Tag: Tiga lelaki ditahan

  • Tiga lelaki ditahan, bantu siasatan dadah bernilai lebih RM180,000

    Tiga lelaki ditahan, bantu siasatan dadah bernilai lebih RM180,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan terhadap kes dadah jenis syabu seberat lebih lima kilogram yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Balor Rambai, Mukim Bukit Tinggi dekat Jitra, Kedah, kelmarin.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada awalnya telah melakukan pemeriksaan di rumah tersebut kira-kira pukul 3.20 petang kelmarin.

    Hasil pemeriksaan dijalankan itu katanya, pihak polis menahan seorang lelaki dan menemukan satu beg kertas mengandungi lima bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 5 kilogram di lantai sebuah bilik.

    “Soal siasat dijalankan kemudiannya membawa kepada penahanan dua lagi lelaki yang berada dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard di tempat depan Hotel Raia, Alor Setar kira-kira pukul 4 petang.

    “Pemeriksaan fizikal dijalankan tidak menemukan barangan terlarang namun dua lelaki itu ditahan bersama lima batang anak kunci dalam kenderaan tersebut bagi membantu siasatan. Kenderaan jenis Toyota Alphard itu turut disita bagi tujuan sama,” katanya.

    Tambahnya, nilai rampasan dadah adalah sebanak RM180,900 manakala nilai sitaan harta mencecah RM343,500.

    Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 47 tahun direman selama tujuh hari hingga 24 April dengan siasatan lanjut kini masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Kejayaan ini adalah hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya dapat ditumpaskan.

    “Pihak polis juga sentiasa memerlukan kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

  • Tumbuk, samun guru wanita, 3 lelaki ditahan

    Tumbuk, samun guru wanita, 3 lelaki ditahan

    POLIS menahan tiga lelaki Ahad lalu kerana disyaki menyamun dan mencederakan seorang guru wanita di sebuah rumah di Taman Pelangi, Sentul, pada 25 Februari.

    Dalam kejadian itu, mangsa berusia 45 tahun ditumbuk di muka, dipukul di bahagian leher dan diikat dengan wayar oleh semua suspek yang menyamun rumahnya.

    Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata suspek turut melarikan wang tunai RM6,000, satu telefon bimbit, seutas jam tangan dan kad bank milik mangsa.

    “Susulan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun di Damansara dan Petaling Jaya, Ahad lalu.

    “Siasatan mendapati modus operandi mereka adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Beh, semua lelaki itu memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan mereka sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan sengaja menyebabkan cedera.

    Beliau berkata, susulan penahanan mereka, polis berjaya menyelesaikan empat kes di ibu negara dan satu kes di Selangor.

  • Tiga lelaki ditahan, 3,000 pil kuda dirampas

    Tiga lelaki ditahan, 3,000 pil kuda dirampas

    POLIS merampas 3,000 biji pil kuda bernilai RM45,250 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gertak Datuk Gunong, Bachok, semalam.

    Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, dalam serbuan pada pukul 1.30 petang itu, tiga lelaki berusia 18 hingga 31 tahun turut ditahan.

    Menurutnya, serbuan dilakukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) itu menemukan 3,000 biji pil kuda dalam sebuah bungkusan.

    “Ujian saringan awal urin terhadap dua daripada tiga suspek didapati positif dadah jenis morfin. Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini.

    “Polis turut menyita wang tunai dan dua buah kenderaan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM55,000,” katanya melalui kenyataan hari ini.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Tiga lelaki ditahan, rokok RM2.8 juta dirampas

    Tiga lelaki ditahan, rokok RM2.8 juta dirampas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menahan tiga lelaki dan merampas barangan kontraban, minuman keras dan rokok dianggarkan bernilai lebih RM2.8 juta menerusi enam serbuan bermula 9 Jun hingga 2 Ogos lalu.

    Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, semua rampasan dan tangkapan dilakukan di enam lokasi termasuk gudang dan pelabuhan di sekitar negeri itu dan Selangor.

    “Rampasan pertama membabitkan 9,240 liter minuman keras dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 9 Jun lalu.

    “Rampasan kedua pada hari dan lokasi yang sama melibatkan 10,048 liter minuman keras di dalam kontena yang diimport dari luar negara dengan mengikrarkan urusan import dipercayai tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KDRM Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, rampasan ketiga pula melibatkan 3,020 liter minuman keras dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 22 Jun lalu.

    Jelasnya, sindiket menggunakan modus operandi menyeludup minuman keras dipercayai dari China dengan menyembunyikannya di bahagian tengah kontena bersama dagangan lain seperti kabinet, beg, lampu, kasut dan mesin basuh.

    Menurut Sazali, rampasan keempat pula melibatkan 5,594 liter minuman keras dan 33,600 batang rokok membabitkan nilai cukai RM22,600.

    Rampasan kelima pula katanya, melibatkan sebuah premis tempat penyimpanan minuman keras pelbagai jenama di Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor pada 1 Ogos lalu.

    Hasil pemeriksaan ke atas premis yang tidak berpenghuni itu katanya, terdapat 33,125 liter minuman keras pelbagai jenama disembunyikan di dalam sebuah lori kontena dan dua buah lori.

    “Seterusnya, rampasan keenam pada 2 Ogos lalu pula, 9,223 liter minuman keras berjaya dirampas hasil serbuan di sebuah gudang di kawasan Zon Bebas di Pelabuhan Johor Pasir Gudang,” ujarnya.

    Tambah beliau, tiga lelaki yang ditahan merupakan wakil pengimport dan ejen penghantar berusia 32 hingga 36 tahun.

    “Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.