Tag: Tumpat

  • Maritim Malaysia rampas rokok putih bernilai lebih RM1 juta

    Maritim Malaysia rampas rokok putih bernilai lebih RM1 juta

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup satu juta batang rokok putih bernilai lebih RM1 juta di Tumpat, Selasa lepas.

    Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata ia hasil kejayaan selepas bot peronda APMM mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak laju ke perairan muara Tumpat pada 3.30 pagi.

    “Bot peronda bertindak mengejar bot pancung sehingga memasuki perairan alur Sungai Padang Tambun.

    “Keadaan sungai yang cetek menyebabkan bot peronda terpaksa bergerak perlahan seterusnya meminta bantuan pasukan darat untuk mencari bot pancung di kawasan sekitar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.

    Syed Nor Adli berkata semasa melakukan pencarian, pasukan APMM menemukan dua lori di tebing Sungai Tambun pada 6.10 pagi dan dipercayai terdapat barangan seludup dipindahkan daripada bot yang dicari ke dalam dua lori tersebut.

    “Pemeriksaan pada lori pertama menemukan 70 bungkusan plastik hitam manakala 30 bungkusan plastik hitam di dalam lori kedua.

    “Kesemua 100 bungkusan tersebut mengandungi kira-kira satu juta batang rokok putih yang dianggar bernilai RM1.04 juta termasuk cukai. Dua lori itu dianggar bernilai RM55,000,” katanya dan menambah kes disiasat lanjut di bawah Akta Kastam 1967. – BERNAMA                       

  • Suami isteri ‘tokan’ dadah ditahan

    Suami isteri ‘tokan’ dadah ditahan

    CUBAAN sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah melarikan diri ketika serbuan polis gagal apabila berjaya ditahan di sebuah rumah di Taman Baiduri di Tumpat, semalam.

    Kedua-dua suspek berusia 41 dan 39 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 pagi dan hasil serbuan polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM14,330.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, bertindak atas maklumat dadah, sepasukan pegawai bersama anggota Narkotik Tumpat dan Balai Tumpat membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Baiduri di sini.

    Katanya, semasa serbuan seorang lelaki dan seorang wanita berada di ruang tamu dalam keadaan mencurigakan.

    “Mereka enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan

    “Hasil pemeriksaan menjumpai 13 biji pil kuda, 29 gram (g) heroin dan 14g ganja yang keseluruhan bernilai RM14,330,” katanya dalam
    satu kenyataan hari ini.

    Amran berkata, polis juga membuat sitaan wang tunai berjumlah RM9,837, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal
    jenis Honda Vario 150.

    “Turut dirampas ialah dua gelang tangan dan dua bentuk cincin keemasan dan perak serta sebentuk cincin warna keemasan.

    “Hasil ujian urin suspek lelaki dapati positif dadah jenis opiate dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes narkotik manakala wanita tersebut negatif dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Amran berkata, mereka ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 12(2), 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Kereta rempuh kedai runcit: Remaja maut, tiga lagi selamat

    Kereta rempuh kedai runcit: Remaja maut, tiga lagi selamat

    REMAJA lelaki maut manakala tiga lagi selamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh kedai runcit di Kampung Morak di Tumpat, awal pagi tadi.

    Dalam kejadian 1.30 pagi itu, remaja berkenaan yang juga penumpang kereta berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kerana tersepit.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah dalam satu kenyataan berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika Proton Saga itu yang dipandu remaja berusia 17 tahun dalam perjalanan dari Kampung Semat Jal menghala ke Kampung Kebakat.

    Katanya, kenderaan dipercayai hilang kawalan ketika pemandu menukar gear apabila menghampiri bonggol dan ia meluru laju hingga terbabas ke kiri jalan serta melanggar kedai runcit.

    “Akibatnya empat mangsa berusia 15 hingga 19 tahun tersepit dan saksi mendakwa sempat melihat seorang penumpang keluar dari kereta itu dan melarikan diri,” katanya, lapor Harian Metro.

    Amran berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat, manakala tiga yang cedera dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, pemilik kedai runcit yang enggan dikenali berkata, dia baru hendak tidur apabila terdengar bunyi kuat dari luar rumah.

    “Hati sudah terdetik mengatakan berlaku kemalangan, namun tidak menyangka ia membabitkan kedai runcit saya yang terletak di sebelah rumah.

    “Alangkah terkejut saya apabila melihat kereta merempuh sebahagian kedai dan terperosok masuk ke dalam,” katanya yang memberitahu segera menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian itu.

    Katanya, dia menganggarkan kerugian berjumlah RM80,000 akibat insiden itu kerana turut merosakkan mesin memproses santan, peti ais dan mesin air bertapis.