Tag: Turki

  • Anak lelaki Muammar Gaddafi dibebaskan dari penjara

    Anak lelaki Muammar Gaddafi dibebaskan dari penjara

    ANAK pemimpin Libya yang digulingkan Muammar Gaddafi telah dibebaskan dari penjara di Tripoli, kata sumber keselamatan pada Ahad.

    Al-Saadi Gaddafi, 48, dibebaskan melalui keputusan oleh Ketua Pendakwaraya Libya dan persetujuan Perdana Menteri Abdul Hamid Dbeibeh.

    Beliau kemudian meninggalkan negara itu untuk berpindah ke Turki, lapor Agensi Anadolu.

    Al-Saadi, yang pernah menyandang jawatan dalam pengurusan aktiviti sukan negara itu semasa tempoh Gaddafi, dan bermain dengan pasukan bola sepak kebangsaan Libya.

    Beliau melarikan diri ke Niger selepas kejatuhan rejim Gaddafi pada 2011 namun dibawa kembali ke Libya untuk dibicarakan pada 2014 atas tuduhan penyelewengan semasa menerajuiĀ Persekutuan Bola Sepak Libya.-BERNAMA

  • Pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki, 8 maut

    Pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki, 8 maut

    SEBANYAK lapan orang terbunuh apabila sebuah pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki semalam.

    Lapor Al Jazeera yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia, pesawat Be-200 itu terhempas kira-kira pukul 3.10 petang waktu Moscow dan ia membawa lima orang kru warga Rusia dan tiga lagi orang awam Turki.

    Agensi berita Anadolu berkata, pesawat malang itu berkaitan Jabatan Perhutanan Rusia dan pasukan penyelamat sudah dikerah ke lokasi nahas di Kahramanmaras.

    Punca nahas itu bagaimanapun masih tidak diketahui.

    Gabenor Kahramanmaras, Omer Faruk Coskun berkata, satu kebakaran hutan berlaku apabila kilat menyambar pokok.

    “Kita mengerahkan sebuah pesawat ke lokasi namun terputus hubungan dan ia terhempas.Kita menghantar sebanyak mungkin unit bantuan ke lokasi nahas,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menzahirkan ucapan takziah dan bersedih dengan kematian yang berlaku dalam insiden berkenaan.

    Turki memadamkan lebih 300 kebakaran hutan dalam tempoh 16 hari lalu, yang turut menyaksikan lapan nyawa terkorban.

    BE-200 merupakan pesawat dua enjin yang digunakan di Rusia dan negara lain untuk memadamkan kebakaran hutan.

    Ia mampu melepaskan sehingga 270 metrik tan air menerusi beberapa kali perjalanan dalam satu misi.

  • 21 maut dalam kemalangan bas di barat Turki

    21 maut dalam kemalangan bas di barat Turki

    Oleh: Bernama

    SEKURANG-KURANGNYA 21 orang terbunuh dan 28 yang lain cedera dalam dua kemalangan jalan raya melibatkan bas penumpang di barat Turki pada Ahad.

    Di wilayah Izmir, enam maut dan 11 yang lain cedera selepas sebuah bas penumpang hilang kawalan di daerah Kemalpasa, tulis Gabenor Izmir Yavuz Selim Kosger di Twitter.

    Petugas kesihatan dan bomba Gendarmerie segera dikejarkan ke tempat kejadian, semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan, lapor Agensi Anadolu.

    Sementara itu, dalam satu lagi nahas yang berlaku awal pagi, sebuah bas penumpang terbalik di wilayah Balikesir menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh.

    Bas malang itu dalam perjalanan ke daerah Edremit Balikesir dari wilayah Laut Hitam Zonguldak.

    Seramai 11 orang meninggal dunia di tempat kejadian, dan empat yang lain di hospital.

    Gabenor Balikesir Hasan Sildak yang melawat mangsa di hospital berkata tiga daripada 17 mangsa yang cedera sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

    Siasatan mengenai punca nahas sedang dijalankan.- BERNAMA