Tag: tsunami politik

  • Zahid dakwa politik wang faktor utama tsunami politik PRU-15

    Zahid dakwa politik wang faktor utama tsunami politik PRU-15

    POLITIK wang didakwa menjadi faktor utama ‘tsunami politik’ yang mengakibatkan kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), apabila gabungan itu hanya mampu memenangi 30 kerusi Parlimen.

    Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ‘kuasa beli luar biasa’ daripada parti lawan menyebabkan pengundi berubah sikap dan gagal menilai prestasi politik khidmat yang dilaksanakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sepanjang tempoh lima tahun lalu.

    Timbalan Perdana Menteri sehubungan itu menegaskan, amalan politik wang perlu dibanteras, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, tahun ini.

    “Daripada pemerhatian dilakukan, terutama apabila Ahli Parlimen atau ADUN menyantuni rakyat dengan memberi perkhidmatan sepanjang tempoh lima tahun… panas sepanjang lima tahun tetapi hujan tiga hari.

    “Khidmat selama lima tahun tetapi apabila ‘hujan’ terlalu lebat berderai-derai dengan kuasa beli yang berlebihan, tentunya ia mengubah sikap dan minda (rakyat) terhadap khidmat politik yang diberikan.

    “Ini gagal dilihat sebarang penganalisis politik. Ini faktor penolak utama yang menyebabkan kononnya berlaku tsunami politik.

    “Apabila faktor hadiah wang menjadi asas kepada sikap perubahan politik, maka ia harus dibanteras sepenuhnya sekurang-kurang untuk PRN di enam negeri dalam waktu terdekat ini, atau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) jika ada Ahli Parlimen atau ADUN yang ‘dipanggil lebih awal’ atau pada PRU16 akan datang,” dakwanya pada program bual bicara Naratif Khas yang disiarkan RTM1, malam tadi.

    Mengulas kerjasama antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan akan diteruskan pada PRN nanti, Presiden UMNO itu menyatakan hasrat untuk melihat kestabilan politik pada peringkat Persekutuan turut diwujudkan di negeri.

    Ahmad Zahid menjelaskan, kestabilan politik di seluruh negara adalah penting bagi mengelak rakyat diheret dalam pelaksanaan pilihan raya berulang kali sehingga menjejaskan kepercayaan mereka terhadap sistem dan ahli politik.

    “Pendirian BN yang ditunjangi UMNO ialah kita harus elakkan rakyat dibebani semula dengan proses pilihan raya.

    “Tentunya proses yang berjalan dalam dua tahun setengah yang lalu tidak harus diadakan semula.

    “Paling penting ialah bagaimana semua harus akui kestabilan politik yang wujud di Pusat, haruslah wujud di semua negeri,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Gelombang sokongan PN memuncak, tsunami tolak BN, PH bakal melanda: Muhyiddin

    Gelombang sokongan PN memuncak, tsunami tolak BN, PH bakal melanda: Muhyiddin

    GELOMBANG sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) semakin memuncak ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya berbaki sembilan hari lagi.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melihat sendiri gelombang penolakan itu kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) semasa berkempen di Kedah dan Perlis sejak dua hari lalu.

    Menurutnya, beliau menjangkakan negeri utara tanah air itu akan dapat ditawan dalam PRU-15 ini.

    “Saya jangka sekarang ni dah ada di Melaka pun ada gelombang walaupun masih sedikit… saya pergi ke Perlis, Kedah. Sokongannya hebat (apa lagi)dengan Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding atas tiket Perikatan Nasional.

    “Bila Shahidan bertanding atas tiket Perikatan Nasional di Parlimen Arau, porak-peranda UMNO dibuatnya. (Sebab itu) saya yakin Perlis akan jatuh ke tangan Perikatan Nasional,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Kelompok bersama penduduk Kampung Tengah, Kampung Naib Piee, Kampung Parit Buaya dan Kampung Aungai Terap, di Pagoh, malam ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berharap tsunami yang berlaku di Perlis akan terus melanda sehingga ke Johor.

    “Mudah-mudahan (gelombang besar) itu mampu menghanyutkan segala sampah-sarap amalan rasuah dan salah guna kuasa, agar Perikatan Nasional dapat membentuk kerajaan yang berintegriti.

    “Saya nampak rasa-rasa tumbang banyak kerusi kat sana (Perlis). Jadi untuk gelombang utara dia akan turun sampai ke Selatan… kita harap dan berdoa dalam tempoh dua tiga hari ini (gelombang) akan jadi terus membesar.

    “Sebagaimana pada 2018 berlaku tsunami dan kali ini tsunami yang lebih besar untuk menghumbankan UMNO (BN) dan PH ke Laut China Selatan.

    “Moga misi dan visi kita untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil (#PNBEST) tercapai,” katanya lagi.

    Sehubungan itu, Muhyiddin menggesa pengundi supaya beramai-ramai keluar mengundi memilih Perikatan Nasional kerana peratusan undi yang rendah menyebabkan BN berpeluang menang.