Tag: trend

  • Covid-19:Trend kematian kanak-kanak membimbangkan, 67 kes setakat semalam

    Covid-19:Trend kematian kanak-kanak membimbangkan, 67 kes setakat semalam

    TREND peningkatan kematian Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di negara ini adalah membimbangkan apabila sebanyak 67 kematian dilaporkan tahun ini berbanding enam kematian tahun lalu.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka kematian yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah bagi kanak-kanak yang berumur antara 0 hingga 18 tahun bermula Januari sehingga semalam.

    Menurutnya, statistik juga menunjukkan trend peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak (0-18 tahun) di Malaysia adalah membimbangkan.

    “Oleh itu, KKM menyasarkan supaya 60 peratus daripada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang bulan November 2021 manakala 80 peratus daripada mereka yang layak divaksinasi mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

    “Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sudah memberi kelulusan bersyarat kepada semua kanak-kanak remaja yang telah mencapai umur 12 tahun dan ke atas untuk divaksinasi.

    “Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan mendaftarkan anak-anak mereka yang layak menerusi institusi pendidikan masing-masing dan melalui aplikasi MySejahtera dengan kadar yang segera.

    “Institusi-institusi pendidikan, perlindungan, pemulihan dan tahanan dikehendaki mendaftar institusi masing-masing melalui portal vaksinanakku.herokuapp.com bagi membolehkan penjadualan vaksinasi dibuat untuk kanak-kanak yang berada di institusi masing-masing oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya di Facebook hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, seperti ubat-ubatan lain, vaksin Covid-19 juga mempunyai kesan sampingan yang pada kebiasaannya adalah ringan dan pulih dalam masa yang singkat.

    Bagaimanapun katanya, KKM ingin menegaskan bahawa faedah mengambil vaksin Covid-19 ini adalah jauh lebih bermanfaat berbanding kemudaratan akibat jangkitan Covid-19 itu.

    “Ibu bapa perlu mengawasi gejala-gejala awal seperti sakit dada, kesukaran bernafas, dan jantung berdegup laju selepas anak menerima vaksin untuk segera mendapatkan penilaian kesihatan dan rawatan.

    “Pengawasan perlu dilakukan supaya kanak-kanak tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh seminggu selepas vaksinasi.

    “Sekiranya ibu bapa dan penjaga terdapat sebarang pertanyaan tentang program vaksin Covid-19 ini, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan kanak-kanak atau pegawai perubatan yang bertauliah bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

    Terdahulu, program ‘Kick-Off’ PICK Remaja dimulakan hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) sebagai persediaan menjelang pembukaan sekolah.

  • Covid-19 tunjuk trend penurunan, 19,268 jangkitan baharu

    Covid-19 tunjuk trend penurunan, 19,268 jangkitan baharu

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia menunjukkan tred penurunan apabila mencatatkan sebanyak 19,268 kes berbanding 20,597 jangkitan yang direkodkan semalam dan 22,597 kes kelmarin.

    Kes baharu itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,725,357 kes.

    Malah ini kali pertama angka jangkitan Covid-19 turun di bawah paras 20,000 kes selepas enam hari.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor yang mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi seluruh negara bagaimanapun menunjukkan trend penurun ketara apabila mencatatkan sebanyak 3,567 kes baharu berbanding 4,591 kes semalam dan 5,814 kes kelmarin.

    Sabah pula kekal di kedudukan kedua dengan 2,310 kes diikuti Johor dengan 2,265 kes manakala Kedah 2,084 kes dan Sarawak 2,028 kes.

    Tiga lagi negeri mencatatkan lebih seribu kes iaitu Pulau Pinang (1,780 kes), Kelantan (1,308 kes) dan Perak (1,144 kes).

    Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu dua jangkitan diikuti Putrajaya (41 kes) dan Perlis (71 kes).

  • Kes baharu Covid naik lagi ke 20,837 kes

    Kes baharu Covid naik lagi ke 20,837 kes

    BARU dua hari jangkitan Covid-19 menunjukkan trend penurunan, kes baharu mengikut negeri kembali meningkat kepada 20,837 kes berbanding 17,672 kes semalam.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,593,602 kes.

    Sabah menunjukkan peningkatan kes paling ketara apabila mencatatkan sebanyak 3,376 kes berbanding 2,474 kes semalam, angka yang semakin menghampiri Selangor yang merekodkan hanya 4,645 kes hari ini.

    Pulau Pinang turut mencatatkan peningkatan jangkitan Covid-19 dengan 2,054 kes untuk berada di tempat ketiga diikuti Kedah (1,772 kes; Johor (1,743 kes); Sarawak (1,543 kes); Kelantan (1,422 kes); Kuala Lumpur (1,284 kes) dan Perak (1,242 kes).

    Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing terus konsisten merekodkan tiga digit kes positif sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu empat jangkitan diikuti Putrajaya (27 kes) dan Perlis (74 kes).

  • 17,672 kes baharu Covid-19, Lembah Klang catat penurunan ketara

    17,672 kes baharu Covid-19, Lembah Klang catat penurunan ketara

    KES baharu Covid-19 menunjukkan trend penurunan buat dua hari berturut-turut apabila mencatatkan sebanyak 17,672 jangkitan hari ini berbanding 19,807 kes semalam.

    Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,572,765 kes.

    Walaupun masih dianggap tinggi, namun perkembangan positif mula kelihatan di negeri Lembah Klang apabila kawasan yang dianggap pusat utama jangkitan menunjukkan penurunan ketara.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor mencatatkan hanya 4,316 kes hari ini berbanding 5,379 kes semalam diikuti Kuala Lumpur dengan 891 kes berbanding 999 kes kelmarin.

    Bilangan kes di Putrajaya pula kekal pada angka dua digit sahaja.

    Penurunan kes itu dipercayai disumbang oleh kadar pemberian vaksin di Lembah Klang yang ketika ini peratusan populasi dewasa yang mendapat dos pertama vaksin ialah sebanyak 108.2 peratus manakala populasi dewasa yang lengkap divaksin sebanyak 83.8 peratus.

    Perkembangan terbaharu ini berbeza dengan jumlah kes minggu lalu yang mana jangkitan harian merekodkan lebih 20,000 kes buat empat hari berturut-turut.

    Sabah kekal berada di tempat kedua di belakang Selangor apabila mencatatkan sebanyak 2,474 kes diikuti Kedah (1602 kes; Sarawak (1,538 kes); Pulau Pinang (1,451 kes) Johor (1,367 kes) dan Kelantan (1,176 kes).

    Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing hanya merekodkan tiga digit kes positif sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu tujuh jangkitan diikuti Putrajaya (24 kes) dan Perlis (57 kes).