Tag: tong gas

  • Treler bawa lebih 500 tong gas terbalik

    Treler bawa lebih 500 tong gas terbalik

    SEBUAH treler membawa lebih 500 muatan tong gas kosong terbalik di Kilometer 17, Jalan Bahau-Rompin, dekat Jempol, 12.25 tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kejadian berlaku semasa pemandu treler itu dalam perjalanan dari Bahau menghala ke depoh Melaka untuk pengambilan gas.

    Katanya pemandu berusia 45 tahun itu tersepit di bahagian depan kenderaannya dan tong-tong gas bertaburan di atas jalan.

    “Siasatan awal mendapati pemandu tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga memasuki laluan bertentangan dan terus melanggar tebing jalan lalu terbalik dan melintang di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Hoo berkata mangsa, yang dipercayai patah tangan kanan dan kaki kanan, dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BERNAMA

  • Mangsa banjir perlu bantuan kewangan, dapur, tong gas

    Mangsa banjir perlu bantuan kewangan, dapur, tong gas

    MANGSA banjir yang terjejas di Hulu Langat memerlukan bantuan kewangan, peralatan dapur dan tong gas.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya difahamkan mangsa banjir telah terima banyak bantuan asas yang lain.

    Justeru beliau menyarankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan tersebut bagi meringankan beban mangsa banjir.

    Selain itu katanya, pihaknya menjangkakan proses operasi pasca banjir di kawasan berkenaan mengambil masa kira-kira sebulan.

    “Saya difahamkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan kerja pembersihan di kawasan yang dilanda banjir selesai dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Banjir, Hulu Langat, hari ini.

    Mohd Zaid berkata, seramai 18 pegawai dan 382 anggota dari Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Bukit Aman dan Pasukan Polis Marin membantu dalam operasi pasca banjir.

    “Selain itu, kita turut menerima bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Serdang, Ampang Jaya dan Petaling Jaya,” katanya.

    Setakat ini katanya, hanya empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif.

    “Kita turut meletakkan anggota polis di empat PPS itu sebagai kawalan keselamatan serta mengambil laporan daripada mangsa banjir secara manual.

    “Seramai 5,729 mangsa banjir dicatatkan di kawasan ini. Setakat ini, kita telah menerima sebanyak 3,920 laporan daripada mangsa banjir,” katanya.

    Pihaknya turut menyediakan balai polis bergerak yang ditempatkan di Dewan Sungai Lui, Hulu Langat.

    “Kita juga ada pasukan ronda cegah jenayah untuk mengelak kejadian jenayah seperti pecah rumah, kedai atau curi kenderaan,” katanya.

    Menurut Mohd. Zaid, pihaknya turut berhadapan dengan cabaran untuk mengawal aliran trafik yang sesak di kawasan Hulu Langat.

    “Ia kerana terlalu banyak NGO yang masuk ke kawasan ini untuk menyalurkan bantuan. Kita tidak menghalang mereka menyalurkannya bantuan,” katanya.

    Mohd Zaid. turut menyarankan orang ramai atau NGO melalui Sungai Lalang, Semenyih untuk masuk ke kawasan Hulu Langat bagi memudahkan mereka memberi bantuan kepada mangsa banjir.