Tag: Toyota Vellfire

  • 2 beranak terselamat MPV hangus di PLUS

    2 beranak terselamat MPV hangus di PLUS

    DUA beranak iaitu seorang ibu dan anak perempuannya berdepan detik cemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki mereka terbakar dan hangus sepenuhnya dalam kejadian di Bukit Minyak, Pulau Pinang petang ini.

    Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu yang berlaku di Kilometer (KM) 134 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Permatang Pauh, Perai kira-kira pukul 2.55 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Jelasnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vellfire dengan peratusan kemusnahan kebakaran dianggarkan 90 peratus.

    “Terdapat dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Si ibu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun anaknya cedera ringan melecur di bahagian kaki dan mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelas beliau, pihaknya mengambil tindakan melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman yang mana kebakaran dapat berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 3.31 petang.

    “Kerja-kerja ‘overhaul’ pula telah selesai dijalankan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.39 petang,” katanya.

  • Vellfire ‘tin sardin’, seludup 25 PATI dari Rantau Panjang ke KL

    Vellfire ‘tin sardin’, seludup 25 PATI dari Rantau Panjang ke KL

    HASRAT 25 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk enam wanita mencari pekerjaan di ibu negara tidak kesampaian apabila kenderaan dinaiki mereka ditahan polis dalam kejadian tengah hari semalam di Jalan Selinsing Kuala Lumpur.

    Dalam kejadian itu, pemandu kenderaan berusia 17 tahun berjaya ditahan manakala penumpang hadapan berjaya melarikan diri semasa kenderaan itu terbabit kemalangan.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah hari ketika polis sedang membuat rondaan di sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dan mendapati sebuah Toyota Vellfire warna Hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan.

    Katanya, semasa menghampiri kenderaan itu, pemandu nya bertindak memecut laju dan enggan menghentikan kereta tersebut memaksa polis mengejarnya.

    Beliau berkata, sampai di Jalan Selinsing, ia telah melanggar empat motosikal termasuk ditunggang seorang anggota polis yang sedang bertugas sehingga menyebabkan ianya terbabas.

    “Hasil siasatan mendapati pemandu motokar tersebut merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 17 tahun manakala di bahagian tempat duduk belakang terdapat 19 orang lelaki dan enam orang perempuan warga asing lingkungan 15 tahun hingga 39 tahun.

    “Semakan identiti kesemua penumpang mendapati kesemuanya adalah pendatang asing tanpa izin dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, suspek dan seorang lagi rakannya yang melarikan diri bertolak dari Rantau Panjang menuju ke Kuala Lumpur pada pagi Selasa pukul 3 pagi untuk menghantar kesemua warga asing mencari pekerjaan.

    Menurutnya, bayaran yang dikenakan kepada setiap individu PATI oleh penghantar atau tekong
    adalah sebanyak RM6,000.

    “Kesemua suspek direman bermula hari ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat dibawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun keseksaan,” katanya.