Tag: tiga cedera

  • Motosikal langgar kerbau, penunggang maut, tiga lagi cedera

    Motosikal langgar kerbau, penunggang maut, tiga lagi cedera

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sekawan kerbau di Jalan Sungai Kroh-Kampung Gajah dekat Air Kuning, dua hari lepas.

    Mohamad Haddrie Naim Azmi, 20, yang sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Gajah menuju ke Air Kuning, meninggal dunia di lokasi kejadian pada kira-kira pukul 1.30 pagi akibat kecederaan parah di kepala susulan kemalangan itu.

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata semasa Mohamad Haddrie melalui kawasan gelap itu bersama tiga rakannya, mereka tidak nampak kelibat sekawan kerbau yang berada atas jalan raya, mengakibatkan keempat-empat mereka merempuh kawanan kerbau itu.

    Beliau berkata lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala tiga lagi rakannya yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan.

    Dalam kenyataan di sini hari ini Mohd Yusri berkata masalah haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran di jalan negeri dan persekutuan perlu ditangani demi keselamatan pengguna jalan raya, dan polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pemilik haiwan ternakan jika didapati sengaja melepaskan haiwan hingga mengakibatkan kemalangan boleh didakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam atau kecuaian berkaitan haiwan malah boleh dihukum penjara enam bulan dan denda RM2, 000 atau kedua-duanya sekali,“ katanya.

  • Satu maut, tiga cedera kereta langgar gajah

    Satu maut, tiga cedera kereta langgar gajah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG maut manakala tiga lagi cedera termasuk seorang kanak-kanak selepas kereta dinaiki melanggar seekor gajah di Jalan Pinang menghala ke Bukit Tongkat, Kluang, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 9.59 malam itu, kereta jenis Honda City dinaiki semua mangsa dikatakan tidak perasan kemunculan gajah sebelum tidak sempat menekan brek lalu melanggar haiwan tersebut.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan II Abd. Rahim Razali berkata, seramai lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Langgar gajah
    Seorang maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan melanggar seekor gajah di Jalan Pinang, Kluang, malam tadi.

    “Terdapat tiga telah dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak ambulans sebelum bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Bomba bertindak mengeluarkan seorang mangsa, Ismail Daud, 37, dari bahagian tempat duduk pemandu dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

    “Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Pemandu kereta tersebut meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan pegawai perubatan yang hadir

    “Selain itu, biras dan bapa mertua mangsa, masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 65 tahun dan seorang kanak-kanak berusia lima tahun dalam kereta tersebut cedera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, tidak diketahui keadaan gajah tersebut dan operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 10.44 malam.