Tag: Tok Beng Yeow

  • Pemandu bas maut, lapan penumpang cedera nahas tiga kenderaan

    Pemandu bas maut, lapan penumpang cedera nahas tiga kenderaan

    PEMANDU bas maut manakala lapan penumpang cedera selepas terbabit dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 32.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di Kulai, malam tadi.

    Mangsa, Ismail Tapah, 65, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu bas, kereta dan lori.

    Katanya, dalam kemalangan terbabit, selain warga emas yang maut, lapan penumpang bas cedera ringan.

    “Hasil siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila lori yang sedang bergerak terus menghala ke arah utara terbabas di tengah jalan dan tersangkut di bahagian tengah besi pembahagi jalan.

    “Kemudian, bas dipandu mangsa yang datang dari arah sama menghala ke utara, tidak sempat mengelak dan melanggar lori berkenaan dari belakang.

    “Akibat pelanggaran itu, bas terbabas ke longkang di kiri jalan sebelum kereta pula terlanggar lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beng Yeow berkata, pemandu lori dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Katanya, kenderaan yang terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Senai untuk pemeriksaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali, berkata 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai dan BBP Skudai dikejarkan ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.17 malam.

    Katanya, setibanya di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa yang cedera dan meninggal dunia dari bas berkenaan.

    “Mereka yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Operasi ditamatkan pada pukul 12.42 tengah malam,” katanya.

  • Lelaki mabuk, positif ganja langgar dua kenderaan dicekup

    Lelaki mabuk, positif ganja langgar dua kenderaan dicekup

    SEORANG lelaki dipercayai memandu dalam keadaan mabuk, ditahan selepas melanggar dua kenderaan di Jalan Budiman 2, Taman Sungai Mas dekat Kulai, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata dalam kejadian kira-kira 8.15 malam, individu berusia 51 tahun dan memandu Proton Saga itu ditahan di lokasi kejadian.

    Beliau berkata lelaki itu melanggar bahagian belakang dua kereta jenis Proton Persona, namun kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.

    “Pada awalnya, anggota polis peronda MPV menerima maklumat mengenai individu itu yang ditangkap oleh orang awam berikutan kemalangan terbabit.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati individu itu disyaki dalam keadaan mabuk dan hasil siasatan mendapati dia telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan dua buah kereta yang ketika itu berhenti di persimpangan jalan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata suspek positif ganja dan mempunyai rekod jenayah. 

    Kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA  

  • Pemandu lori Isuzu terbabit nahas 2 rentung direman 4 hari

    Pemandu lori Isuzu terbabit nahas 2 rentung direman 4 hari

    PEMANDU lori jenis Isuzu yang terbabit nahas lima kenderaan sehingga mengakibatkan dua individu maut akibat terbakar di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Sedenak, di Kulai, malam kelmarin, direman selama empat hari hingga Khamis ini.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lelaki tempatan berusia 38 tahun itu direman bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Dalam pada itu, beliau berkata, identiti mangsa kedua yang maut terbakar dalam kemalangan berkenaan belum dapat disahkan, setakat ini.

    “Kita sedang dalam proses mengenal pasti identiti mayat kedua,” katanya lapor Berita Harian, hari ini

    Kemalangan ngeri membabitkan dua lori serta tiga kereta menyebabkan tiga kenderaan terbakar hingga 90 peratus dan dua maut di lokasi kejadian.

    Salah seorang mangsa terkorban ialah penumpang Proton Wira dikenali sebagai Nur Nazihah Kamalul Arifin, 28.

    Semalam, Beng Yeow dalam satu kenyataan media memaklumkan, kejadian dipercayai berpunca daripada lori pertama yang menukar lorong dari kanan ke kiri ketika jalan sesak.

    Suami Nazihah, Redzuan Jamil, 28, pula mendakwa terdapat impak dari arah belakang sebelum beliau keluar dan mendapati sebuah lori melanggar tiga kenderaan, termasuk keretanya yang berada di tengah

  • Nahas 2 rentung: Lori dipercayai tukar lorong ke kiri ketika jalan sesak

    Nahas 2 rentung: Lori dipercayai tukar lorong ke kiri ketika jalan sesak

    KEMALANGAN yang mengakibatkan dua individu rentung di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, di Kulai, malam tadi, disyaki berlaku apabila sebuah lori dari arah Ayer Hitam ke Johor Bahru menukar ke lorong kiri kerana kesesakan lebuh raya.

    Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kemalangan membabitkan tiga kereta dan dua lori.

    Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila lori Renault dari arah Ayer Hitam menghala ke Johor Bahru, melalui lokasi berkenaan.

    “Pemandu lori lelaki berusia 38 tahun memandu di lorong kiri kerana kesesakan jalan.

    “Pada masa sama, Proton Preve yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah sama dan gagal mengelak lalu melanggar lori itu, dari arah belakang.

    “Proton Wira dari arah sama cuba mengelak dan melanggar Proton Preve, lalu berpusing. Kenderaan keempat iaitu sebuah kereta yang tidak dikenal pasti juga datang dari arah sama melanggar Proton Wira.

    “Kemudian lori Isuzu melanggar Proton Wira dan kenderaan keempat.

    “Pelanggaran itu menyebabkan kebakaran. Keadaan jalan gelap dan tidak berlampu,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut Tok memberitahu, akibat daripada kemalangan itu, seorang penumpang Proton Wira maut terbakar di lokasi kejadian.

    Katanya, kenderaan keempat juga terdapat seorang mangsa maut yang belum dikenal pasti identitinya.

    “Kedua mangsa parah di bahagian badan dan kepala kerana kebakaran, serta meninggal dunia di tempat kemalangan.

    “Setakat ini, tiada tangkapan dibuat, namun siasatan masih berjalan.

    “Semua kenderaan terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senai, manakala pihak berkuasa masih berusaha mengesan nombor casis dan nombor enjin kenderaan keempat,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.