Tag: timbalan yang dipertua

  • Pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat tangguh lagi

    Pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat tangguh lagi

    USUL pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang dijadualkan hari ini sekali lagi ditangguhkan.

    Usul penangguhan tersebut dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mencadangkan usul yang berada di perkara nombor 1 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

    “Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 90 (2) dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Aturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan timbalan speaker ke mesyuarat kedua yang akan datang,” katanya.

    Usul itu kemudian dipersetujui secara sebulat suara oleh ahli dewan.

    Pada 23 Ogos tahun lepas, Azalina melepaskan jawatan itu, namun tetap menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara, sepanjang tempoh persidangan itu berlangsung.

    Ketika persidangan pada 25 Okt, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan ke persidangan akan datang.

    Menurut Wan Junaidi, usul perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat yang lepas tetapi ditangguhkan bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

    Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat. – BERNAMA

  • Usul pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat tanggguh

    Usul pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat tanggguh

    USUL pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dijadual hari ini ditangguhkan dan dibawa ke persidangan akan datang.

    Penangguhan usul itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat dan dipersetujui suara majoriti ahli dewan.

    “Menurut Peraturan 90 (2) dan dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Peraturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguh Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seperti Perkara 1 yang tertera di Aturan Urusan Mesyuarat usul-usul hari ini ke mesyuarat akan datang,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Usul penangguhan itu disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

    Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu perlu dibuat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan pada 23 Ogos lepas. – BERNAMA

  • Pembukaan Parlimen 13 Sept, sidang pertama kerajaan pimpinan Ismail Sabri

    Pembukaan Parlimen 13 Sept, sidang pertama kerajaan pimpinan Ismail Sabri

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Persidangan yang diadakan dua hari selepas sambutan ulang tahun ke-62 Parlimen itu, dijadual menumpukan isu pemulihan negara susulan penularan pandemik COVID-19 serta pakej-pakej bantuan yang disediakan untuk kelangsungan hidup rakyat.

    Mesyuarat 17 hari sehingga 12 Okt itu, selepas suhu politik kembali reda dengan penubuhan kerajaan baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri, juga bakal menyaksikan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan.

    Setakat ini dua nama disebut-sebut bakal dicalonkan iaitu Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang merupakan calon blok kerajaan dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming calon Pakatan Harapan (PH).

    Jika dua nama itu dicalonkan, persidangan dewan pada Selasa, sehari selepas perasmian, akan menyaksikan pengundikan dalam kalangan 220 Ahli Parlimen bagi memilih Timbalan Yang di-Pertua.

    Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon mengesahkan proses pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu telah dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada Selasa.

    “Sekiranya ada lebih dari satu nama, undi belah bahagian akan dijalankan bagi memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    “Setakat ini kita ada terima nama kerana mereka perlu mengemukakan nama calon 14 hari sebelum tarikh pengundian diadakan,” katanya kepada Bernama.

    Selain itu, tumpuan juga kepada kemungkinan usul berkaitan keabsahan Perdana Menteri dibawa pada sidang kali ini.

    Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dilaporkan berkata tiada keperluan untuk mengemukakan undi percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan pelantikannya.

    Menurut Wan Junaidi, ia memandangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong dan justeru itu pelantikan Ismail Sabri adalah mengikut lunas undang-undang.

    Menurut takwim mesyuarat Dewan Rakyat yang dimuat naik dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia, selain usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, turut disenaraikan adalah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021-2025 oleh kerajaan, yang dijadual pada 27 Sept.

    Ahli-ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian dalam Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama empat hari mulai 14 Sept, sebelum sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 22 dan 23 Sept, menurut takwim itu.

    Sesi perbahasan RMK12 pula akan bermula pada 28 Sept hingga 4 Okt, sebelum jawapan oleh menteri-menteri berkaitan.

    Dua hari terakhir mesyuarat kali ini iaitu pada 11 dan 12 Okt pula isi dengan rang undang-undang dan urusan-urusan kerajaan yang lain.

    Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat, akan berlangsung dari 4 hingga 26 Okt.

    Bagi meminumkan risiko jangkitan COVID-19 di Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan pelbagai inisiatif dijalankan, antaranya pemasangan penapis udara ultra violet di dewan besar Parlimen serta penggunaan teknologi nano di pejabat bagi membunuh bakteria dan virus.

    Melalui usaha itu, Azhar berkata tahap pengudaraan di Parlimen kini adalah setaraf hospital dan amat bersih.-BERNAMA