan latihan media.

    “PR gagal sepenuhnya! Tak fasih, tak petah dan kurang ajar! Setiausaha akhbarnya, jika ada, patut merendah diri,” kata @FedVee.

    @JackSingh01 meminta ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii mengajar Lee, selain menggesanya memohon maaf kepada Boo.

    @startupizwan simpati dengan Boo yang terpaksa melalui “wawancara teruk” itu, manakala @zaim90 memuji Boo “tetap tenang”.

    Bagaimanapun, bukan semua warganet menyokong Boo kerana @phoonteckman mendakwa Boo menggunakan klip video itu untuk mendapatkan perhatian dan “menyebabkan orang membenci Lee”.

    @munchkkin47 berkata, Lee jelas geram dengan soalan Boo yang terus mengasak dengan perkara sama berulang kali.

    “Sila siarkan video penuh, bukan hanya sedutan yang memburukkan sebelah pihak,” katanya.

    Berikut sebahagian petikan klip video itu yang disiarkan di laman sesawang CodeBlue.

    Boo: Berapa lama kamu gesa petugas kesihatan menunggu walaupun hanya untuk satu penyelesaian sebelum melancarkan mogok?

    Lee: Soalan apa itu?

    Boo: Um, jadi…

    Lee: Saya tidak layan soalan emotif kerana ini soalan emotif.

    Boo: Tidak, tidak, tidak. Ia – berapa lama kamu jangka mereka…?

    Lee: No, inilah dia. Saya penerima soalan ini. Saya rasa ia soalan emotif, jadi saya tidak akan menjawabnya.

    Boo: Kamu tidak mahu jawab soalan itu?

    Lee: Apa maksud kamu, berapa lama saya mahu mereka tunggu?

    Boo: Untuk penyelesaian.

    Lee: Ada penyelesaian; ia pelaksanaan penyelesaian, betul?

    Boo: Itu yang saya maksudkan.

    Lee: Betul, kamu tidak tanya tentang itu.

    Boo: Okey, jadi berapa lama kamu mahu mereka tunggu untuk pelaksanaan penyelesaian itu?

    Lee: Saya mahu mereka tunggu kerajaan meneliti semua langkah bersesuaian untuk memastikan semua pemegang taruh diambil kira, dalam dasar sebelum mereka melancarkan mogok.

    Boo: Jadi. berapa lamakah?

    Lee: Adakah saya kelihatan seperti menteri? Adakah saya kelihatan berada dalam eksekutif? Adakah saya kelihatan mempunyai kuasa untuk memberi arahan?

  • Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    PEMILIK akaun Twitter menggunakan nama Zulfadzli@bumilangit yang memuat naik video mengandungi unsur perkauman di media sosial ditahan polis, hari ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

    “Lelaki itu direman bermula hari ini hingga 26 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baru-baru ini pemilik akaun Twitter tersebut difahamkan memuat naik video TikTok yang tular yang menjurus kepada unsur perkauman sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum.- BERNAMA

  • Twitter akan caj RM94 sebulan ke atas pengguna sah

    Twitter akan caj RM94 sebulan ke atas pengguna sah

    RANGKAIAN sosial Twitter merancang mengenakan bayaran AS$20 (RM94.56) sebulan ke atas pengguna sebagai pengesahan yang merupakan sebahagian daripada baik pulih diumumkan Elon Musk, lapor Sputnik, memetik media pada Isnin.

    Pekerja yang terlibat dalam projek itu dimaklumkan pada Ahad bahawa mereka perlu melancarkan ciri itu menjelang 7 Nov atau mereka akan kehilangan pekerjaan, lapor Verge.

    Musk memuktamadkan perjanjian pemerolehan ke atas Twitter dengan belian bernilai AS$44 bilion pada Jumaat lepas. Ciapan beliau pada Ahad bahawa “keseluruhan proses pengesahan sedang dirombak”.

    Langganan premium pilihan kini berharga AS$4.99 sebulan. Ciri baharu itu, dipanggil Twitter Blue, bernilai AS$19.99 sebulan, lapor Verge. – BERNAMA

  • Ibu muda dituduh muat naik gambar lucah di Twitter

    Ibu muda dituduh muat naik gambar lucah di Twitter

    SEORANG wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran dengan memuat naik gambar lucah di akaun Twitter, tahun lepas.

    Amira Nur Afiqah Agus Salim, 25, operator di sebuah syarikat perhotelan, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norhasniah Abdul Razak.

    Ibu kepada seorang anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui akaun Twitter ‘@amiranafqh’ pada 7.27 malam, 19 Sept 2021.

