Tag: Tun Dr Mahathir Mohamad

  • Cukup cukuplah Tun M, elakkan fitnah, kafirkan sesama Islam…

    Cukup cukuplah Tun M, elakkan fitnah, kafirkan sesama Islam…

    guane

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  buat hal lagi, seolah-olah beliau cuba meneruskan kemunculan agresifnya untuk ‘menyerang’ pihak lawan yang tidak ‘sebulu’ dengan menggunakan pelbagai cara.

    Kalau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kemunculan kembali pemimpin politik veteran itu menggunakan serangan saraf memfokuskan isu membabitkan rasuah dan pelbagai fitnah terhadap pemimpin UMNO, kini beliau meneruskan pendekatan tersebut dengan mengaitkan Pas sebagai sebuah parti kafir.

    Bagi penulis  tindakan dilakukan oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ini tidak lain tidak bukan adalah untuk memporak perandakan parti  Islam tersebut, juga parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

    Sebagai seorang pemimpin politik berpengalaman, Tun M sudah cukup masak dengan rencah kepimpinan dalam sesebuah parti politik.

    Memandangkan PRU15 sudah benar-benar  semakin hampir  dan banyak pihak mula bercakap mengenainya   termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Saberi Yaakob sendiri sudah berulang kali memberi bayangan berhubung perkara tersebut.

    Namun, hanya Tun M sahaja masih  mengatakan bahawa PRU15 tidak sesuai dilaksanakan tahun ini?

    Persoalannya kenapa? Siapa Tun M sekarang, adakah beliau masih Perdana Menteri?

    Bagi penulis, itulah sebenarnya, antara strategi dan ‘ego’  dimiliki oleh Tun M.

    Beliau mahu orang menurut cakapnya dan tidak suka kepada golongan  yang cuba membantah.

    Sebagai bukti ialah nasib dialami oleh nama-nama seperti Tengku Razaliegh Hamzah, Ghafar Baba, Musa Hitam, Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak.

    Akibat dikatakan tidak mendengar cakap serta tidak ‘sebulu’ dengan Tun M, semua nama terbabit  ‘direnjat’.

    Penulis percaya, tindakan terbaharu Tun M cuba mengkafirkan Pas kerana dendam lamanya terhadap parti itu yang turut memberi dua pangkat istimewa kepadanya iaitu ‘Mahazalim’ dan ‘Mahafiraun” suatu ketika dahulu.

    Selain itu tindakan tersebut juga mungkin sebagai usaha untuk merenggangkan ikatan parti itu bersama UMNO dan  Bersatu.

    Jumaat lalu, Tun M  dilaporkan cuba  mendakwa Pas kini sebagai parti kafir kerana tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.

    Tun  M yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, hingga kini Pas tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu.

    Malah beliau menyifatkan dakwaan dibuat terhadap UMNO sebelum ini,  memberi gambaran Pas kini bukan lagi parti Islam.

    Namun katanya, dahulu Pas kata UMNO parti kafir, macam-macam tuduhan terhadap UMNO tapi tanpa menafikan tuduhan tersebut, mereka bekerjasama pula dengan UMNO.

    Hashim Jasin

    Apapun, dakwaan Tun M telah mendapat reaksi daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang mengatakan
    agenda penyatuan ummah dibawa Pas ketika ini sangat diperlukan dalam menyatupadukan parti-parti Melayu Islam di negara ini.

    Oleh itu, beliau meminta tidak perlu dibangkitkan lagi isu lama  (kafir-mengkafir) tersebut sebaliknya ia perlu terus ke arah penyatuan ummah demi kepentingan Melayu Islam di negara ini.

    Anwar Ibrahim

    Manakala Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pula  menyelar tindakan segelintir pemimpin politik yang melabel parti tertentu sebagai kafir.

    Menurut Anwar, ini kerana, amalan kafir-mengkafir itu bukanlah daripada tradisi dan budaya Islam.

    Penulis berharap agar cukup cukuplah pemimpin politik menggunakan strategi kempen tidak bermoral ketika PRU15 nanti kerana rakyat sudah muak dan masak mengenai politik masa kini.

    Trend penerimaan rakyat ketika PRU14 dan PRU15 amat jauh berbeza, rakyat sudah serik dan sukar untuk tertipu kali kedua.

    Kempen berunsur fitnah dan tidak beradab sudah tidak boleh diterima lagi.

