Tag: tumbuk

  • Juruteknik mengaku bersalah tumbuk adik

    Juruteknik mengaku bersalah tumbuk adik

    SEORANG juruteknik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan menumbuk muka dan lengan adik perempuannya minggu lepas.

    Majistret Syahrul Sazly Md Sain membenarkan Muhamad Farhan Mat Sahid, 31, diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Nov ini untuk menjatuhkan hukuman dan penyediaan fakta kes.

    Muhamad Farhan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nadiah Husna, 24, dengan menumbuk di muka dan kedua-dua lengan wanita itu di sebuah rumah di Taman Rakan di sini, 11 malam 13 Okt lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana bapanya mengalami strok dan ibunya baru dibenarkan keluar hospital. – BERNAMA

  • Lelaki tumbuk penguat kuasa MBJB tak puas hati barang disita

    Lelaki tumbuk penguat kuasa MBJB tak puas hati barang disita

    SEORANG pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) cedera dipukul pengurus sebuah premis semasa menjalankan operasi penyitaan sebuah kedai di Taman Pelangi di Johor Bahru, kelmarin.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 1.50 pagi melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang tidak berpuas hati dengan operasi dijalankan MBJB.

    Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka akibat ditumbuk, selain turut mengalami lebam di lutut kirinya.

    “Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan operasi sitaan barangan yang dijalankan MBJB kerana premis terbabit tidak mempunyai lesen beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Raub berkata, bertindak atas maklumat oleh mangsa, pengurus berkenaan berjaya ditahan polis di premis tersebut pada pukul 1.15 petang semalam.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Suspek akan dimohon untuk dikenakan reman bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya.

    Sehubungan itu ujar beliau, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi talian 07-2182323 atau 011-40678218 untuk membantu siasatan.