Tag: tolak

  • Ali Puteh gagal rayuan ketepikan saman kakak ipar

    Ali Puteh gagal rayuan ketepikan saman kakak ipar

    PELAWAK Ali Puteh hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung ganti rugi RM60,000 yang perlu dibayar kepada kakak iparnya Siti Nor Hidayah Mohd Ali kerana memfitnahnya di media sosial, dua tahun lepas.

    Peguam Noorazmir Zakaria, yang mewakili Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak rayuan pelawak tersebut dengan kos RM5,000.

    Selain itu, Ahmad Shahrir turut menolak rayuan Siti Nor Hidayah yang merupakan isteri kepada Allahyarham Abam Bocey untuk menaikkan jumlah ganti rugi RM60,000 yang diiperintahkan oleh Mahkamah Sesyen dengan kos RM5,000.

    “Rayuan Syed Ali dan tiga ahli keluarganya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak saman fitnah mereka terhadap usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah turut ditolak dengan kos sama (RM5,000),” kata peguam itu ketika dihubungi selepas prosiding yang berlangsung secara dalam talian, hari ini.

    Sementara itu, Noorazmir berkata beliau belum mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya sama ada untuk merayu terhadap keputusan hari ini.

    Pada 18 Feb lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman Siti Nor Hidayah, 30, selepas berpendapat hantaran Syed Ali dalam akaun Instagramnya pada 10 Feb 2020 menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya.

    Mengenai penglibatan Aliff Syukri, hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa usahawan itu tiada niat jahat untuk berkonspirasi bersama isteri arwah memfitnah kesemua plaintif dan mahkamah juga mendapati Aliff Syukri membuat temu bual kerana ingin membantu isteri arwah.

    Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah menyaman Syed Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu menerusi akaun Instagramnya antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka suaminya.

    Syed Ali dan tiga ahli keluarganya juga menfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mereka dengan menerbitkan dan memuat naik satu video temu bual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu. – BERNAMA

  • Yusoff Rawther fail rayuan kes serangan seksual kaitkan Anwar

    Yusoff Rawther fail rayuan kes serangan seksual kaitkan Anwar

    BEKAS Pembantu Penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas Presiden PKR itu.

    Peguam Mahajoth Singh, yang mewakili Muhammed Yusoff berkata pihaknya telah memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 28 Sept.

    “Kes ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) pada 27 Dis ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Muhammed Yusoff memfailkan notis rayuan itu berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee yang menolak permohonannya pada 9 Sept lepas.

    Permohonan itu adalah berhubung saman dikemukakan Muhammed Yusoff pada 14 Julai 2021 mengenai dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman ahli politik tersebut empat tahun lepas.

    Anwar selaku defendan kemudian memfailkan saman balas terhadap saman dikemukakan Muhammed Yusoff.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff selaku plaintif mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh Setiausaha Sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.

    Muhammed Yusoff, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019, berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Dis 2019

    Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

    Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin yang menyokong Anwar serta orang awam.- BERNAMA

  • Anak pelakon tolak vaksin

    Anak pelakon tolak vaksin

    BIMBANG perkara buruk menimpa mereka selepas divaksin, dua remaja lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan di Selangor membuat laporan polis bagi menyatakan hak mereka menolak suntikan vaksin Covid-19 yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap pelajar.

    Seorang pelajar, Azrell Omar Azri Iskandar, 17, berkata, dia berhak menolak daripada menjadi bahan eksperimen dengan dicucuk vaksin selepas dimaklumkan tiada pihak yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku implikasi akibat pengambilan vaksin.

    “Apa yang berlaku terhadap saya selepas menerima vaksin, semuanya atas tanggungan saya sendiri.

    “Saya pelajar yang sihat tubuh badan dan tidak sanggup mengambil sebarang risiko yang boleh mendatangkan mudarat terhadap tubuh badan saya melalui suntikan vaksin ini yang masih lagi di tahap ujian klinikal.

    “Saya tak sanggup mempertaruhkan nyawa saya untuk ujian klinikal ini kerana ada pelbagai kaedah mencegah Covid-19 iaitu melalui cara perubatan homeopati holistik, makanan sunnah yang keluarga saya amalkan bagi mencegah penularan Covid-19,” katanya hari ini.

    Terdahulu Azrell Omar membuat laporan polis bersama adik perempuannya, Nur Azreen Omar Iskandar Azri Iskandar, 12, dan rakannya Muhammad Hanif Haikal Jeffery, 17, di Balai Polis Taman Melawati.

    Selain itu, Azrell Omar serta adiknya ditemani ibu mereka yang juga pelakon, Ellie Suriaty Omar.

    Kata pelajar itu, dia ada menerima borang daripada gurunya untuk mendapatkan vaksin dua minggu lalu.

    “Dalam borang berkenaan, kami (pelajar) diberitahu bahawa tiada siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku implikasi akibat pengambilan vaksin.

    “Setakat ini, mereka tidak memaklumkan ada tindakan lanjut akan dikenakan sekiranya tidak mengambil vaksin,” katanya yang memaklumkan semua ahli keluarganya belum mengambil vaksin sehingga kini.

    Mengulas lanjut Azrell Omar berkata, tiada mana-mana individu memaksanya membuat laporan itu yang dibuat atas kewarasan sendiri selepas menilai maklumat diperolehinya.

    Ujarnya, dia mengambil semua maklumat berkaitan vaksin dan Covid-19 daripada Internet termasuk membaca berita dari luar negara selain maklumat daripada ibunya, ahli keluarga serta kenalan.

    “Dari situ saya menilai sendiri maklumat diperoleh dan membuat keputusan untuk menolak disuntik vaksin,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat individu berkenaan.