Tag: Tunai umrah

  • Selesai penggambaran, Shah Rukh Khan tunai umrah

    Selesai penggambaran, Shah Rukh Khan tunai umrah

    SUPERSTAR Bollywod, Datuk Shah Rukh Khan dilaporkan berada di Tanah Suci Mekah menunaikan ibadah umrah.

    Lapor Astro Awani, pelakon kegemaran ramai itu mengambil kesempatan menunaikan umrah selepas selesai menjalani penggambaran filem terbaharu, Dunki di Arab Saudi.

    Wartawan Arab Saudi, Saud Hafiz dalam perkongsian di akaun Twitternya berkongsi dua keping foto Shah Rukh Khan di Masjidilharam lengkap berpakaian ihram.

    Saud juga menitipkan doa semoga Allah menerima ibadah aktor tersohor dunia itu.

    Perkongsian hantaran Saud itu menyebabkan ramai peminat Shah Rukh Khan menulis kata-kata yang indah selain mendoakan pelakon itu.

    Sebelum berada di Arab Saudi, Shah Rukh Khan dan seluruh krew produksi terlebih dahulu berkunjung ke London bagi menjalani penggambaran filem Dunki.

    Dalam hantaran di akaun Instagramnya, Shah Rukh Khan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi yang telah memberikan layanan mesra buat beliau dan seluruh tenaga produksi filem itu.

  • Rakyat Malaysia dijangka tunai umrah dua bulan lagi

    Rakyat Malaysia dijangka tunai umrah dua bulan lagi

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    UMAT Islam di Malaysia dijangka berpeluang mengerjakan ibadah umrah kira-kira dua bulan lagi sekiranya kes Covid-19 dalam negara menurun dan sasaran 80 peratus penduduk divaksin dicapai.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ini juga bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta SOP ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

    Menurut beliau, perbincangan sudah dilakukan dengan Duta Arab Saudi semalam mengenai isu berkenaan dan pihaknya sedang mendapatkan kepastian dari semasa ke semasa.

    “Apabila keadaan memungkinkan (untuk ke sana), kita akan buat SOP dahulu, kita melihat kepada dua situasi iaitu satu dalam negara dan satu lagi negara yang ingin dikunjungi iaitu Arab Saudi.

    “Setakat ini, kita harap isu berkaitan dengan penyebaran pandemik Covid-19 dapat diredakan dengan sebaik mungkin dan vaksinasi dapat diperbanyakkan.

    “Jadi, kalau hal ini dapat diselesaikan, Insya-Allah, saya yakin dalam satu atau dua bulan lagi (boleh ke sana), namun ia bergantung keadaan COVID-19 yang kita hadapi selain kebenaran daripada negara sana,” katanya yang ditemui pada majlis sumbangan di Maahad Darul Quran Rusila, Marang, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan Arab Saudi membuka kembali pintunya untuk pelancong dari 49 negara sejak 1 Ogos lalu dengan mempermudahkan prosedur mendapatkan visa masuk bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara terbabit.

    Menurut laporan Saudi Gazette, syarat dan peraturan untuk mendapatkan visa pelancong dan memasuki Arab Saudi termasuk imunisasi penuh dengan vaksin yang diluluskan kerajaan itu.

    Pelancong dan pelawat dari 49 negara termasuk Malaysia, layak untuk memohon e-visa, yang membolehkan mereka menunaikan umrah dan mengikuti pelbagai aktiviti melancong di seluruh negara itu.