Tag: tiruan

  • KPDNHEP sita 232 termometer tiruan bernilai RM25,270

    KPDNHEP sita 232 termometer tiruan bernilai RM25,270

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 232 unit termometer tiruan bernilai RM25,270 dalam serbuan di Klang, Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP Shamsul Nizam Khalil berkata serbuan pada 5 dan 11 Ogos lepas itu dibuat susulan maklumat serta aduan daripada wakil pemilik cap dagang barang berkenaan selepas mendapati produk yang disyaki tiruan itu dijual secara dalam talian.

    “Modus operandi adalah dengan mengiklankan termometer menggunakan jenama popular dengan harga lebih murah daripada harga pasaran bagi menarik perhatian pembeli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata keterangan telah diambil daripada dua lelaki tempatan yang mengaku sebagai pemilik kediaman dan gudang yang menyimpan termometer terbabit.

    Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.- BERNAMA

  • KPDNHEP Perak pantau penjualan pelitup muka tiruan

    KPDNHEP Perak pantau penjualan pelitup muka tiruan

    Oleh: Bernama

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memantau penjualan pelitup muka tiruan termasuk secara dalam talian bagi memastikan tidak berleluasa di negeri ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata langkah itu perlu bagi membendung penjualan pelitup muka tiruan yang boleh membahayakan pemakainya kerana boleh terdedah terhadap penularan COVID-19.

    “Orang ramai boleh membuat aduan kepada pejabat KPDNHEP berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas meninjau program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nam Hua di Tanjung Piandang di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar semalam mengenai pendedahan penjualan pelitup muka tiruan berkualiti rendah di pasaran.

    Abdul Yunus berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai penjualan pelitup muka tiruan di negeri ini.

    Difahamkan, pelitup muka berkualiti rendah itu mengakibatkan pengguna mengalami kesukaran bernafas, gelung telinga terlalu kasar dan menyebabkan wajah ditumbuhi jerawat selepas menggunakannya.

    Sementara itu, mengenai program MOVAK berkenaan, Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau berkata seramai 300 warga emas, orang kurang upaya serta anggota bomba sukarela menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata program yang dimulakan sejak awal bulan ini di kawasan Bota dan dijangka berakhir hujung bulan ini bertujuan menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membolehkan 80 peratus rakyat negara ini divaksinasi.- BERNAMA