Tag: Timbalan Perdana Menteri

  • Anwar tak berpegang kepada kedaulatan undang-undang lantik Zahid

    Anwar tak berpegang kepada kedaulatan undang-undang lantik Zahid

    PENTADBIRAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dianggap tidak berpegang kepada kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ apabila melantik seseorang yang sedang berdepan kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

    Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan Anwar melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai TPM adalah sesuatu yang janggal dan tidak memungkinkan usaha kerajaan membersihkan negara daripada gelaja rasuah dan kleptokrat.

    “Ya, betul belum dihukum tetapi orang ini sudah dihadapkan ke mahkamah, kalau kita ada orang sebegini jadi pemimpin, akan rosaklah negara kita.

    “Saya berpendapat, kalau kita nak bersihkan negara kita, tidak boleh pilih orang yang semua orang berpendapat dia seorang yang melakukan jenayah.

    “Jadi saya hairan bagaimana Anwar boleh pilih orang ini walaupun dia pemimpin parti tetapi dia menghadapi tuduhan di mahkamah. Ya betul tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

    “Tetapi kalau dia dihadapkan dengan satu-satu kes itu sudah menunjukkan dia (Ahmad Zahid) tidak layak jadi pemimpin,” katanya hari ini lapor Berita Harian.

    Beliau ditemui selepas melancarkan buku 40 tahun Dasar Pandang ke Timur di ibu negara.

    Beliau mengulas penubuhan Kerajaan Perpaduan membabitkan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan beberapa Ahli Parlimen lain.

    Ahmad Zahid dilantik sebagai TPM oleh Anwar ketika mengumumkan barisan 28 anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember lalu.

    Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu, memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

    Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.

    Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

    Prosiding bela diri Ahmad Zahid yang berjalan sehingga 2 November lalu, ditangguhkan hingga disambung semula pada Januari depan.

    Sequerah membenarkan penangguhan prosiding dan menetapkan perbicaraan didengar selama 21 hari iaitu pada 16 hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari, 7 hingga 9 Februari, 27 hingga 30 Mac, 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei 2023.

  • Zahid belum dibuktikan bersalah, Anwar pertahan lantikan TPM

    Zahid belum dibuktikan bersalah, Anwar pertahan lantikan TPM

    DATUK Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas dikritik dari dalam dan luar Pakatan Harapan berikutan 47 pertuduhan rasuah dihadapi Presiden UMNO berkenaan.

    Menurut Perdana Menteri, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu masih belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

    “Dia didakwa dan belum ada hukuman. Proses itu kita harus hormati. Dia kebetulan juga presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

    “Dan dalam keadaaan kerajaan perpaduan ini saya ambil kira faktor itu,” katanya pada satu sidang media di Jabatan Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet yang pertama selepas mengumumkan barisan jemaah menteri Jumaat lepas.

    Dalam pada itu, Anwar turut membidas pengkritik yang mempersoalkan pelantikan Zahid dalam Kabinet.

    “Saya dari dulu lagi kata, orang yang jerit rasuah rasuah ni pun perlu bersih. Tak boleh ada projek ratusan juta,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Pengumuman senarai anggota Kabinet oleh Anwar pada Jumaat menyaksikan Zahid kembali kepada kedudukan kedua tertinggi kerajaan yang pernah dipegangnya sehingga 2018.

    Pengumuman tersebut mencetuskan reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak percaya individu kluster mahkamah boleh menganggotai jemaah menteri pimpinan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

    Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang berdepan dengan pertuduhan jenayah rasuah di mahkamah.

    Zahid yang juga merupakan pengerusi Barisan Nasional (BN) memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan ahli Parlimennya terhadap Anwar, walaupun beliau mendapat tentangan keras dari dalaman Umno sendiri kerana mengabaikan ketetapan perhimpunan parti itu yang tidak membenarkan sebarang jalinan kerjasama dengan Anwar dan DAP.

