Tag: Titah Diraja

  • PN cadang kerajaan gubal polisi lebih inklusif, berdaya saing

    PN cadang kerajaan gubal polisi lebih inklusif, berdaya saing

    PERIKATAN Nasional (PN) hari ini mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu polisi yang lebih inklusif dan berdaya saing dengan penekanan khusus kepada penghasilan sumber manusia berkualiti tinggi.

    Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata langkah itu dapat memudahkan negara merebut peluang ekonomi yang lebih besar, seterusnya membolehkan Malaysia beralih menjadi negara berpendapatan tinggi.

    Beliau berkata melalui pendekatan itu, negara akan memiliki generasi baharu, sumber manusia yang lebih inovatif, sekali gus bakal melahirkan lebih banyak syarikat berteraskan teknologi tinggi.

    “Penekanan mestilah terarah kepada usaha menambah baik aspek peningkatan daya saing, mencipta lebih banyak peluang kerja berprestasi tinggi serta memperkasakan institusi.

    “Galakan juga perlu diberikan kepada pihak swasta menerusi insentif-insentif menarik bagi memperkasakan dan memacukan lagi agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Pada masa sama, Ahli Parlimen Larut itu berpandangan insentif-insentif menarik bagi mengurangkan pekerja asing perlu ditambah baik kerana peluang kerja berprestasi tinggi mesti diisi rakyat tempatan terutamanya golongan belia.

    Menyentuh soal kos sara hidup, Hamzah berkata kerajaan perlu melakukan tindakan segera bagi menangani isu tersebut termasuk memberi perhatian kepada kebajikan veteran tentera dan polis terutama dalam aspek penyelarasan pencen.

    Sementara itu, Hamzah memohon kerajaan berhati-hati dengan perkembangan terkini mengenai ketegangan antara China dan Amerika Syarikat berhubung Laut China Selatan kerana ia boleh memberi impak kepada negara.

    “Kita perlu kekal berkecuali tetapi pada masa yang sama kita perlu bijaksana dan cermat menyusun strategi agar kita tidak terlihat cenderung kepada satu-satu negara hanya kerana kita mempunyai hubungan baik dengan kelompok tertentu,” katanya.

    Hamzah turut memberi jaminan blok pembangkang akan memainkan peranan semak dan imbang dengan menegur dan memberi pandangan secara bertanggungjawab, malah menyokong perkara baik yang dibawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Hamzah turut memuji keputusan kerajaan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye susulan bencana gempa bumi dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang tepat. – BERNAMA

  • 27 kementerian selesai gulung usul menjunjung kasih titah Agong

    27 kementerian selesai gulung usul menjunjung kasih titah Agong

    MINGGU kedua persidangan Dewan Rakyat menyaksikan Ahli-ahli parlimen pembangkang dan kerajaan membangkitkan pelbagai isu pada sesi perbahasan dan dijawab oleh menteri-menteri berkaitan dalam masa dua hari sesi penggulungan.

    Sebanyak 27 kementerian selesai menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bermula Rabu lepas dimulakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan berakhir dengan Jabatan Perdana Menteri.

    Sebanyak 91 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan bermula 14 Sept dan sepanjang persidangan kali ini, Ahli-ahli Parlimen baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang mengutarakan soalan dan perbahasan tanpa menimbulkan ‘kekecohan’ tidak perlu.

    Setiap soalan rata-ratanya berkaitan kepentingan di kawasan masing-masing, dijawab oleh menteri atau timbalan menteri dan kebanyakan jawapan diterima dengan baik.

    Antara yang menarik perhatian adalah isu pembukaan sekolah dengan Kementerian Pendidikan memaklumkan akan membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 kepada sekolah berasrama dan sekolah harian di bawah kementerian itu, sebelum murid-murid memulakan sesi persekolahan.

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan menyatakan meskipun penularan kes COVID-19 masih tinggi, namun berdasarkan indikator-indikator penting, ia mula menunjukkan trend penurunan dan memberikan sinar ke arah proses pemulihan negara yang lebih baik.

    Selain itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan projek pembinaan menara telekomunikasi baharu akan dilaksanakan segera untuk memastikan pelaksanaan program jalur lebar dan khidmat 4G di negara ini.

    Rang Undang-undang Anti Lompat Parti juga dibangkitkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu sidang dewan Peguam Negara telah menerima arahan untuk menggubal undang-undang itu. 

    Dalam pada itu, Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021 adalah satu-satunya yang dibentang bagi bacaan kali pertama dalam tempoh dua minggu persidangan.  

    Sidang bersambung Isnin ini dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA

  • Dewan Rakyat:16 menteri dijangka gulung perbahasan Titah Diraja hari ini

    Dewan Rakyat:16 menteri dijangka gulung perbahasan Titah Diraja hari ini

    SERAMAI 16 menteri dijangka menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja berkaitan kementerian masing-masing pada persidangan Parlimen hari ini, setelah berakhirnya sesi perbahasan semalam yang berlangsung sejak 14 Sept lepas.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, antara kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

    Dalam pada itu, isu kajian semula gaji minimum, kes pelanggaran status makanan dan produk halal serta situasi pekerjaan belia ketika pandemik COVID-19 antara yang bakal dikupas semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan. 

    Semasa sesi soal jawab lisan itu, Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) bertanyakan Menteri Sumber Manusia mengenai tahap pelunasan komitmen kerajaan serta perincian usaha dalam kajian semula gaji minimum.

    Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula bertanyakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkenaan langkah mengatasi dan jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal sama ada yang diimport atau keluaran dalam negara.

    Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt.- BERNAMA