Tag: Tindakan UMNO gantung

  • Tindakan UMNO dibimbangi jejas sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan – DAP

    Tindakan UMNO dibimbangi jejas sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan – DAP

    DAP bimbang tindakan UMNO memecat dan menggantung beberapa pemimpinnya akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan, terutama ketika bakal berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Menurut Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, merangkap Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy, ia diburukkan lagi dengan prestasi UMNO yang sudah lemah untuk meraih sokongan pengundi Melayu.

    Beliau sehubungan itu menasihatkan kepemimpinan UMNO supaya segera memperkukuhkan kedudukannya, selain menjalankan pelan mitigasi bagi memastikan kesan tindakan terbaharu parti itu dapat diminimumkan.

    “UMNO sudah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpinnya. Apabila sesuatu berlaku dalam parti dan tindakan perlu diambil, ini saya rasa tidak berbeza dengan parti lain.

    “Saya lihat UMNO sudah lama berpecah, sejak 1998. Isu pemecatan dalam UMNO ini juga sudah lama berlaku, sehingga tertubuhnya PKR dan BERSATU, yang kini kebanyakan pemimpinnya adalah serpihan UMNO.

    “Ia terpulang kepada UMNO dan saya tidak mahu campur urusan kepemimpinan mereka. Namun, persoalannya, adakah ia (tindakan memecat dan menggantung beberapa pemimpin UMNO) wajar dibuat sekarang?” katanya kepada Berita Harian.

    Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, susulan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan parti itu kerana kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Selain itu, MKT UMNO turut menggantung beberapa ahlinya, termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

    Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, tindakan UMNO itu juga dikhuatiri menjejaskan peratusan sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH), yang ketika ini adalah antara 10 peratus hingga 15 peratus.

    Beliau yang juga EXCO Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Pulau Pinang, mengakui sokongan pengundi Melayu terhadap PH mencatatkan penurunan berbanding kepada Perikatan Nasional (PN), selain menyifatkan ia boleh berubah mengikut sentimen politik semasa.

    Ditanya kewajaran UMNO bertindak demikian, Ramasamy berpendapat, kepemimpinan parti itu tidak mempunyai pilihan lain berikutan tindakan beberapa pemimpinnya yang dilihat seolah-olah cuba melakukan pemberontakan dalaman.

    Beliau bagaimanapun mempersoal kewajaran UMNO hanya menggantung keahlian Hishammuddin berikutan Ahli Parlimen Sembrong itu dikatakan antara individu yang menggerakkan Langkah Sheraton dan mengumpul sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas PRU15.

    “Khairy hanya mencabar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menyatakan pelbagai perkara lain, termasuk menggunakan undi hantu dan saya pun kurang pasti akan kesahihan dakwaannya itu.

    “Namun, kesalahan Hishammuddin lebih besar berbanding Khairy sebab dia antara orang di belakang Langkah Sheraton, selain menyokong Muhyiddin. Dia orang PN dalam UMNO,” katanya.

  • Tindakan UMNO gantung, pecat ahli tidak demokratik, kata Muhyiddin

    Tindakan UMNO gantung, pecat ahli tidak demokratik, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan UMNO memecat serta menggantung ahlinya termasuk beberapa nama besar daripada parti itu semalam dilihat sebagai satu tindakan yang tidak berdemokrasi.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tindakan pecat dan gantung keahlian ahli terutamanya melibatkan individu dengan nama-nama besar sebenarnya perlu dilakukan mengikut prosedur.

    “Apa sudah jadi dengan UMNO? Macam tiada demokrasi, buat keputusan pecat macam itu sahaja.

    “Dia (UMNO) ada perlembagaan, setahu saya dan saya dahulu Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan UMNO… ikutkan kalau seseorang pemimpin atau sesiapa nak dipecat ada prosedur…hantar surat tunjuk sebab, kemudian ada ruang untuk dirayu dan dipertimbangkan.

    “Tetapi yang ini dengarnya macam semalam bincang, semalam buat keputusan. Saya tak tahulah mungkin kuasa Presiden agaknya lebih besar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh, Muar, hari ini.

    Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berpendapat tindakan sedemikian menggambarkan masa depan UMNO yang sudah tersasar.

    Malah katanya, pimpinan tertinggi UMNO juga dilihat telah melampaui batas sehingga membuat keputusan (pecat, gantung ahli) tanpa mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

    “Saya fikir masa depan UMNO dengan Melayu sudah tiada lagi. Mintak maaflah, Presiden dah bertindak luar batas dengan membawa UMNO ke satu hala tujuan yang bukan difikirkan awal-awal di situ, jauh tersimpangnya.

    “Oleh itu, jangan harap pada UMNO lagi kerana UMNO dah tak boleh diharapkan.

    “Kalau saya nak fikir dari sudut PN dan Bersatu, kami bersorak…tapi hakikatnya kami tak bersorak dan kita akan terus berusaha untuk memberitahu pada orang Melayu bahawa Bersatu, Pas dan PN khususnya akan jadi parti yang diperjuangkan,” ujarnya.