    Antara mereka termasuk Hishammuddin Hussein dan Annuar Musa, malah ia juga dibantah parti komponen lain seperti MCA dan MIC.

    Mereka beranggapan BN sewajarnya berperanan sebagai pembangkang memandangkan tidak mendapat mandat rakyat untuk menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Kempen PH sepanjang pilihan raya baru-baru ini menyaksikan pemimpinnya berulang kali memberi jaminan kepada penyokong bahawa mereka tidak akan membenarkan pemimpin terpalit skandal menganggotai kerajaan, di samping menafikan dakwaan Perikatan Nasional bahawa Anwar dan Zahid sudah lama membuat pakatan sulit.

  • Kita tengoklah apa jadi nanti, kata Wan Saiful ulas pelantikan Zahid

    Kita tengoklah apa jadi nanti, kata Wan Saiful ulas pelantikan Zahid

    PELANTIKAN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal mencetuskan kebimbangan ramai berikutan pelbagai kes mahkamah dihadapinya, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, keadaan itu berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang hanya menerima sokongan daripada mereka yang terpilih sahaja daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN), jika mendapat peluang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

    Menurutnya, PN tetap dengan ketegasan menolak kluster mahkamah daripada awal menyertai kerajaan demi merealisasikan suara dan keinginan rakyat.

    “Kita amat tegas, sebab kita hanya menerima sokongan daripada mereka yang terpilih sahaja dalam UMNO dan BN yang mana kluster mahkamah memang kita tolak. Jadi, kita tidak berbincang atau tidak menjemput semuanya yang dari awal kita ketepikan.

    “Oleh sebab itu, kalau tengok sokongan atau akuan bersumpah (SD) yang kita dapat dari UMNO dan BN, hanya antara 10 hingga 15 orang. Apa pun, kini (kerajaan telah dibentuk dan Ahmad Zahid sudah dilantik), cuma kita bimbang apa akan berlaku pada kes-kes beliau.

    “Kita tengoklah apa jadi nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan bersama veteran tentera di Kepala Batas, semalam lapor BeritaBersatu.

    Beliau juga melihat Kabinet yang dibentuk Perdana Menteri, antara lain sebagai usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Ahmad Zahid dalam UMNO.

    “Dalam UMNO sendiri ada kebangkitan untuk menolak mereka yang bergelumang dengan kes mahkamah, namun apa yang dilakukan Anwar ialah membantu Zahid dengan memperkukuhkan kedudukan Zahid dalam UMNO,” katanya.

    Wan Saiful turut menyiatkan pembentukan Kabinet baharu sebagai ujian buat negara dan berharap rakyat dapat membuat penilaian terbaik.

    “Saya sebenarnya salah seorang yang menyatakan bahawa saya gembira duduk di sebelah pembangkang dengan ‘our heads held up high’, maksudnya kita duduk di sebelah pembangkang yang bermaruah dan berwibawa.

    “Jadi saya gembira dengan keadaan ini dan kalau sekiranya kita nak bentuk kerajaan pun biarlah kita bentuk atas dasar prinsip, bukan atas dasar menjual segala-galanya semata-mata untuk mendapatkan jawatan,” katanya.

  • Zahid, Fadillah TPM dalam 28 Jemaah Menteri Anwar

    Zahid, Fadillah TPM dalam 28 Jemaah Menteri Anwar

    SELEPAS lapan hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan barisan Kabinet kerajaan pimpinannya yang merangkumi 28 Jemaah Menteri.

    Angka 28 menteri itu lebih kecil berbanding seramai 31 Jemaah Menteri semasa kerajaan sebelum ini ketika Anwar turut mengumumkan beliau akan turut memegang portfolio selaku Menteri Kewangan.

    Mengikut pecahan parti, PKR memiliki jemaah menteri paling ramai dengan lapan orang diikuti BN (6), GPS (5), DAP (4), Amanah (2), GRS (1), UPKO (1) dan lantikan (1).

