Tag: Tuduhan rogol

  • Da’i Syed dilepas, bebas daripada tuduhan rogol

    Da’i Syed dilepas, bebas daripada tuduhan rogol

    PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini daripada tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun, hampir empat tahun lalu.

    Hakim, Rihaida Rafie, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed Shah Iqmal, 27, di akhir kes pendakwaan.

    Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam, kira-kira pukul 1.35 malam, pada 11 September 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April tahun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros.

    Sementara itu, Syed Shah Iqmal meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada keluarga, sahabat serta semua yang sentiasa menyokong dan mendoakannya.

    “Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, berkat 19 Ramadan ini, saya diputuskan tidak bersalah. Perkara ini saya terima sebagai hadiah untuk saya sekeluarga dalam membersihkan nama dan maruah diri,” katanya ketika dihubungi.

    Pada 31 Mei tahun lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.

    Syed Amirul ketika dihubungi Bernama mengesahkan anak guamnya kini bebas daripada sebarang pertuduhan di mahkamah. – BERNAMA

  • Paul Yong diarah bela diri atas tuduhan rogol pembantu rumah

    Paul Yong diarah bela diri atas tuduhan rogol pembantu rumah

    MAHKAMAH Tinggi Ipoh, hari ini memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong membela diri atas tuduhan merogol pembantu rumahnya, pada tahun 2019.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, lapor Astro Awani, hari ini.

    Sehubungan itu mahkamah menetapkan perbicaraan selama dua hari pada 15 dan 16 Februari 2022.

    Yong, 51 tahun, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

    Dia disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.