Tag: Top Glove

  • PM ditanya adakah Top Glove diarah bantu penoreh getah seperti Syed Mokhtar

    PM ditanya adakah Top Glove diarah bantu penoreh getah seperti Syed Mokhtar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ditanya sama ada beliau mengarahkan syarikat seperti Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) untuk berkongsi keuntungan dengan golongan penoreh getah setelah membuat keuntungan besar hasil peningkatan permintaan untuk sarung tangan dan produk lain dibuat daripada getah semasa pandemik Covid-19.

    Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) bertanya demikian selepas tindakan Anwar mengarahkan taikun Melayu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary untuk berkongsi keuntungan syarikat Bernas kepada golongan pesawah.

    Anwar bagaimanapun tidak menjawab soalan itu secara langsung.

    “Setakat ini ada senarai 60 syarikat gergasi termasuk multinasional yang perlu menampung pembiayaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

    “Mereka mengambil alih sebahagian dan bantu selenggara, melatih (pelajar) dengan kos syarikat.

    “Ia termasuk Sunway, Berjaya, Tenaga, Telekom dan syarikat berkaitan kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab di Parlimen, lapor MalaysiaNow.

    Menurut Anwar, Kumpulan Albukhary juga menawarkan untuk membantu sebuah institusi TVET di Pekan, Pahang.

    Beliau berkata, ia merupakan pendekatan kerajaan untuk meminta syarikat-syarikat membantu secara langsung rakyat miskin.

    Ahli Parlimen Tambun itu semasa tempoh awal pentadbirannya menyasarkan syarikat Bernas milik Syed Mokhtar dengan meminta Bernas membayar sejumlah RM60 juta kepada pesawah di seluruh negara.

    Manakala Top Glove mencatatkan keuntungan RM7.98 bilion pada 2021, meningkat 346% berbanding tahun sebelumnya.

    Syarikat pengeluar sarung tangan itu menyaksikan keuntungan sedemikian rupa kerana permintaan sarung tangan yang kukuh yang didorong oleh pandemik Covid-19.

    Beberapa pihak pernah mencadangkan agar cukai durian runtuh dikenakan kepada syarikat itu dan beberapa syarikat lain.

    Dalam pada itu, Anwar berkata kuasa untuk memberikan pengecualian cukai bukan di bawah Kementerian Kewangan atau perdana menteri, tetapi ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.

  • ‘Alangkah baik jika Top Glove kongsi keuntungan dengan penoreh’ – Tuan Ibrahim

    ‘Alangkah baik jika Top Glove kongsi keuntungan dengan penoreh’ – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN – Kubang Kerian) menggesa pengeluar sarung tangan, Top Glove berkongsi keuntungan dengan penoreh getah bagi membantu meringankan beban mereka.

    Kata Timbalan Presiden Pas itu, Top Glove mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit ketika gelombang Covid-19 dengan membekalkan sarung tangan ke seluruh dunia.

    Justeru katanya, Top Glove sewajarnya mencontohi Padibernas Nasional Berhad (Bernas) yang berkongsi keuntungan dengan pesawah.

    “Alangkah baik jika syarikat lain seperti Top Glove, yang mengaut untung jutaan ringgit membekalkan sarung tangan ke seluruh dunia semasa Covid turut menyumbang kepada penoreh getah yang berdepan masalah kos dan harga getah tak stabil dan tidak mampan,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian semasa berucap membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

    Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, walaupun kerajaan menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 sen kepada RM2.70 sen sekilogram, namun langkah itu tidak memadai dalam membantu penoreh getah yang berdepan kesulitan.

    “Hari ini penoreh getah berdepan dengan masalah penyakit (pokok getah) yang melanda seluruh negara, sebelum ini dengan (tanaman) pisang. Sampai sekarang kerajaan tak ada penyelesaian kepada penyakit yang melanda penanam pisang.

    “Getah meluruh tiga kali setahun, menyebabkan susu tak keluar hasil dan penoreh getah berdepan dengan masalah serius,” katanya.

    Tuan Ibrahim sementara itu meminta kerajaan mengenal pasti keluasan tanaman getah yang dijangkiti penyakit dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi perkara itu.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 baru-baru ini mengumumkan Bernas bersetuju berkongsi keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus daripada keuntungan bersihnya kepada pesawah.

    Anwar,yang juga menteri kewangan, berkata ia adalah tambahan kepada sumbangan RM60 juta yang akan terus disalurkan Bernas.