    Pada masa sama, Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar itu juga menyaksikan buat pertama kali Malaysia mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

    Jawatan Timbalan Perdana Menteri I akan dijawat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

    Timbalan Perdana Menteri II pula akan dipegang Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang tuurt menjawat Menteri Perladangan dan Komoditi.

    Selain itu, beberapa nama yang sebelum ini pernah menjadi menteri turut menganggotai Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

    Antaranya, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang kembali menerajui Kementerian Pengangkutan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

    Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula kembali ke dalam barisan Kabinet sebagai Menteri Pendidikan Tinggi; Datuk Seri Nancy Shukri menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup manakala Datuk Seri Azalina Othman Said pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

    Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pula dilantik menerajui Kementerian Luar.

    Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang sebelum ini merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Koperasi dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

    Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pula dilantik masing-masing sebagai Menteri Dalam Negeri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

    Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh pula dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

    Antara nama baharu yang menganggotai Kabinet Anwar pula adalah Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi); Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan); Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan); Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi); Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim); Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan).

    Nama baharu lain adalah Ahmad Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi Digital); Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan); Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara); VN Sivakumar (Menteri Sumber Manusia); Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan) dan Armizan Mohd Ali (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)).

    Kabinet Kerajaan Perpaduan ini juga menyaksikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilantik sebagai Menteri Agama.

    Dalam sidang medianya sebentar tadi, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya menerima pakai semua kekuatan induk daripada Pakatan Harapan (PH) dan dukungan BN serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Kata beliau, ketiga-tiga tonggak itu juga telah bersepakat dalam membentuk Jemaah Menteri yang menetapkan tatakelola baik dan keutamaan memacu pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan beban rakyat dari sudut kos sara hidup.

    “Kesepakatan ini memungkinkan kita melebarkan jaringan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sekarang ini selain daripada Warisan dan UPKO yang sedia ada.

    “Ini bermakna kekuatan Kerajaan Perpaduan dalam Parlimen sudah mencecah sekitar dua pertiga.

    “Jadi, dengan mandat ini, ia telah memberi keyakinan kepada kita untuk membentuk satu barisan Jemaah Menteri yang lebih padu dan akan bekerjasama sebagai satu pasukan dan menumpukan perhatian dalam soal pemacuan pertumbuhan ekonomi yang segar serta permasalahan rakyat,” katanya.

    Pengumuman barisan Kabinet itu dinantikan seluruh negara selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.

    Terdahulu, Anwar menerima perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menghadap Seri Paduka.

  • Tidak bertanggungjawab jika lari medan perang – Ismail Sabri

    Tidak bertanggungjawab jika lari medan perang – Ismail Sabri

    “KITA merasakan bahawa tak bertanggungjawab kepada rakyat jikalau kita meninggalkan kerajaan ini secara tergesa-gesa seperti diarahkan parti.”

    Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut menegaskan sebagai wakil rakyat bertanggungjawab terutama beberapa menteri yang kini diberikan tugas di barisan hadapan amat penting untuk menyelesaikan isu berkaitan COVID-19 dan ekonomi rakyat.

    Kata beliau, tidak timbul isu mengatakan Ahli Parlimen UMNO derhaka dan sebagainya kerana tumpuan ketika ini adalah berkaitan isu rakyat yang terkesan ekoran penularan COVID-19.

    Sebaliknya, beliau berkata, mungkin isu derhaka itu ditujukan kepada pihak yang melanggar titah Yang di-Pertuan Agong supaya membawa perkara tersebut ke Parlimen, September depan.

    “Kita sebagai ahli parti yang setia dan objektif parti serta kita sendiri sebagai wakil rakyat adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

    “Menarik diri serta-merta menumbang kerajaan dan lari daripada tanggungjawab diamanahkan rakyat merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab.

