Tag: tol

  • Tol percuma, diskaun hingga 50 peratus sempena Aidilfitri

    Tol percuma, diskaun hingga 50 peratus sempena Aidilfitri

    KERAJAAN bersetuju memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pemberian tol percuma itu adalah pada Sabtu dan Ahad ini, serta 7 dan 8 Mei depan untuk perjalanan pulang semula ke kediaman masing-masing.

    Beliau berkata, pemberian tol percuma itu melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menghubungkan jaringan Lebuhraya Utara-Selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

    “Pemberian tol percuma itu akan bermula pada 12 tengah malam pada 30 April sehingga 11.59 malam pada 1 Mei kepada semua kelas kenderaan manakala untuk perjalanan pada 7 Mei, ia bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 8 Mei,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, selain itu, tawaran diskaun tol antara 30 dan 50 peratus juga akan diberikan kepada lebuh raya yang lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

    Perdana Menteri berkata, langkah berkenaan diambil, selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya diadakan.

    Beliau berkata secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati pengguna adalah sebanyak RM77.11 juta.

    “Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi,” katanya.

    Tol percuma melibatkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA), Jambatan Pulau Pinang (JPP), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 serta Lebuhraya KL-Karak (KLK).

    Lebuh raya menawarkan diskaun 50 peratus pula adalah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH), Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

    Sementara, lebuh raya yang menawarkan diskaun 30 peratus adalah Projek Pengurusan Air Banjir Dan Terowong (SMART), Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).

    Turut menawarkan diskaun 30 peratus adalah Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK), Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (JPP2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL- Barat (SPRINT), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (GRAND SEPADU), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

    Ismail Sabri dalam pada itu berharap, pemberian tol percuma dan diskaun tol tersebut akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

    “Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan berpendapatan rendah.

    “Pada masa sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya,” katanya. – BERNAMA

  • Kadar tol 4 konsesi kekal hingga tamat tempoh – Ismail Sabri

    Kadar tol 4 konsesi kekal hingga tamat tempoh – Ismail Sabri

    KADAR tol melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya sekitar Lembah Klang tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi melalui langkah penstrukturan semula syarikat berkenaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, penstrukturan itu dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

    “Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol sepertimana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

    “Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat setelah penelitian terperinci dilakukan meliputi semua aspek iaitu bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan kerajaan.

    Ismail Sabri, memaklumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula melibatkan Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).

    Selain itu, ia juga melibatkan syarikat Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

    Ismail Sabri berkata, penstrukturan itu juga dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Jan 2022 sehingga tamat tempoh konsesi serta penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol yang dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

    Katanya, perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula itu akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – BERNAMA

  • Tol percuma 7 hari di ICQS Johor mulai 1 April

    Tol percuma 7 hari di ICQS Johor mulai 1 April

    KERAJAAN bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula Jumaat ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian itu membabitkan plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua) di Johor.

    “Ia adalah selaras dengan pendekatan untuk memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura. Pengecualian ini adalah untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch and Go’ dan ‘Smart Tag’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, keputusan memberikan pengecualian bayaran tol melibatkan perjalanan masuk dan keluar menerusi kedua-dua plaza itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas berikutan pembukaan sempadan laluan darat yang ditutup sejak dua tahun lepas akibat pandemik COVID-19.

    “Pengecualian ini adalah tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, sempena pembukaan semula sempadan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Linkedua setiap hari.

    “Keputusan pelepasan tol ini akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi pemilik-pemilik kenderaan,” katanya.

    Perdana Menteri berkata, bagi memastikan perjalanan lancar, PLUS dengan kerjasama kerajaan negeri Johor serta kementerian dan agensi berkaitan juga giat melakukan persiapan akhir termasuk persiapan di plaza-plaza tol, kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di lebuh raya PLUS.

    “Kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia dengan pembukaan semula sempadan negara ini,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, bermula 1 April juga, semua pengembara yang lengkap vaksinasi dibenar merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan. – BERNAMA