    Diharap Tun dan partinya Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) tidak terjerat dengan kempen-kempen seperti itu kerana kelak nanti memerangkap diri.

  • Tun M positif COVID-19, kini dirawat di IJN

    Tun M positif COVID-19, kini dirawat di IJN

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan positif jangkitan COVID-19 pagi ini.

    Pejabat beliau dalam satu kenyataan ringkas di laman media sosial berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

    Ini bagi tujuan pemantauan selama beberapa hari.

    Selain itu, kenyataan Pejabat Dr Mahathir itu turut menyebut bahawa tindakan itu dibuat berdasarkan nasihat pasukan keselamatan beliau.

    Berikut tangkap layar kenyataan itu.

  • GTA yakin mampu menang PRU-15 – Tun M

    GTA yakin mampu menang PRU-15 – Tun M

    GERAKAN Tanah Air (GTA) yakin mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang dengan sokongan daripada orang Melayu yang disifatkan semakin baik, sejak penubuhan gabungan tersebut pada awal Ogos lalu.

    Memetik laporan Astro Awani, Pengerusi Penajanya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu yang prihatin dan sayang kepada negara akan menyokong perjuangan GTA.

    GTA dibarisi empat parti tonggak iaitu Parti Pejuang Tanah Air, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

    Ketika pertemuan dengan kumpulan orang Melayu, Dr Mahathir berkata, mereka meluahkan kekecewaan terhadap situasi ketika ini termasuk penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin-pemimpin yang diberi tanggungjawab membina negara.

    “Perpecahan orang Melayu melemahkan orang Melayu. 70 peratus (orang Melayu) tidak bermakna kalau kita berpecah tetapi kalau kita (mahu) cantumkan 70 peratus ini, saya fikir sudah tidak mungkin, kerana ramai orang Melayu yang telah menyeleweng.

    “Demikianlah penyelewengan mereka sehingga yang benar dikatakan tidak, yang tidak benar dikatakan benar, dan ini sudah bertukar dalam kalangan orang Melayu.

    “Sebab itu (GTA) asingkan orang jenis ini, yang tidak malu, daripada pihak yang mengekalkan budaya, adat istiadat dan nilai-nilai orang Melayu seperti dahulu,” kata Dr Mahathir.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Nasional 2022 Parti Berjasa di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini.

    Himpunan itu yang turut dihadiri Presidennya Zamani Ibrahim, mengumpulkan pimpinan-pimpinan Berjasa dari seluruh negara dengan anggaran kehadiran seramai 2,000 orang.

    Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata, berbanding bangsa-bangsa lain, Melayu dilihat lebih mengutamakan tanah air dan menganggap ia sebagai warisan.

    Begitu pun, jelas Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, jika orang Melayu berpecah, ia akan melemahkan bangsa itu, sekali gus memberi ruang kepada ‘pencuri’ untuk terus mentadbir Malaysia.

    “Sebab itu kita yang sedar ini sanggup mengetepikan perjuangan masing-masing dan mengutamakan perjuangan untuk mendirikan tanah Melayu yang berwibawa, cekap, bersih dan beramanah.

    “Ini boleh dilakukan kerana sambutan terhadap GTA amat meluas dan setiap hari ramai bertanya serta menyertai gerakan ini,” ujar Dr Mahathir lagi.

    Tambahnya, niat GTA untuk mentadbir negara bukan semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri, sebaliknya percalonan untuk jawatan itu hanya akan dilakukan jika kemenangan berpihak kepada mereka kelak.

    Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.

    Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Zamani, Datuk Ibrahim Ali selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

  • Tun M akui tidak gembira Najib dipenjarakan, naikkan MP Pekan jadi PM

    Tun M akui tidak gembira Najib dipenjarakan, naikkan MP Pekan jadi PM

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui hukuman yang dihadapi anak didiknya, Datuk Seri Najib Razak bukan sesuatu yang menggembirakan.

    Ini kerana menurut ahli Parlimen Langkawi itu, beliau bertanggungjawab menaikkan ahli Parlimen Pekan itu sehingga beliau bergelar Perdana Menteri.

    Dalam wawancara bersama kepada Kyodo News, Dr Mahathir menjelaskan kemungkinan untuk Najib membuat kemunculan semula politik akan bergantung kepada potensi pengampunan diraja dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Katanya, beliau gembira dengan kerajaan sekarang, yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO, tidak mengganggu prosiding kehakiman.

