Tag: tukang gunting maut

  • Tukang gunting maut dalam nahas 3 kenderaan, kereta terputus dua

    Tukang gunting maut dalam nahas 3 kenderaan, kereta terputus dua

    SEORANG tukang gunting rambut meninggal dunia selepas kereta dipandu terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di kilometer 28 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Kuala Selangor, malam tadi.

    Kemalangan pada pukul 10 malam itu melibatkan kereta Proton Wira dipandu tukang gunting tersebut, Mohamad Zulkhairin Syazwan Abdullah, 22, yang beralamat di Kampung Bahagia Mersing dengan MPV Volkswagen Golf dan kereta Proton Wira.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, ketika kejadian kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari Bestari Jaya menuju ke Sungai Buloh bergesel dengan sebuah kereta Proton Wira di laluan sama.

    “Kejadian itu mengakibatkan kereta mangsa hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan konkrit di sebelah kanan dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh Volkswagen Golf.

    “Rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa terputus dua dan berpusing 50 meter dari tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Tukang gunting maut motosikal bergesel

    Tukang gunting maut motosikal bergesel

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG remaja yang bekerja sebagai tukang gunting rambut maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Kota Bahru-Kuala Terengganu, berhampiran Kampung Kubang Jela, Manir, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, mangsa, Khairino Fahmie Khairul Anuar Bashah, 25, meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

    Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Teluk Menara, Manir selepas selesai bekerja di kedai gunting rambut di Seberang Takir, Kuala Nerus.

    Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda Spacy yang ditunggangi mangsa dari arah Batu Enam, Kuala Nerus dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal dinaiki seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

    Difahamkan remaja itu yang menetap di Kampung Kubang Jela mahu melintas jalan untuk membuang sampah di kawasan tong sampah awam yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

    Ekoran kemalangan itu menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah motosikal Benelli RFS dinaiki seorang lelaki berusia 20-an.

    Khairino Fahmie disahkan meninggal di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa hanya mengalami cedera ringan.

    Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din yang dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.