    Baca artikel berkaitan: 31 Ahli Parlimen BN terus sokong PN, junjung titah Agong

    “Dalam keadaan rakyat susah, kita lari daripada medan perang. Kita akan terus menyokong berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong untuk terus kekal bersama kerajaan sehingga keabsahan kerajaan ditentukan dalam Parlimen,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas bersama 20 lagi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyatakan pendirian terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), hari ini.

    Mengulas mengenai surat dihantar Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Ahli Parlimen yang perlu dibalas dalam tempoh 48 jam, Ismail Sabri melihat perkara itu bertentangan undang-undang.

    Menurut beliau, isu berkenaan akan dibincangkan bersama semua Ahli Parlimen sama ada akan menjawab atau pun tidak surat tersebut.

    Pada masa sama, Ismail Sabri turut menegaskan Ahli Parlimen UMNO mendesak Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya berjumpa dengan kesemua Ahli Parlimen berhubung tindakan penarikan diri daripada PN>

    “Kami mendesak supaya Presiden berjumpa dengan setiap daripada kami untuk dijelaskan tujuan dan hasrat beliau kepada Ahli-Ahli Parlimen.

    “Tak boleh keluarkan arahan secara tiba-tiba tanpa berjumpa dan memberi penjelasan kepada kami.

    “Kepada semua ahli parti, kami adalah pemimpin yang setia kepada parti, bagaimanapun, setiap tindakan kita jangan sampai merugikan parti dan membebankan rakyat,” jelas beliau.

    Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram. – Utusan TV

  • PM Interim: Jangan layan cubaan pecah-belahkan kerajaan – TPM

    PM Interim: Jangan layan cubaan pecah-belahkan kerajaan – TPM

    “KITA tak perlu layan apabila ada pihak cuba nak melaga-laga atau memecah-belahkan kerajaan. Kalau layan lagi teruk.”

    Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengenai kenyataan beberapa pihak yang mengaitkan dirinya sebagai calon sesuai bagi mengisi jawatan Perdana Menteri Interim bagi meredakan ketegangan politik ketika ini.

    Sambil menyifatkan perkara itu sebagai khabar angin semata-mata, Ismail Sabri turut menegaskan tempoh mencabar ketika ini bukan masa sesuai untuk berpecah sebaliknya semua pihak perlu bersatu memerangi COVID-19.

    Ismail Sabri malah berkata jawatan Perdana Menteri Interim tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan dan isu berkenaan tidak patut timbul.

    “Memang saya ada baca dalam laporan portal dan juga media sosial mengaitkan nama saya tetapi itu hanya khabar angin.

    “Bagi saya, kenyataan sedemikian mungkin sengaja mahu melaga-laga atau memecah-belahkan kerajaan sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan kepada wakil penduduk di Masjid Kampung Cheruk Puting, Bera,hari ini.

    Lawatan itu juga merupakan kali pertama beliau pulang ke kawasan Parlimennya sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, 7 Julai lalu.

    Semalam, tular dalam media sosial dan portal berita bahawa Ismail sabri mempunyai sokongan kukuh termasuk dalam kalangan Jemaah Menteri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

    Mengulas mengenai kenyataan sesetengah pihak yang cuba melaga-lagakan kerajaan dan pihak istana, Ismail Sabri berkata, semua pihak wajar menyejukkan keadaan dengan tidak memburukkan lagi suasana.

    Kata beliau, tanggungjawab sebagai pemimpin lebih besar kerana rakyat ketika ini sedang berhadapan kesukaran.

    “Kita tak perlu terlalu ikut dengan apa yang digembar-gemburkan. Tindakan kita sepatutnya mendamaikan, bukan terlibat dari segi memecah-belahkan.

    “Ini bukan masa sesuai untuk sesiapa sahaja berpecah dan perlu bersatu. Apa yang penting ketika ini adalah kebajikan rakyat.

    “Kenapa kita tak fokus kepada usaha menyelesaikan isu rakyat dan paling penting menyelesaikan masalah COVID-19,” jelas beliau. – UtusanTV