Tag: Tosrin Jarvanthi

  • Mesyuarat Exco Johor tak bincang isu PRN – Tosrin

    Mesyuarat Exco Johor tak bincang isu PRN – Tosrin

    AHLI Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang bermesyuarat hari ini tidak membincangkan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi.

    “Tiada apa-apa yang luar biasa dan mesyuarat hari ini berjalan seperti biasa. Kita membincangkan tentang kertas-kertas kerajaan, tiada perkara lain.

    “Langsung tiada perbincangan (mengenai PRN Johor),” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan di Kota Iskandar, hari ini.

    Sementara itu, Tosrin yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kulai berkata, pihaknya masih belum mendapat tarikh berhubung mesyuarat parti berkenaan di peringkat negeri.

    “Berhubung mesyuarat berkenaan, kita akan tunggu (makluman) daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu), buat masa ini belum dapat tahu lagi,” katanya.

    Khabar angin mengenai PRN Johor mula tersebar susulan kerajaan negeri hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lepas,

    Semalam, blok pembangkang menawarkan Komitmen Kestabilan kepada kerajaan negeri dan menolak PRN Johor. – BERNAMA

  • ‘Kluster korban’ tidak direkod di Johor sempena Aidiladha

    ‘Kluster korban’ tidak direkod di Johor sempena Aidiladha

    Oleh RAHIMI MOHAMMAD

    KLUSTER Covid-19 melibatkan pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai lalu tidak direkodkan di Johor sekali gus menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

    Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

    Menurut beliau, sebanyak 164 pusat sembelihan dibenarkan beroperasi di Johor pada perayaan itu bagi memudahkan aktiviti korban diadakan.

    “Walaupun dalam keadaan sukar akibat pandemik Covid-19, ibadah korban tetap dapat dilaksanakan dengan sejumlah 6,037 ekor lembu telah disembelih.

    “Pelaksanaan ibadah korban tahun ini meliputi proses sembelihan, melapah, memotong daging dan membungkus sebelum diedarkan terus kepada mereka yang telah ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan Najib Lep (Pas-Bukit Pasir) berhubung SOP ibadah korban dan kesan penguatkuasaan SOP itu.

    Malah, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, pihaknya juga telah melawat beberapa pusat sembelihan di seluruh negeri bagi memastikan pelaksanaan dibuat mengikut SOP ditetapkan.

    “Pelaksanaan ibadah korban tahun ini dibuat dalam keadaan terkawal kerana keutamaan kita bukan sekadar keuntungan semata-mata tetapi ia meliputi nyawa manusia yang tidak boleh dipertaruhkan.

    “Adalah disyorkan supaya penternak dalam tempoh wabak ini tidak hanya menumpu jualan semasa ibadah korban sahaja, tetapi perlu kreatif melihat kepada pasaran tempatan yang keperluannya masih tinggi, bahkan terpaksa ditampung oleh daging import,” tambahnya.