Tag: tokoh

  • Tengku Maimun dedah pernah terima ancaman bunuh semasa kendalikan kes

    Tengku Maimun dedah pernah terima ancaman bunuh semasa kendalikan kes

    KETUA Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan bahawa beliau pernah mendapat ancaman bunuh semasa mengendalikan kes-kes membabitkan tokoh-tokoh dan personaliti tertentu.

    Beliau berkata kebiasaannya dalam setiap kes mahkamah yang diputuskan, akan ada pihak yang berpuas hati dan sebaliknya.

    “Itu lazim…yang menjadi luar biasa dalam kes-kes melibatkan tokoh atau personaliti tertentu, sokongan atau kecaman agak luar biasa kerana umum mengetahui saya sendiri pun pernah mendapat ancaman bunuh.

    “Serius atau tidak, itu soal lain tapi ia mencapai tahap begitu sekali,” katanya ketika sidang media pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

    Tengku Maimun berkata berdasarkan pemerhatiannya apabila sesuatu kes melibatkan tokoh-tokoh tertentu, komen-komen yang ditujukan terhadap badan kehakiman agak keterlaluan, berat sebelah dan berbaur politik, bukannya komen yang membina.

    Sementara itu Tengku Maimun berkata setiap kes yang diputuskan oleh mahkamah tidak mempunyai sebarang agenda, sebaliknya ia berdasarkan undang-udang dan selaras dengan peruntukan sedia ada. 

    “Saya mengharapkan masyarakat di luar sana memahami struktur proses undang-undang di negara ini sebelum mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menunjukkan ketidakfahaman.

    “Jadi fahami dulu, kemudian jika masih tidak faham bertanyalah kepada orang-orang yang faham dan jangan membuat kenyataan-kenyataan yang keterlaluan,” katanya.

    Tahun lepas media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun di media sosial dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalah guna platform media sosial untuk mengancam keselamatan. – BERNAMA

  • PN namakan bekas menteri, tokoh dikenali calon Speaker dan timbalan

    PN namakan bekas menteri, tokoh dikenali calon Speaker dan timbalan

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah menghantar dua nama untuk dicalonkan sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, nama berkenaan sudah dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat semalam.

    Memetik laporan Berita Harian, ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata seorang daripada calon adalah bekas menteri dan tokoh dikenali. Kedua-dua mereka daripada PN.

    Sesi pertama Parlimen ke-15 akan berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini. Antara agenda mesyuarat adalah pemilihan Speaker dan timbalannya, angkat sumpah wakil rakyat serta usul Undi Percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata semalam adalah hari terakhir bagi pemakluman dan pemberian notis berhubung pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat, sebelum persidangan Parlimen berlangsung 19 Disember ini.

    Azhar perlu mengosongkan jawatannya itu mulai jam 12 tengah malam pada 18 Disember ini, seperti termaktub mengikut Perlembagaan.

    Azhar yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke-10, menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada 13 Julai 2020.

    Pertukaran itu berlaku berikutan perubahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan diganti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pemilihan Azhar dibuat berikutan hanya seorang calon dikemukakan bagi jawatan itu selepas usul mengenainya dikemukakan Muhyiddin.

    Bekas Perdana Menteri itu turut memastikan Azhar bersetuju berkhidmat jika dipilih berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

    Khidmat Azhar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dikekalkan walaupun berlaku perubahan pentadbiran lagi apabila Muhyiddin hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan diganti oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

    Sebelum ini, Mohamad Ariff yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan, dilantik mengisi jawatan sama ketika era pentadbiran Pakatan Harapan yang menerajui pentadbiran negara selama 22 bulan, mulai 2018.

  • Ismail Sabri TPM paling cepat dilantik PM

    Ismail Sabri TPM paling cepat dilantik PM

    TIDAK sampai dua bulan mengisi jawatan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar sebagai pemimpin nombor satu negara.

    Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

    Ia berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Bersatu.

    Ismail Sabri, 61, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya (UM) itu dilihat layak menyandang jawatan berkenaan dengan kualiti kepimpinan dan pengalaman luas yang dimilikinya selama bergelar ahli politik dan pentadbiran kerajaan.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menganggotai barisan Jemaah Menteri sejak 2008 sehingga 2018, sebelum kembali semula pada Mac tahun lepas, selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Ismail Sabri diberi kepercayaan untuk memegang portfolio Menteri Pertahanan selain diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) bagi menangani aspek bukan kesihatan situasi COVID-19 negara.

    Sepanjang lebih setahun menjalankan amanah tersebut, Ismail Sabri disifatkan tegas serta cukup prihatin dengan permasalahan rakyat selama pandemik melanda negara.

    Ia dibuktikan dengan memajukan isu-isu rakyat tersebut ke dalam Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan perdana menteri seterusnya membuat keputusan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

    Ismail Sabri dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 7 Julai lepas dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

    Sebelum ini, Ismail Sabri pernah memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan pada Mac 2008 hingga April 2009, sebelum beralih kepada tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada April 2009.

    Pada Mei 2013 hingga Julai 2015, beliau dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum berlakunya rombakan Kabinet yang menyaksikan beliau kemudiannya memegang tugas sebagai Menteri, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    Antara inisiatif terkenal yang dilaksanakannya ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani termasuklah ‘jihad memerangi orang tengah’, selain memperkenalkan inisiatif ‘MARA Digital’, supaya golongan bumiputera tidak ketinggalan dalam perniagaan dalam bidang teknologi komunikasi maklumat, ketika menggalas tugas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    Ismail Sabri memulakan karier sebagai peguam pada 1985 selain pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

    Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkahwin dengan Datin Seri Muhaini Zainal Abidin pada 1986 dan dikurniakan tiga anak lelaki serta seorang anak perempuan.

    Beliau mula bergiat aktif dalam politik pada 1987 sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, sebelum dilantik Ketua Penerangan bahagian setahun kemudian sebelum dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Temerloh pada 1993.

    Pada 1995 beliau bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan (ketika itu) Datuk Sabaruddin Chik, sebelum memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh dan tiga tahun kemudiannya sebagai Ketua UMNO bahagian itu pada 2001.

    Pada Mac 2004, beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) bagi kerusi Parlimen Bera dan menewaskan Ab Wahab Ismail dari PAS dengan majoriti 4,470 undi, manakala PRU ke-12 pada Mac 2008 juga menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Aliman, juga dari PAS dengan majoriti 3,821 undi.

    Pada Ogos 2008, beliau memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera dan pada Mac 2009, beliau terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO penggal 2008/2011 sebelum sekali lagi pada penggal 2013/2016.

    PRU ke-13 pada Mei 2013 dan PRU ke-14 pada Mei 2018, pula menyaksikan beliau terus mempertahankan kerusi Parlimen Bera dalam pertandingan tiga penjuru apabila menewaskan Zakaria Abdul Hamid dari PKR dan calon Bebas dalam kedua-dua pilihan raya itu.

    Pada Julai 2018, beliau dipilih sebagai Naib Presiden UMNO bagi penggal 2018/2021 dan pada 2018 sehingga Mei 2019, beliau dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.

    Pada Mac 2018 pula beliau dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14, dan kini beliau menjawat kerusi Naib Presiden UMNO bagi penggal 2018/2021.- BERNAMA