    Hantaran itu kemudian dilihat di sebuah premis di Sri Tioman 2, Jalan Melati, Kuala Lumpur, pada 7.58 malam, pada tarikh sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Nur Nazhzilah Mohamad Hashim mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Adly Zulfadhly Zulkefly yang mewakili OKS memohon jaminan RM2,000 berikutan anak guamnya perlu menanggung seorang anak dan ibu bapanya.

    “Suami kepada anak guam saya merupakan video editor bebas dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Jaminan RM5,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan tidak munasabah kerana anak guam saya tidak mampu untuk membayarnya atas faktor ekonomi,” kata peguam itu dan menambah pihaknya akan mengemukakan representasi.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali pada setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Elon Musk tawar beli Twitter AS$43 bilion

    Elon Musk tawar beli Twitter AS$43 bilion

    MAKLUMAN kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menunjukkan Elon Musk membuat tawaran untuk membeli Twitter.

    Jutawan itu berkata, beliau sanggup membayar AS$54.20 setiap saham untuk membeli 100 peratus syarikat itu. Tawaran tunai keseluruhan menjadikan nilai syarikat rangkaian sosial itu mencecah AS$43.4 bilion, kata Xinhua.

    “Saya melabur dalam Twitter kerana percaya potensinya untuk menjadi platform untuk bebas bersuara di seluruh dunia,” tulis Musk dalam e-mel kepada Bret Taylor, Pengerusi Lembaga Pengarah Twitter.

    E-mel itu diterbitkan semula dalam pemfailan SEC, sambil menambah bahawa “Twitter perlu ditransformasi sebagai syarikat persendirian.”

    “Tawaran saya adalah tawaran terbaik dan terakhir, dan jika ia tidak diterima, saya perlu pertimbangkan semula kedudukan saya sebagai pemegang saham,” kata Musk.

    Tawaran itu adalah premium 54 peratus sehari sebelum beliau mula melabur dalam Twitter dan premium 38 peratus sehari sebelum pelaburannya diumumkan secara terbuka.

    Twitter mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan penerimaan tawaran Musk dan berkata lembaganya akan “meneliti cadangan itu untuk tindakan”.

    Pada 4 April, Twitter mengesahkan bahawa Musk memperoleh 9.2 peratus saham syarikat itu untuk menjadi pemegang saham terbesar. Namun Musk kemudiannya enggan menyertai barisan lembaga pengarah.

    Sebagai ahli lembaga pengarah, Musk tidak dibenarkan memiliki lebih daripada 14.9 peratus saham syarikat.

    Musk kini merupakan orang terkaya di dunia. Menurut Forbes, nilai kekayaannya kini adalah AS$273.6 bilion. – BERNAMA

  • Mahasiswa mengaku salah muat naik komen jelik terhadap Agong, PM

    Mahasiswa mengaku salah muat naik komen jelik terhadap Agong, PM

    SEORANG penuntut universiti mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri di laman sosial, tahun lepas.

    Pengakuan Muhammad Luqmanulhakim Mohd Aziz, 22, dari Negeri Sembilan direkodkan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8.31 malam 17 April 2021 dengan membuat kenyataan itu di akaun Twitter @hkmlqmn18 dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang dibaca pada 9 malam hari sama di Felda Mempaga, Bentong.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

    Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Mat memohon tarikh baharu untuk jatuh hukum bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan fakta kes dan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, Muhammad Luqmanulhakim yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan ke paling minimum kerana dirinya belum bekerja.

    “Kami lima beradik dan semuanya masih bersekolah. Ibu bapa saya hadir ke mahkamah hari ini dan mereka bekerja sebagai guru. Kalau boleh, saya mohon jumlah jaminan dikurangkan lagi,” katanya.

    Ahmad Faizadh membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April sebagai tarikh jatuh hukum. – BERNAMA

  • Fahmi Reza dituduh buat hantaran jelik isu kuarantin menteri

    Fahmi Reza dituduh buat hantaran jelik isu kuarantin menteri

    SEORANG pereka grafik dan aktivis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menerusi aplikasi Twitter miliknya membabitkan isu kuarantin terhadap menteri pulang dari lawatan rasmi di luar negara, tahun lepas.

    Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

    Mohd Fahmi didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Twitter menggunakan laman profil Twitter “Fahmi Reza” atau “@kuasasiswa” pada 3.02 petang, 10 Feb 2021.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Presint 1, Putrajaya pada 4 petang, 11 Feb tahun sama.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000, namun peguam Raj Surian Pillai, yang mewakili Fahmi Reza memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

    “OKS juga tidak akan mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” kata Raj Surian.

    Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Fahmi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA