Tag: Tunku Ismail Sultan Ibrahim

  • Mesut Ozil tidak pernah berada dalam ‘radar’ JDT – TMJ

    Mesut Ozil tidak pernah berada dalam ‘radar’ JDT – TMJ

    BEKAS pemain Arsenal Mesut Ozil tidak pernah berada dalam perancangan Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk diambil sebagai pemain baharu.

    Pemilik Kelab JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah demikian sekali gus menepis desas-desus yang mengatakan bintang kelahiran Jerman itu bakal menyertai kelabnya.

    Baginda bagaimanapun memberi bayangan bahawa tidak mempunyai masalah untuk mempertimbangkan pemain kelab Sepanyol Sevilla iaitu Papu Gomez sekiranya mampu memberikan komitmen untuk bermain di JDT.

    “Saya tidak tahu mana cerita Mesut Ozil ini datang, tetapi jikalau Papu Gomez..kalau dia boleh memberi saya komitmen dan harga munasabah, insya-Allah. Tetapi Mesut Ozil tidak pernah ada dalam perancangan saya.

    “Kalau dia (Ozil) bagus kenapa tidak ada satu pun kelab ambil dia, mungkin ada masalah peribadi, kita tidak tahu, mungkin dari segi sikap…saya tidak mahu memburukkan sesiapa kerana saya tidak kenal dia. 

    “Tetapi, itu antara faktor kami harus ambil dan buat penilaian, tidak kami terima setakat hendak nama besar sahaja dalam JDT, saya hendak keputusan, kejayaan dan bukan jadi populis,” titah baginda dalam Sesi Soal Jawab Bersama Penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

    Baginda pada masa sama bertitah tidak mahu JDT dijadikan sebagai kelab persaraan untuk mana-mana pemain dunia dan menjelaskan hanya pemain yang mampu memberikan komitmen dan sanggup berjuang bermati-matian untuk pasukan berada di kelab itu.

    “Saya rasa, saya tidak akan bayar pemain yang tidak akan lari tiga meter dalam padang. Di Johor tidak ada superstar, yang ada, pemain yang memberi komitmen dan sanggup bermati-matian antara satu sama lain, komited untuk menyerang dan bertahan sebagai satu unit,” titah baginda.

    Baginda juga bertitah penyertaan JDT III dalam pertandingan bola sepak kompetitif seperti Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 pada masa sama mampu memberikan pendedahan kepada pemain sekali gus memperbaiki prestasi pemain.

    Perjuangan JDT III  pada Sukma ke-20 berakhir di peringkat suku akhir setelah tewas 4-5 menerusi sepakan penalti ketika berdepan Wilayah Persekutuan setelah terikat 1-1 dalam 90 minit perlawanan.

    Sementara itu, Tunku Ismail turut menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet Johor atas kejayaan mendahului tangga teratas carta kutipan pingat Sukma ke-20.

    Setakat semalam, Johor mendahului kutipan pingat pada temasya sukan dwitahunan itu dengan 50 pingat emas, 31 perak dan 21 gangsa diikuti Terengganu 26 emas, 26 perak dan 24 gangsa.- BERNAMA

  • TMJ dilantik Pemangku Raja mulai hari ini

    TMJ dilantik Pemangku Raja mulai hari ini

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan melantik anakanda sulung baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Raja mulai hari ini.

    Baginda mengumumkan perkara itu ketika bertitah merasmikan mesyuarat kedua (pembukaan rasmi) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di Iskandar Puteri, hari ini.

    “Saya melantik Tunku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja, saya ingin berehat sekejap, terima kasih, mulai hari ini,” titahnya.

    Bagaimanapun, baginda tidak menyebut tempoh jawatan itu akan dipegang oleh Tunku Ismail.

    Kali terakhir Tunku Ismail dilaporkan memegang jawatan itu apabila baginda dilantik pada 10 Ogos 2019.

    Seminggu lepas, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan berundur dan menyerahkan urusan harian kelab itu kepada pengurusan tertingginya.

    Menerusi hantaran di laman Facebook Johor Southern Tigers pada 9 Jun lepas, Tunku Ismail berkata keputusan itu adalah disebabkan tanggungjawab dan komitmennya yang lain. – BERNAMA

  • TMJ akan bertemu guru tolak vaksin pada Jumaat

    TMJ akan bertemu guru tolak vaksin pada Jumaat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan berjumpa Pengarah Pendidikan negeri dan para guru di Bangunan Sultan Ibrahim Bukit Timbalan, Johor Bahru, Jumaat ini.

    Perkara tersebut dimaklumkna Tunku Ismail dalam Facebook rasmi beliau hari ini.

    “Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan para guru di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan bersama-sama dengan Mufti Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor pada Jumaat ini.

    “Demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Insya’Allah,” katanya.

    Hari ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.

    Baginda bertitah, kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga, serta masyarakat.

    Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, semalam berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.