Tag: Tuntutan Palsu

  • Dua lelaki ditahan SPRM bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Dua lelaki ditahan SPRM bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki terdiri daripada pengarah dan pemilik dua syarikat berbeza bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran penternakan lembu tenusu di bawah program projek permulaan (EPP) 13 Kluster Tenusu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM20.3 juta pada 2015.

    Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia 51 dan 52 tahun itu ditahan di dua lokasi berbeza hari ini.

    Katanya, pengarah syarikat berkenaan berusia 51 tahun terlebih dulu ditahan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 1 tengah hari.

    “Pemilik syarikat berusia 52 tahun itu pula ditahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Simpang Renggam, Johor kira-kira pukul 3 petang.

    “Kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Difahamkan pada 2015, beberapa syarikat disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar tanpa membuat sebarang pembekalan.

    Sumber itu menambah, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

    “Ketika ini SPRM sedang giat mengesan saksi dan mengambil keterangan individu dipercayai terlibat.

    “Siasatan masih diteruskan bagi mengesan lain-lain individu yang mungkin terlibat dalam kes tersebut,” katanya.

  • Guru Besar direman berkait tuntutan palsu

    Guru Besar direman berkait tuntutan palsu

    SEORANG guru besar direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan membabitkan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM1,568, dua tahun lalu.

    Suspek pada penghujung tahun 2019 dikatakan memperakukan pembayaran bagi program Majlis Sukan Negara (MSN), majlis perpisahan dan majlis hari jadi di sekolah tempatnya bertugas, namun dipercayai majlis berkenaan tidak dilaksanakan.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 57 tahun yang bertugas di sebuah sekolah di Port Dickson, dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Syed Farid Syed Ali.

    Permohonan reman dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim, manakala suspek diwakili peguam, T. Sailaja.

    Suspek ditahan di pejabat SPRM Negeri Sembilan, Seremban, kira-kira 1.30 tengah hari semalam, selepas hadir memberikan keterangan, menurut laporan Berita Harian.

    Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail, mengesahkan penahanan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Pembantu operasi HSA dituduh buat tuntutan palsu

    Pembantu operasi HSA dituduh buat tuntutan palsu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG wanita yang juga pembantu operasi sebuah hospital kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan memperdaya dengan melakukan tuntutan palsu melibatkan jumlah RM7,050 pada 2018.

    Bagaimanapun, Zuraiha Zakri, 38, mengaku tidak bersalah ke atas semua empat pertuduhan tersebut yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Operasi Gred N11 di Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, didakwa dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu HSA berkaitan dokumen pesanan penghantaran atas nama sebuah syarikat.

    Dokumen itu berhubung penyediaan makanan dan minuman bagi pelaksanaan tiga program di hospital itu yang mana ia tidak dibekalkan seperti dalam dokumen berkenaan yang dipercayai untuk mengelirukan pihak hospital antara Julai hingga Ogos 2018.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, Zuraiha berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

    Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pertuduhan berkenaan tidak memperuntukkan jaminan, namun pihaknya mencadangkan ikat jamin RM20,000 sekiranya dibenarkan.

    Bagaimanapun, peguam tertuduh, Salleh Tugimin memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya masih bertugas dalam pusat yang sama di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan dan mempunyai seorang anak berusia lima tahun.

    Suaminya pula hanya bekerja sebagai kerani, selain mereka turut menanggung ibu bapanya yang sudah tua dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan serta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes yang ditetapkan pada 21 Oktober ini.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai selain perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kota Bharu.