    “Dengan berada di dalam penjara sekarang, karier politik Najib kelihatan malap, tetapi Dr Mahathir percaya beliau akan cuba membuat kemunculan semula.

    “Beliau akan cuba sekali lagi menjadi perdana menteri walaupun peluangnya tipis.

    “Jika UMNO menang dalam pilihan raya akan datang yang akan diadakan menjelang 2023, parti dan kerajaan akan merayu untuk pengampunan. Itu sudah pasti,” jelasnya memetik laporan Astro Awani.

    Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Najib bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

    Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan perlu membayar denda RM210 juta bermula Selasa setelah dihantar ke Penjara Kajang.

    Dr Mahathir mendakwa beliau mahu Najib, 69, anak kepada Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein, menggantikannya.

    Tun Abdul Razak dianggap individu yang memainkan peranan penting dalam memajukan kerjaya politik Mahathir sehingga menjadi perdana menteri keempat pada 1981.

    Najib menjadi perdana menteri pada 2009, disokong sepenuhnya oleh Mahathir sehingga dia terlibat dalam skandal 1MDB pada 2015.

    Mahathir berganding bahu dengan pembangkang untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, sekali lagi berkhidmat sebagai Perdana Menteri hingga Februari 2020.

  • Perbicaraan kes panjang: Tun M bimbang penjenayah rasuah terlepas hukuman

    Perbicaraan kes panjang: Tun M bimbang penjenayah rasuah terlepas hukuman

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangan berkaitan perbicaraan kes-kes rasuah yang mengambil masa yang panjang sekali gus menyebabkan banyak kes yang tertangguh.

    Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, kelewatan perbicaraan akan menyebabkan keadilan terabai sekali gus menyebabkan penjenayah terlepas daripada hukuman.

    Beliau mengambil contoh kes SRC melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil masa selama empat tahun.

    Jelasnya, terdapat banyak kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah melibatkan tokoh politik tertangguh dan tidak dihadap ke mahkamah.

    “Ada penjenayah yang meninggal dunia pun. Kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai.

    “Sekarang Najib dibicara berkenaan kes lain yang juga akan mengambil masa yang panjang, dan saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh.

    “Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan,” katanya sebagaimana lapor Astro Awani.

    Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, ketika ini terdapat banyak laporan dibuat berkenaan kes-kes rasuah yang serius dan belum dibicara.

    “Besar kemungkinan penjenayah akan terlepas dari dihukum kerana jenayah yang dilakukan oleh mereka.

    “Benarlah seperti pepatah Inggeris bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai.

    “Bagi Najib, besar kemungkinan ia akan diampun setelah dipenjara,” katanya.

  • GTA nafi pecah belah Melayu, tak bekerjasama dengan ‘penjenayah Melayu’

    GTA nafi pecah belah Melayu, tak bekerjasama dengan ‘penjenayah Melayu’

    GERAKAN Tanah Air (GTA) menafikan tuduhan bahawa penubuhan gagasan politik itu bakal memecah belahkan orang Melayu.

    Pengerusi penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun gerakan itu mengakui tidak boleh menyatukan semua orang Melayu, khususnya mereka yang terpalit dengan kes jenayah.

    Memetik laporan Astro Awani, bekas Perdana Menteri itu yakin GTA yang terdiri daripada empat parti tonggak itu mampu membawa perjuangan Melayu dan bangsa.

    Empat parti tonggak GTA iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

    “Tuduhan kita memecah-belahkan orang Melayu adalah tidak benar.

    “Kita akui kita tak boleh satukan orang Melayu yang ada tuduhan jenayah… curi duit. Itu tak ada (dalam GTA).

    “GTA hanya dianggotai oleh mereka yang tak terlibat dengan jenayah, mereka yang berjuang untuk bangsa Melayu, negara dan untuk agama Islam,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Kuala Lumpur hari ini.

    Mengulas lanjut, Pengerusi Pejuang itu berkata melalui penubuhan GTA, pertembungan sesama calon Melayu pada pilihan raya akan datang dapat dielak.

    Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, GTA akan menyokong mana-mana calon daripada empat parti tersebut yang dicalonkan dalam pilihan raya kelak.

    “Jadi sekarang ini kita berjaya mencantumkan parti-parti poltik Melayu yang biasanya berlawan sesama sendiri dan kali ini kita tidak berlawan sesama kita,” ujar Dr Mahathir.

    Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.

    Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim; Ibrahim selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.